Wednesday, 27 September 2006

MENJUAL DAN MAKAN DI SIANG HARI RAMADHAN PERLU DILAPOR KEPADA JAIM


BANDARAYA MELAKA, 27 Sept : Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan menjual dan ‘makan di siang hari’ di sepanjang bulan Ramadan diminta melaporkan terus ke bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, kerjasama itu diperlukan bagi membantu Jaim untuk mengenal pasti premis yang terlibat serta menahan mana-mana mereka yang didapati melanggar undang-undang.

Sehubungan itu, katanya, Kempen Penghayatan Bulan Ramadan yang bermula Ahad lalu bertujuan untuk mendidik masyarakat beragama Islam di negeri ini supaya lebih menghormati bulan Ramadan al-Mubarak dan bersama-sama untuk menghayatinya dengan memperbanyakkan amal ibadah.

“Justeru itu, mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan itu diminta untuk menghubungi kami di talian 06-288 1534 atau 288 1280 bagi bersama-sama menjaga kesucian bulan Ramadan ini,” katanya ketika dihubungi oleh ahkabr Melaka Hari Ini (MHI), di sini.

Menurutnya, umat Islam yang didapati melanggar undang-undang itu akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 49 Enakman Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan sabit kesalahan akan dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan untuk kesalahan pertama, sementara denda RM3,000 atau penjara setahun untuk kesalahan kedua.

Rahimin menambah, bagi kesalahan merokok di waktu siang hari dalam bulan Ramadan jika diberkas mereka akan dikenakan denda RM500 untuk kesalahan pertama manakala RM1,000 bagi kesalahan kedua.

“Pemantauan akan giat dilakukan ke setiap premis makanan termasuk di pusat membeli belah di negeri ini untuk mengesan mereka yang ponteng puasa.

Selain itu, kerjasama juga diperlukan daripada JKKK untuk turut sama memantau kegiatan ini daripada berlaku di kawasan masing-masing,” ujarnya.

Ujarnya lagi, salah satu cara untuk menyalurkan maklumat kepada umum ialah melalui pemasangan kain rentang di tempat-tempat awam di sekitar bandaraya termasuk di Melaka Sentral dan Pantai Puteri sebagai makluman mengenai denda dan hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang didapati bersalah.

“Pemasangan kain rentang akan diperluaskan ke setiap daerah di negeri ini dari masa ke semasa selama sebulan ini untuk mengingatkan masyarakat mengenai hal ini dan Jaim tidak akan teragak-agak untuk menahan sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan,” katanya.

Rahimin menjelaskan, pihaknya akan menggunakan perkhidmatan kereta jenazah sekiranya kenderaan Jaim tidak mencukupi untuk menangkap mereka yang didapati tidak berpuasa pada waktu siang dalam bulan Ramadan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59