Wednesday, 13 September 2006

Petisyen Terbuka Buat Yang DiPertuan Agung


Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Ampun Tuanku!

Adalah dengan penuh rasa rendah diri, patik, selaku rakyat Tuanku dan warganegara Malaysia merafaq sembah memohon Ke Bawah Duli Tuanku agar menasihatkan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi meletakkan jawatannya selaku Perdana Menteri Malaysia yang telah dilantik oleh Ke Bawah Duli Tuanku selepas pilihanraya umum 2004.

Ampun Tuanku,

Adalah patik merasakan bahawa Dato’ Seri Abdullah Bin Ahmad Badawi sudah tidak lagi layak menerajui negara di atas alasan-alasan berikut :

1. Beliau telah gagal mengotakan janjinya yang dibuat di dalam manifesto pilihanraya 2004.

2. Beliau telah gagal mengotakan janjinya yang dibuat setelah di lantik selaku Perdana Menteri untuk membersihkan Malaysia dari gejala rasuah.

3. Beliau telah gagal menjalankan usul Suruhanjaya DiRaja berhubung penubuhan IPCMC.

4. Beliau telah gagal mempertahankan maruah negara Malaysia di dalam hubungan diplomatik.

5. Beliau telah gagal mempertahankan kedaulatan Malaysia di dalam perjanjian-perjanjian perdagangan dua hala.

6. Beliau telah gagal mempertahankan nama baik Y.Bhg Tun Dr. Mahathir, seorang negarawan ulung yang telah begitu besar jasanya kepada negara daripada di keji dan dihina.

7. Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menantunya yang mengusulkan bahawa Y.Bhg Tun Dr. Mahathir adalah Beruk.

8. Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menteri-menteri kabinet beliau yang bersikap kurang ajar terhadap Y. Bhg. Tun Dr. Mahathir.

9. Beliau sendiri telah menghina Y.Bhg. Tun Dr. Mahathir dengan mengusulkan bahawa Tun Dr. Mahathir ibarat Iblis.

10. Beliau telah gagal menjamin kebebasan bersuara yang diperuntukan oleh perlembagaan mengakibatkan Tun Dr. Mahathir merasakan dirinya lebih hina dari mana-mana pacar Tuanku yang terhina.

11. Beliau telah secara terbuka menipu rakyat Malaysia dengan membuat kenyataan-kenyataan yang bercangah dengan kebenaran hakiki.

12. Beliau telah menipu rakyat Malaysia dengan tujuan mempertahankan anaknya sendiri.

13. Beliau telah menggadaikan maruah agama Islam di mana Ke Bawah Duli Tuanku dan Raja-Raja Melayu adalah ketuanya.

14. Beliau telah gagal membendung sentimen perkauman yang semakin menular dan didalangi sendiri oleh menantunya.

15. Beliau telah gagal mengambil tindakan terhadap menantunya yang telah memalukan negara dengan bertindak menyerang persidangan antarabangsa di Kuala Lumpur dan menghalau seorang pembesar negara yang merupakan tetamu negara yang juga bererti tetamu Ke Bawah Duli Tuanku.

16. Beliau telah gagal menjadikan dirinya teladan yang baik dengan tidak mengamalkan disiplin tinggi seperti lewat dalam menepati waktu dan sering tidur di dalam majlis-majlis rasmi.

17. Beliau telah berkali-kali menggunakan kedudukannya selaku Perdana Menteri Malaysia untuk merasmikan atau menghadiri program anjuran arwah isterinya, anaknya dan menantunya sedangkan janjinya memakmurkan Malaysia masih terbengkalai.

18. Beliau telah dengan bongkak dan biadap mengaku bahawa beliau adalah Perdana Menteri Malaysia dengan tujuan menghina dan mengeji pengkritiknya.

19. Beliau telah memastikan nepostisme berleluasa di dalam kerajaan.

20. Beliau telah gagal mempertahankan aset negara dari menjadi milik negara asing.

21. Beliau telah gagal menyelamatkan negara dari gejala sosial dan jenayah yang semakin meruncing.

22. Beliau telah mengakibatkan negara kerugian berjuta-juta ringgit di dalam masa yang singkat dengan menarik balik projek-projek yang sudah berjalan di atas kesedaran beliau sebelum ini.

23. Beliau telah gagal membuktikan ketegasannya di dalam membuat keputusan dan seringkali membatalkan semula keputusan yang telah dibuatnya mengakibatkan maruah kerajaan tercalar dan negara kerugian berjuta-juta ringgit.

24. Beliau sering gagal mengutamakan kepentingan rakyat dan negara dan sering mengutamakan kepentingan peribadi dan keluarganya.

25. Beliau telah gagal memberi jawapan terhadap persoalan-persoalan isu semasa yang di inginkan oleh rakyat Tuanku.

26. Sebaliknya beliau telah mengarahkan kuncu-kuncunya menabur fitnah dan memutar belit fakta di dalam menjawab persoalan yang di dahagakan jawapannya oleh rakyat Tuanku.

27. Beliau lebih senang pergi bercuti bersama keluarga ke Australia daripada berdepan dengan masalah negara dan masalah dunia Islam yang ditindas zionis.

28. Beliau secara fizikal membawa personalitinya secara lembik, lesu dan lemah sedangkan menjanjikan kepada rakyat Tuanku kepimpimpinan yang Cemerlang, Gemilang dan Terbilang.

29. Beliau lebih suka menitiskan airmata dan bersajak daripada menjadi seorang pemimpin tabah yang di harapkan oleh rakyat Tuanku.

30. Di atas alasan-alasan di atas, Beliau telah mengakibatkan rakyat ke bawah Duli Tuanku tidak lagi mempunyai perasaan bangga diri menjadi rakyat Malaysia, tidak seperti di zaman kepimpinan Tun Dr. Mahathir. Akibatnya, rakyat Tuanku telah tidak lagi bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang pada musim ulangtahun Kemerdekaan walaupun berkali-kali di seru.


Ampun Tuanku,

Pada takrifan patik, tindakan kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memundurkan imej negara dan melemahkan rakyat Tuanku.

Ini adalah suatu pengkhianatan terhadap Negara Malaysia dan seluruh Wilayah-Wilayah di Bawah Naungannya.

Dengan yang demikian, patik sekali lagi merafaq sembah dengan penuh rasa hina memohon Ke Bawah Duli Tuanku mempertimbangkan rayuan patik rakyat jelata ini.

Ampun Tuanku!

Patik pacar yang hina,
Sheih http://kickdefella.blogspot.com/

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59