Thursday, 7 September 2006

MAT REMPIT DAN MAT CEMERLANG PEMUDA Umno


Tedin Ng, 51, memerhatikan kerosakan pada kenderaannya yang dirosakkan dan dipecah masuk awal pagi Rabu lalu oleh sekumpulan mat rempit. (Gambar)


Menjelang November, Putera Umno bakal menukar imej ganas golongan mat rempit menjadi Mat Cemerlang dan berharap mereka akan dipulihkan.

Namun, kejayaan usaha ini masih menjadi tanda tanya. Apakah setakat menjenamakan semula nama Mat Rempit kepada Mat Cemerlang akan menyelesaikan masalah.

Kita semua sudah lali dengan Pemuda Umno. Kebanyakan aktiviti mereka hanya untuk mencari publisiti dan juga untuk menarik golongan sasaran mereka menyertai Pemuda dan Putera Umno.

Bagaimana dengan gejala sosial, gejala murtad, gejala hedonisme dan sebagainya. Mana pergi Pemuda Umno dalam isu ini?

Sebagai langkah permulaan, timbalan ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan ketua Putera Umno Datuk Abdul Azeez Rahim mendekati lebih 1,500 mat rempit di Dataran Merdeka pada hujung minggu dengan harapan untuk membawa perubahan kepada golongan ini.

Malangnya, awal pagi Rabu lalu sekumpulan penunggang motosikal mengganas di Jalan Medang Serai, Bangsar, dengan memecahkan cermin kenderaan penduduk di situ yang melaung kepada mereka supaya tidak membuat bising. Bukan salah penduduk berkenaan kerana berbuat demikian -- kejadian tersebut berlaku pada jam 5 pagi!

Jadi, mengapa Putera Umno merasakan imej mat rempit ini masih boleh diselamatkan? Jika dilihat pada insiden-insiden kebelakangan ini, tidak mungkin masyarakat umum akan menyokong golongan yang dianggap sebagai pembawa masalah kepada mereka.

Azeez yakin beliau mampu melakukannya, dan merancang untuk menganjurkan satu karnival November ini dalam usaha untuk menjenamakan semula mat rempit menjadi Mat Cemerlang. Pergerakan itu juga merancang untuk menubuhkan kelab-kelab bagi golongan ini bagi membolehkan aktiviti mereka dipantau.

Apakah dengan menubuhkan kelab-kelab sebegini tanpa pengisian agama dan akhlaq akan dapat menukar imej dan perangai Mat Rempit yang hanyut dibuat keseronokan tanpa memikirkan keselamatan diri dan orang lain.?

Diharap pergerakan ini akan membuat kajian secukupnya sebelum dibeban oleh tugas yang dicari oleh mereka sendiri.

Pertama -- mat rempit, atau pelumba haram jalanan, mendapat keseronokan dengan mengingkari perintah pihak berkuasa. Jika tidak, mengapa mereka berkumpul segenap dinihari (perhimpunan tersebut sudah jelas haram) dan berlumba sesama mereka di jalan-jalan umum, yang juga salah di sisi undang-undang.

Kedua, pihak polis melalui ketua Penguatkuasa dan Operasi Trafik Kuala Lumpur DSP Tan Hiap Seng, telah mendifinisikan mat rempit sebagai penunggang muda yang menunjukkan aksi bermotosikal dan pada masa yang sama membahayakan diri mereka dan pengguna jalanraya lain.

Putera Umno perlu mendapatkan pandangan pihak lain sebelum memulakan aktiviti reformasi ini. Pandangan tokoh agama, ilmuwan, Polis dan sebagainya mesti diambil kira. Jangan mengambil langkah dengan hanya mengikut logik akal semata-mata. Kita tahu bahawa sudah menjadi kezaliman bahawa Umno tidak suka mengambil pendekatan agama dalam apa juga masalah yang dihadapi.

Sebagai contoh, mereka harus mendapatkan pandangan ulama dan cerdik pandai agama dalam menangani apajuga permasalahan akhlaq dan moral remaja. Pandangan Polis juga perlu diambil kira kerana Polis sudah masak dengan perangai dan tingkah laku pelumba ini, apatah lagi sebahagian daripada mereka cedera parah semasa menjalankan tugas.

Salah satu sumber yang baik adalah masyarakat dan pengguna jalan raya sendiri. Siapa di antara kita yang tidak memandang mat rempit dan pelumba haram beroda empat sebagai ancaman keselamatan? Lebih-lebih lagi apabila kita melihat penunggang motosikal menongkah aliran trafik di jalan yang sibuk untuk melepaskan diri dari tindakan pihak berkuasa.

Putera Umno memberi alasan sukar bagi kita untuk menghalang mat rempit memenuhi kemahuan mereka. Hal ini perlu diperjelaskan lagi, kerana sudah jelas kemahuan mereka adalah berlumba di jalan-jalan umum, yang melanggar undang-undang.

Seperkara lagi yang perlu diperjelaskan adalah mat rempit ini tidak lagi dilihat sebagai satu ancaman, dan analogi yang digunakan adalah -- jika tidak boleh lawan, jadikan kawan -- sudah jauh menyimpang daripada matlamat asal.

Ada juga nilai yang boleh kita pelajari daripada kumpulan remaja ini, seperti setiakawan. Ya, hubungan mat-mat rempit ini sangat akrab, seperti yang pengajaran yang diperolehi penduduk Jalan Medang Serai apabila kenderaan mereka dirosakkan kerana menyuruh mereka jangan membuat bising pada dinihari.

Mungkin opsyen yang lebih baik bagi pergerakan itu adalah untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengatasi masalah ini.

Cadangan-cadangan seperti mendapatkan lesen daripada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mat rempit ini adalah satu langkah permulaan yang baik, namun aspek yang lebih penting untuk diambil perhatian adalah kaedah untuk mendidik mereka.

Cadangan menutup jalan-jalan supaya mereka boleh berlumba sesama mereka tidak boleh digunapakai sama sekali. Ia hanya akan membawa lebih banyak masalah dan setentunya memberi gambaran buruk terhadap negara ini di kalangan pelancong, baik dari dalam mahupun luar negara.

Dan pastilah, tindakan menghalalkan perlumbaan-perlumbaan seperti ini akan menggalakkan lebih ramai remaja menggadai nyawa dan tubuh badan demi gelaran jaguh kampung.

Menarik mereka menyertai kelab-kelab adalah satu idea yang baik, tetapi bagaimana kaedahnya untuk mengawasi aktiviti-aktiviti haram? Mat rempit menceburi gelanggang ini untuk nama, wang dan seks -- bolehkah masyarakat kita menyediakan semua ini?

Seperkara lagi yang menjadi persoalan adalah sama-ada mereka akan berubah walaupun aktiviti mereka dihalalkan? Satu wawancara televisyen dengan beberapa orang mat rempit ini tidak lama dulu mendedahkan golongan ini mendapat keseronokan apabila berjaya melanggar undang-undang.

Isu ini adalah tugas yang sukar untuk diperjelaskan oleh Putera Umno. Di atas kertas, usaha pergerakan ini untuk mendekati remaja di dalam sub-budaya ini adalah satu usaha yang baik, tetapi apa yang ingin dilihat oleh masyarakat adalah pencapaiannya.

Apa yang harus ditangani oleh pergerakan ini adalah sikap "anti-establishment" mat rempit ini apabila mempersoalkan isu hormat kepada undang-undang. Akhirnya, pergerakan ini tidak akan mendapat apa-apa manfaat jika golongan yang ingin mereka dekati ini terus melanggar undang-undang.

Oleh sebab itu, Putera Umno harus mencapai satu penyelesaian komprehensif terhadap masalah ini. Satu penjenamaan semula bunyinya bagus, tetapi setakat itu sahajalah.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59