Thursday, 14 September 2006

MENTERI YANG BERMASALAH MESTI DIBERHENTIKAN SEGERA


BUKIT KATIL 14 SEPT : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menggesa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi agar memberhentikan perkhidmatan menteri kabinetnya yang bermasalah dengan serta merta.

"Ini penting agar menteri yang berkhidmat dapat menjalankan tugas dengan sepenuhnya tanpa dibelenggu oleh masalah peribadi dan sebagainya" kata Timbalan Ketua DPP Kawasan Us Abu Bakar Ramli(Gambar) di sini petang ini.

"Jangankan mentadbir negara mentadbir rumahtangga sendiri pun sesetengahnya tak mampu" tambah Abu Bakar lagi.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kes Mahkamah Syariah melibatkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi dan bekas isterinya Zariah Hashim @ Farida Effendi.

Abu Bakar dalam kenyataan itu menggesa Imam Al Hadhari supaya memberhentikan Effendi serta merta kerana kes ini sudah tentu menjejaskan prestasi kerja Effendi dan ianya juga mencalarkan imej kabinet Kerajaan Islam Hadhari pimpinan Perdana Menteri sekarang.

Media melaporkan hari ini bahawa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Effendi Norwawi untuk menggantung pendengaran kes penyerahan harta berjumlah lebih RM50 juta kepada bekas isterinya Zariah Hashim @ Farida Effendi.

Effendi sebaliknya diperintahkan oleh Hakim Syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid supaya menyediakan afidavit jawapan berhubung keingkarannya melaksanakan perintah mahkamah.

Untuk itu, Effendi diberi tempoh 14 hari mulai hari ini dan beliau akan membuat keputusan pada 18 Okt depan.

Peguam Syarie Kamar Ainiah Kamaruzzaman yang mewakili Effendi sebelum itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan permohonan untuk membatalkan notis waran tangkap terhadap Effendi (kerana ingkar dengan perintah mahkamah) pada 8 Ogos lepas dan dia memohon agar kes pembahagian harta didengar selepas kes itu selesai.

Pertikaian mengenai penyerahan harta sepencarian yang telah dipersetujui bersama sebelum penceraian itu berlaku, telah berlanjutan sejak pertengahan tahun lepas.

Mengikut perjanjian persetujuan perceraian yang ditandatangani pada 28 Januari 2005, Effendi, 58, bersetuju untuk menyerahkan hartanah di Sarawak dan Semenanjung yang bebas dari sebarang bebanan.

Turut dipersetujui ialah 100 peratus saham Syarikat Encorp Utility Sdn Bhd, nafkah edah serta mutaah sebanyak RM50,000 dan tiga buah rumah termasuk sebuah di London.

Perjanjian yang telah dipersetujui kedua-dua belah pihak itu telah dijadikan perintah pada 21 Jun 2005 oleh Ketua Hakim Syarie, Hussin Ahamad.

Terdahulu peguam syarie Dr Mohd Rafie Shafie yang mewakili Farida, 55, berkata kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian berhubung pembahagian harta itu walaupun telah diberi peluang supaya menyelesaikannya secara baik.

Katanya, Effendi tidak menunjukkan kesungguhan dalam menyelesaikan pertikaian tersebut dan dia juga tidak pernah hadir sepanjang kes itu berjalan.

"Saya memohon satu penegasan dari mahkamah supaya responden (Effendi) menghormati mahkamah dan hadir untuk menjawab berhubung permohonan pemohon dan tidak ada undangundang yang memperuntukkan bahawa menteri diberi kelonggaran untuk tidak hadir ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun Kamar Ainiah memberitahu bahawa dakwaan Mohd Rafie yang mengatakan Effendi, 58, tidak bersungguhsungguh adalah tidak benar kerana anak guamnya telah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan pihak Farida tetapi tidak mencapai persetujuan bersama.

"Saya menghadiri perbincangan dengan pihak Farida tetapi setakat ini perjanjian dan perundingan itu menghadapi jalan buntu, ia bukannya gagal. Ini kerana tawaran responden (Effendi) tidak dipersetujui plaintif (Farida) di saat-saat akhir selepas draf disediakan.

"Perbezaan jumlah penyelesaian sangat jauh dan di situlah keadaannya sekarang," katanya.

Mohd Rafie berkata anak guamnya tidak bersetuju dalam perbincangan secara sulh itu kerana pihak Effendi telah memasukkan perjanjian baru dalam perjanjian yang telahpun dipersetujui sebelum ini.

Sementara itu, mengenai permohonan Kamar Ainiah untuk membatalkan waran tangkap ke atas Effendi, Mohamad Shakir berkata permohonan itu boleh dijadikan sebahagian daripada afidavit jawapan Effendi.

Untuk catatan anggota kabinet Islam Hadhari hari ini dianggotai oleh pelbagai menteri yang bermasalah sejak dari zaman Mahathir tetapi dikekal atau dilantik semula oleh Imam Hadhari.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59