Wednesday, 20 September 2006

Penginapan percuma di hotel untuk calon pro-kerajaan


Mahu menikmati makanan lazat dan menginap di hotel mewah? Ada satu cara untuk mendapatkannya – jadilah calon pro-kerajaan dalam pilihanraya kampus.

Malaysiakini difahamkan seramai 42 pelajar menginap di sebuah hotel empat bintang di Petaling Jaya minggu lalu sebagai sebahagian daripada tanda terima kasih daripada kerajaan.

Pelajar dari Universiti Malaya (UM) ini menjadi calon pro-kerajaan dalam pilihanraya kampus yang akan berlangsung Khamis ini.

Semakan yang dibuat mendapati bil yang berjumlah lebih RM5,000 dibayar oleh pejabat Menteri Besar Selangor, atau dalam perkataan lain, dengan wang rakyat.
Malaysiakini dapat mengesahkan bahawa pelajar berkenaan menginap di Hotel Crystal Crown. Mereka kemudiannya menjamu selera di restoran hotel tersebut.

Mereka menginap di 32 bilik – termasuk beberapa bilik eksekutif yang terletak di tingkat tertinggi hotel tersebut – yang turut ditempah.

Bagaimanapun, tidak dapat disahkan sama ada sebarang program telah diadakan untuk pelajar terbabit.

Perkembangan ini merupakan usaha terbaru di pihak kerajaan untuk memastikan kumpulan pelajar anti-establishment, tewas dalam pilihanraya kampus kali ini.

Bengkel untuk pelajar

Sumber-seumber mengesahkan bahawa bengkel membina perwatakan dianjurkan oleh pihak pentadbiran UM pada 12-13 September di Hotel Pearl International di Kuala Lumpur.

Bengkel tersebut memberi penekanan kepada aspek kemahiran berucap dan kerjasama sebagai satu pasukan.

Menurut sumber-sumber lagi, majoriti pelajar yang menghadiri bengkel tersebut adalah dari kumpulan pro-kerajaan, termasuk yang disenarai-pendekkan sebagai calon.

Timbalan Naib Canselor UM (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Mohd Razali Agus dan beberapa pegawai lain turut hadir. Di universiti awam, Timbalan Naib Canselor juga merupakan pengerusi jawatankuasa pilihanraya kampus.

Sepertimana yang lainnya, kumpulan anti-establishment di UM – yang dikenali sebagai GMUM (Gagasan Mahasiswa Universiti Malaya) – juga dijangka berdepan dengan cabaran hebat.

Daripada sejumlah 41 kerusi yang dipertandingkan, kumpulan pro-kerajaan telah memenangi enam kerusi tanpa bertanding, manakala kumpulan anti-establishment menang dua.

Tidak seperti tahun lalu di mana ‘kumpulan anti-establishment’ memboikot pilihanraya kampus sebagai membantah peraturan yang didakwa tidak adil, pada tahun ini, hanya pelajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) sahaja yang berbuat demikian.

Ketika dihubungi, Mohd Razali berkata, beliau sedang sibuk dan hanya boleh memberi sebarang komen pada minggu depan.

Dari: Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59