Thursday, 14 September 2006

Pak Lah telah gagal, kata Penyokong Kuat Artikel 11 & IFC


KUALA LUMPUR 14 SEPT : Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah gagal melaksanakan pembaharuan walaupun beliau telah berikrar untuk melakukannya, kata seorang ahli Parlimen Barisan Nasional di Dewan Rakyat semalam.

Penyokong kuat kumpulan Artikel 11 dan IFC Datuk Zaid Ibrahim yang juga Ahli Parlimen BN-Kota Baru berkata Abdullah juga gagal untuk membetulkan kesilapan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri sebelum ini, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, walaupun ada Islam Hadhari (yang diilhamkan oleh Abdullah) dan penekanannya terhadap ketelusan, integriti dan keterbukaan, tetapi Perdana Menteri belum lagi dilihat membawa sebarang pembaharuan sebenar.

Katanya, ini mungkin kerana Abdullah kekurangan sokongan politik.

Beliau juga mempersoal mengapa perdana menteri yang memegang kuasa pada 2003 kurang kesungguhan untuk memerangi rasuah dan melaksanakan pelan integriti nasional.

Katanya, Islam Hadhari bukan setakat cara berpakaian dan mengenai agama, tetapi perlu ada nilai politik yang berbeza yang mempertahankan mereka yang menjadi mangsa atau yang mencari kebenaran.

Jika tidak, beliau bertanya, apakah bentuk budaya yang harus diteruskan.

Zaid mengulangi gesaannya supaya Abdullah perlu memperbetulkan segala kesilapan yang dilakukan oleh Dr Mahathir selama 22 tahun mentadbir negara ini.

Di zaman Dr Mahathir, katanya, wujud jutawan segera, hakim yang dipecat, Perlembagaan Persekutuan dipinda dan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri dimansuhkan.

Katanya, intipati demokrasi juga telah terhakis di bawah pentadbiran Dr Mahathir.
'Mangsa keenam'

Beliau mengingatkan bahawa jika Abdullah tidak melaksanakan perubahan, maka tiada bezanya antara beliau dan Dr Mahathir.

“Kita tidak harus terlalu memikirkan mengenai pertikaian mereka (Abdullah-Mahathir). Persoalan politik tidak penting, apa yang penting ialah halatuju kerajaan?.

“Jika kita perlukan perubahan radikal, kita harus melakukannya,” tambahnya.

Zaid juga berkata, beliau tidak mahu Abdullah menjadi mangsa “keenam” Dr Mahathir. Beliau jelas merujuk dua bekas perdana menteri dan apa yang berlaku terhadap tiga orang timbalan Dr Mahathir.

Pada suatu ketika, seorang ahli Parlimen BN bangun mencelah tetapi Zaid memberitahunya: “Biar saya habiskan dahulu, kerana Melayu mudah lupa”.

Dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59