Friday, 22 September 2006

Pemimpin Islam Thai sokong rampas kuasa


BANGKOK 22 SEPT : Pemimpin pemberontak Islam Thailand yang dibuang negara semalam menyatakan sokongan terhadap rampasan kuasa tentera di negaranya.

Lukman B. Lima yang dibuang negara ke Sweden melahirkan harapan perkembangan terbaru itu akan membuka ruang menyelesaikan isu berdarah kebangkitan masyarakat Islam di Selatan Thailand.

Naib presiden Pattani United Liberation Organisation (Pulo) itu berkata: “Memang sepatutnyalah tentera mengambil alih kuasa daripada kerajaan Thakshin Shinawatra.

“Kami harap masalah politik dapat diselesaikan di bawah Sondhi Boonyaratkalin sebagai pemimpin baru.”

Pulo adalah antara beberapa pertubuhan Islam yang menentang kerajaan pusat Thailand bagi menubuhkan sebuah negara Islam di Selatan Thailand.

Rampasan kuasa tanpa pertumpahan darah yang berlaku lewat kelmarin diketuai Sondhi, seorang jeneral yang beragama Islam yang juga pemerintah tentera darat Thailand.

Lukman dalam satu jawapan melalui e-mailnya kepada Associated Press berkata Sondhi adalah antara mereka yang “benar-benar faham masalah sebenar” yang dihadapi penduduk Islam di Selatan Thailand.

“Kami akan terus berjuang sehingga kebebasan penuh dicapai di Pattani,” katanya. Kawasan yang dimaksudkan Lukman merangkumi Pattani, Yala dan Narathiwat.

Sondhi, 59, telah mencadangkan beberapa minggu lalu agar kerajaan berbincang dengan kumpulan pemisah Islam di Selatan negara itu, tetapi cadangannya itu ditentang keras kerajaan pimpinan Thaksin.

“Kerajaan Thaksin telah gagal untuk mengekang keganasan, jadi kami meletakkan harapan pada Majlis Pentadbiran Pembaharuan,” kata Srisompob Jitpiromsri, ahli sains politik dari Prince of Songkhla University di Pattani.

Thaksin tiba di London di mana beliau mempunyai kediaman sendiri dari New York semalam.

Sama ada bekas perdana menteri itu akan meminta kebenaran untuk tinggal terus di London atau kembali ke Thailand di mana beliau mungkin menghadapi tuduhan rasuah masih menjadi tanda soal.

Sondhi yang akan bertindak sebagai perdana menteri sementara dalam sidang akhbar pertamanya semalam berkata sesiapa sahaja yang telah melanggar undang-undang akan dibawa ke pengadilan.

Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej semalam secara rasminya menyatakan sokongan terhadap Sondhi dan perkembangan ini dijangka mematahkan sebarang cadangan dari penyokong Thaksin untuk memberi tentangan terhadap rampasan kuasa itu.

Akhbar The Nation hari ini menerbitkan nama 100 orang terdiri daripada ahli politik dan ahli perniagaan yang rapat denganThaksin yang dikatakan berada di bawah pengawasan pemerintahan baru untuk diambil tindakan kerapa pelbagai salah laku.

Kerajaan baru junta Thailand semalam memberi kuasa kepada Ketua Audit Thailand Jaruvan Maintaka untuk mememulakan siasatan terhadap rasuah membabitkan kerajaan lepas yang mungkin juga akan membolehkan harta Thaksin di sita.

Jaruvan yang dikenali di Thailand sebagai “The Iron Lady'' (wanita besi) adalah antara pegawai tinggi yang telah cuba mendedahkan kegiatan rasuah dalam rejim Thaksin. Beliau hampir dipecat tetapi bertahan kerana mendapat sokongan pihak istana.

Pejabat Jaruvan semalam mengumumkan ia akan meneruskan siasatannya terhadap 14 kes rasuah yang berlaku sepanjang pemerintahan Thaksin.

Sementara itu Amerika Syarikat menyelar keras rampasan kuasa tentera itu dan memberi amaran ia mungkin akan menjejaskan bantuan dari negara itu ke Thailand, kerjasama tentera dan hubungan dagangan.

"Tidak ada sebab mengapa ini berlaku,” kata jurucakap Jabatan Negara AS Tom Casey yang juga menyifatkan perkembangan itu sebagai satu langkah ke belakang bagi demokrasi.

Menurut Casey, program bantuan AS untuk negara itu kini akan dikaji semula.

Di Rumah Putih pula, jurucakap Tony Snow berkata perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas dengan Thailand hanya akan diteruskan apabila sistem demokrasi dikembalikan di negara itu.

Sementara itu, belum ada sebarang perkembangan mengenai laporan yang mengatakan bahawa Gabenor Bank of Thailand Pridayadhorn Devakula akan dilantik sebagai Perdana Menteri sementara Thailand itu sehingga pilihanraya baru dipanggil paling awal dalam tempoh setahun.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59