Wednesday, 20 September 2006

PROGRAM PERHIMPUNAN MAT REMPIT ANJURAN PUTERA UMNO GALAKKAN MAKSIAT?


Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria mahu Putera Umno mengkaji semula cadangan mengadakan program perhimpunan 50,000 Mat Rempit di Bukit Jalil dengan menggantikannya dengan program berbentuk lain yang memisahkan antara lelaki dan perempuan.
"Adalah lebih baik Putera Umno menganjurkan program motivasi atau perkhemahan membabitkan Mat Rempit, daripada mengadakan progam seperti yang diadakan di Lumut dan yang dirancangkan di Bukit Jalil itu," katanya.

Harussani berkata semua program yang dianjur melibatkan lelaki dan perempuan perlu diasingkan bagi mengelak maksiat.

"Adakan program motivasi dan yang penting pisahkan antara kumpulan lelaki dan perempuan... bukannya bercampur seperti yang diadakan sebelum ini (di Lumut)," katanya ketika dihubungi Bernama bagi mengulas program Putera Umno itu yang mendapat pelbagai kritikan masyarakat.

Harussani berkata kalau program berkumpulan melibatkan lelaki dan perempuan terutama golongan remaja seperti mat rempit memang tidak sesuai dianjurkan kerana ia mendatangkan banyak masalah termasuk maksiat dan gejala tidak senonoh.

Ekspedisi Merdeka Putera Bermotor Kuala Lumpur-Lumut yang membabitkan 8,000 peserta minggu lalu dilaporkan tercemar dengan beberapa insiden memalukan termasuk dakwaan kegiatan maksiat, minum arak, gaduh serta mencemarkan masjid.

Katanya, gelagat peserta yang tidak senonoh dan bercampur lelaki perempuan seperti yang berlaku di Lumut telah mendapat reaksi negatif masyarakat.

Oleh itu, katanya, adalah lebih baik jika Putera Umno dapat menganjurkan program lain yang mudah dikawal sama ada bercorak perkhemahan, aktiviti lasak atau sukan bermotor.

"Pisahkan lelaki dan perempuan dan buat program motivasi, bina semangat jati diri, berdikari dan sebagainya. Jika adakan program agama, saya rasa majlis-majlis agama Islam tiada masalah untuk turut serta termasuk menyediakan penceramah," katanya.

"Kita mempunyai ramai pakar-pakar motivasi yang mempunyai perancangan dan tahu bagaimana mengendalikan golongan remaja," katanya.

Pengerusi Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim sebelum ini berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk membuat keputusan berhubung cadangan program perhimpunan 50,000 mat rempit di Bukit Jalil.

Katanya program yang diadakan antara Putera Umno dan mat rempit bertujuan mendidik golongan itu ke arah yang lebih positif dan merupakan usaha untuk mendampingi mat rempit bagi memperbaiki diri supaya tidak terjebak dengan jenayah.

Sementara itu Timbalan Ketua DPP Kawasan Bukit Katil, Us Abu Bakar Ramli menyokong gesaan Us Harussani yang menggesa program Mat Rempit Putera Umno di kaji semula.

"Kita semua tahu bahawa program anjuran Umno samada anjuran Pemuda, Puteri atau Putera malah anjuran 'orang tua' Umno sekalipun sudah tentu dipenuhi dengan program maksiat kerana Umno memang tidak mau kepada Islam", kata Us Bakar ketika dihubungi Blog ini malam ini.

"Kalau tak ada pergaulan lelaki perempuan, nyanyian, konsert sudah tentu program itu 'tidak sah'" tambah Us Bakar lagi yang juga merupakan Ketua Urusan Ulama PAS Kawasan Bukit Katil.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59