Tuesday, 5 September 2006

TANGAN KANAN MEMADAM API TANGAN KIRI TERUS MENJIRUSKAN MINYAK


MALAM 31 Ogos 2006 berlalu dengan seribu kenangan. KLCC yang menjadi mercu tanda kebanggaan negara dipenuhi pengunjung berbilang bangsa. Tidak kurang juga, ada yang memilih Dataran Merdeka sinonim dengan sambutan kemerdekaan negara.

Putrajaya juga menjadi tumpuan warga kota yang ingin berkongsi kemeriahan sambutan kemerdekaan. Masing-masing menunggu detik 12 tengah malam yang menyaksikan kejayaan negara membebaskan diri daripada cengkaman penjajah.

Inilah senario yang berlaku saban tahun. Percikan bunga api dan acara hiburan yang menghiasi sambutan malam kemerdekaan sentiasa menggamit ramai penonton. Semua rakyat Malaysia ingin berkongsi kegembiraan termasuklah warga kota dan desa tidak kira agama atau bangsa

Namun, di sebalik kegirangan menyambut kemerdekaan negara kali ke-49, kita sepatutnya menyedari bahawa masih ramai masyarakat yang masih belum memerdekakan diri mereka sepenuhnya. Erti kemerdekaan bukan sekadar laungan penuh semangat tetapi harus tampil dalam pakej lengkap sebagai anak bangsa yang merdeka.

Begitulah yang terjadi pada malam sambutan kemerdekaan lalu. Kita bimbang jika anak-anak muda mudah hanyut dibawa arus dan terpengaruh dengan budaya asing, siapa yang akan mempertahankan negara suatu hari nanti?

Begitulah tulisan yang disiarkan oleh Utusan Malaysia hari ini tentang sambutan kemerdekaan pagi 31 Ogos lalu.

Berikut dipaparkan gelagat dan ragam mereka sepanjang sambutan malam kemerdekaan lalu semasa penulis dan jurugambar menyertai Ops Masih Ada Yang Sayang III di sekitar Lembah Klang. Bak kata pepatah, tepuk dada tanya selera.

Hilang minat belajar menyebabkan Hazrin Ismail (bukan nama sebenar) terperangkap dengan kawan-kawan yang mengheretnya ke dunia mengkhayalkan. Dia baru berusia 15 tahun dan masih mentah tentang asam garam hidup dan tidak berupaya menilai perkara baik dan buruk. Malah, anak ketiga daripada empat adik-beradik ini juga tidak pernah mengambil peduli segala nasihat keluarga yang amat menyayanginya.

“Masa tu, saya tak fikir apa-apa pun untuk masa depan, nak belajar bidang apa atau kerja sebagai apa. Jiwa saya hendak berseronok saja dan pelajaran bukan lagi keutamaan dalam hidup. Macam malam merdeka ni, lebih meriah dan ramai orang.

“Tapi kak, saya ada juga terfikir sampai bila nak hidup macam ni. Bila saya tengok kejayaan orang lain, saya juga nak berjaya tetapi boleh ke saya mengejar balik apa yang hilang?,” katanya dengan nada sayu.

Alif Mohd (bukan nama sebenar) ditemui bersama pasangannya, Mira Husin (bukan nama sebenar) dalam keadaan mencurigakan dan berpakaian seksi. Setelah disoal siasat, mereka bukan mahram dan masing-masing berusia 20 dan 19 tahun.

Mereka baru berkenalan selama dua minggu. Rupa-rupanya Mira pernah lari dari rumah sehingga menyebabkan ibunya hampir buta kerana menangisi sikap anak perempuan kesayangannya itu.

Malah teguran ibunya supaya Mira jangan berpakaian seksi juga tidak pernah dihiraukan. Bosan dengan bebelan dan kongkongan keluarga, akhirnya Mira memilih untuk hidup sendiri.

Alif pula pada malam itu, keluar tanpa keizinan kakaknya kerana dia tinggal bersama-sama dengan kakaknya di Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran di kolej swasta.

Gadis muda berusia 16 tahun ini memilih dunia keseronokan bersama rakan-rakannya kerana tidak tahan dengan sikap ibunya yang gemar membawa teman lelaki pulang ke rumah hampir setiap hari. Bagi Sarah Ahmad (bukan nama sebenar), rumah bukan lagi tempat yang sesuai untuk menenangkan fikirannya. Lalu mengambil keputusan untuk berhibur di luar.

“Sebenarnya inilah pertama kali saya keluar berhibur dengan kawan-kawan hingga lewat pagi. Saya sudah puas bersabar tetapi segala-galanya tidak pernah berubah.

“Jadi, jalan keluar terbaik ialah dunia di luar rumah yang mungkin dapat berikan saya sedikit ketenangan,” cerita Sarah.

Dia ditemui bersama rakan-rakannya dengan pakaian yang dikenali sebagai emo-gohtic (berskirt pendek di atas paras lutut dan kemudiannya mengenakan stoking panjang yang berbelang-belang).

Nampaknya media ini seperti juga pemimpin Kerajaan Islam Hadhari yang langsung tidak nampak mengapa remaja dan muda-mudi berjaga malam sehingga ke pagi pada setiap malam menyambut kemerdekaan. Mereka langsung tidak terfikir bahawa program-program wajib yang dijalankan pada malam tersebut seperti konsert merdeka, nyanyian dan sebagainya menjadi penyebab mengapa remaja-remaja datang berdua-duaan tanpa segan silu.

Konsert yang diadakan menjadi tempat tumpuan remaja yang berpasangan ini bergaul bebas, berpelukan dan sebagainya. Bukan itu sahaja apabila konsert ini tamat mereka akan mencari tempat lain yang sesuai untuk mereka terus berdua-duaan.

Mengapa pihak berwajib masih mahu meneruskan program-program konsert dan nyanyian yang tidak berfaedah ini sedangkan ianya mengundang seribu satu masalah. Mengapakah Islam Hadhari menghalalkan program seperti ini yang jelas menjadi medan tempat remaja-remaja ini 'berkepit' dan melepaskan 'rindu' masing-masing.


Sebenarnya inilah punca terbesar yang mesti dihapuskan dalam malam merdeka kerana tempat-tempat maksiat yang sedia ada pun sudah berjumlah ratusan(mungkin ribuan) di tambah lagi dengan konsert 'instant' malam merdeka ini.

Ops Masih Ada Yang Sayang III pada tahun ini membabitkan 1,400 sukarelawan berbanding 300 pada tahun lalu. Setiap pasukan dibahagikan kepada 10 kawasan iaitu KLCC, Bangsar, Taman Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak, Ampang, Hulu Langat, Titiwangsa, Selayang, Shah Alam, Bukit Bintang, Damansara, Dataran Merdeka dan Sunway Lagoon.

Setiap pasukan bergerak ke lokasi berkaitan selepas sesi taklimat di Masjid Asy-Syakirin, KLCC kira-kira pukul 1 pagi.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid), Masridzi Sat berkata, bilangan sukarelawan bertambah kerana operasi ini dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida). Operasi ini juga mendapat kelulusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan badan-badan dakwah institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Gejala sosial yang semakin kronik di kalangan anak-anak muda terutama yang masih di bangku sekolah mendorong Perkid turun padang sebagai usaha untuk membanteras masalah ini berleluasa. Beliau berpendapat pendekatan dakwah secara halus lebih berkesan berbanding menggunakan kekerasan dengan menghukum.

“Anak-anak muda ini perlukan perhatian dan kasih sayang kerana ibu bapa mereka lalai dalam menunaikan tanggungjawab.

“Akhirnya, keseronokan bukan lagi terletak di rumah tetapi bersama kawan-kawan. Inilah kebebasan yang mereka cari di luar rumah,” ujar Masridzi.


Rawatan pemulihan

Rumah Kebajikan Perkid ditubuhkan pada Mac 2004 di bawah Akta Pusat Jagaan 1993, Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Ia berperanan memberikan rawatan pemulihan alternatif kepada mangsa khususnya yang berumur 13 hingga 25 tahun dan menawarkan rawatan as-syifa bagi membantu ibu bapa dan guru sekolah merawat anak-anak atau pelajar yang bermasalah.

Rumah dua tingkat yang terletak di Taman Sentosa itu, turut menempatkan klinik Baitus Syifa (Rumah Rawatan Perkid) dan asrama Raudhatus Solehah (pusat bimbingan puteri).

Dalam operasi selama kira-kira lima jam itu, seramai 260 remaja ditahan dan dibawa ke Masjid Asy-Syakirin KLCC. Bagi kawasan-kawasan yang jauh daripada KLCC, sesi dakwah dan kaunseling diadakan di kawasan terbabit dengan dikendalikan ketua operasi masing-masing.

Untuk menyedarkan golongan remaja yang semakin hanyut ini, mereka yang ditahan akan mengikuti sesi kaunseling oleh para sukarelawan Perkid termasuk latar belakang dan tujuan berada di lokasi terbabit hingga lewat pagi.

Setelah semua remaja dikumpul, sesi muhasabah diri diadakan sekitar pukul 5 hingga 6.30 pagi. Ketika sesi ini berjalan, masih terdapat remaja yang degil dan tidak menunjukkan sebarang riak kekesalan walaupun menyedari kesalahan yang mereka lakukan bertentangan dengan batas agama.

Namun, suasana pagi yang hening itu tanpa diduga diiringi dengan esak tangis mereka apabila soal pengorbanan dan kasih sayang ibu bapa yang membesarkan mereka disentuh dengan penuh emosi. Wajah-wajah yang pada mulanya tidak menunjukkan sebarang reaksi akhirnya meratapi kesalahan yang mereka lakukan.

Episod sedih ini turut membuatkan beberapa remaja lelaki yang asalnya kelihatan ganas, dilihat mengalirkan air mata. Selepas menunaikan solat subuh berjemaah, mereka sekali lagi diberikan motivasi supaya dapat melihat kehidupan dan masa depan dengan lebih positif. Kesemua remaja yang ditahan kemudiannya ‘dibebaskan’ pada pukul 7.30

pagi.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59