Thursday, 28 September 2006

Projek TTI: Penduduk Pulau Wan Man dakwa terpinggir


KUALA TERENGGANU 28 SEPT : Penduduk di Pulau Wan Man, tapak Taman Tamadun Islam (TTI) yang dibangunkan oleh kerajaan negeri Terengganu merasakan mereka "dipinggirkan di negeri sendiri" kerana tidak diberi peluang berkerja di projek berkenaan.

Pengerusi Rukun Tetangga Kampung Losong Atap Zink, Hasan Ismail berkata, kontraktor tempatan yang membangunkan TTI tidak memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat dalam kerja-kerja pembinaan yang sedang berjalan di pulau itu.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengambil tahu hal ini dan bertindak segera menjaga kepentingan dan perasaan penduduk tempatan.


"Dalam keghairahan melaksanakan projek tersebut kerajaan Terengganu perlu memastikan penduduk tempatan tidak merasa mereka dipinggirkan di negeri sendiri," tambahnya.

Menurut laporan Bernama, Hasan mendakwa, kontraktor lebih mengutamakan pekerja asing sementara penduduk tempatan dianaktirikan. Kebanyakan pekerja di kawasan TTI ialah warga asing terutama dari Indonesia.

"Apa yang lebih mendukacitakan ialah apabila penduduk tempatan pergi meminta kerja, mereka tidak dilayan, malah ada di antara mereka yang dihalau," katanya.

Beliau berkata pihaknya akan menulis surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh untuk memaklumkan mengenai kesukaran penduduk setempat mendapatkan pekerjaan di tapak pembinaan itu dan serta masalah-masalah lain.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membawa pembangunan di kampung kami. Tetapi, apa salahnya penduduk tempatan juga diberi peluang mencari rezeki di tapak projek yang diusahakan itu," katanya.

Hasan menambah, kontraktor-kontraktor terbabit juga tidak menghormati perasaan penduduk kampung kerana membiarkan lori-lori mereka lalu-lalang di kawasan kampung untuk ke tapak projek, yang mengeluarkan bunyi bising tidak kira sama ada pada waktu siang atau pun malam.


Pulau Wan Man berdekatan Kuala Terengganu dan TTI yang dianggarkan bernilai RM1 bilion itu akan menjadi mercu tanda baru bagi negeri itu. Projek itu dijangka siap dibina akhir tahun depan.

Pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan pelbagai kebudayaan dari negara Islam di TTI malah dapat melihat kehebatan seni bina Islam dengan pembinaan 21 buah replika monumen terkenal di seluruh dunia.

Antara monumen itu ialah sebuah masjid kristal bernilai lebih RM200 juta.

Dari : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59