Thursday, 7 September 2006

LAGI ISU MELIBATKAN KEPENTINGAN AGAMA ISLAM


Mualaf mohon ketepikan perintah halang Islamkan anak

KUALA LUMPUR 7 SEPT : Seorang saudara baru hari ini memohon kepada mahkamah supaya mengetepikan perintah sebelah pihak yang diperoleh isterinya yang bukan Islam yang menghalangnya daripada membawa dua anak mereka menganut Islam.

Pesuruhjaya Mahkamah Keluarga Datuk Aziah Ali mendengar permohonan T. Saravanan itu di dalam kamarnya semalam dan menetapkan Isnin ini untuk menyambung perbicaraan kes itu.

Pada 11 Ogos lepas, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah sebelah pihak kepada suri rumah R.Subashini yang menghalang Saravanan daripada menjadikan dua anak lelaki mereka, Dharvin Joshua, 3, dan Sharvind, setahun, sebagai penganut Islam sementara menunggu keputusan permohonan perceraian mereka.

Dalam permohonannya, Saravanan, yang nama Islamnya Muhammad Shafi Saravanan Abdullah, berkata perintah yang dikeluarkan kepada Subashini itu tidak sah kerana ia bercanggah dengan perintah sementara sebelah pihak yang dikeluarkan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada 23 Mei yang memberi kepadanya hak sementara untuk menjaga Dharvin.

Katanya perintah itu tidak sah kerana ia diperoleh daripada Mahkamah Tinggi Sivil yang tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan perintah berkenaan mengikut Seksyen Seksyen 121 (A) Perlembagaan Persekutuan yang memberi bidang kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah bagi perkara yang terletak di bawah bidang kuasanya.

Saravanan, yang bekerja sendiri, berkata beliau sedang menunggu keputusan perbicaraan dua kes yang difailkannya di Mahkamah Syariah permohonan untuk membubarkan perkahwinan dan permohonan mendapatkan hak penjagaan tetap terhadap anaknya.

Katanya Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan tentang penjagaan Dharvin, yang telah memeluk Islam bersamanya pada 18 Mei.

Dalam permohonan sebelah pihaknya, Subashini, bekas setiausaha, mendakwa suaminya cuba menyalahgunakan proses Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap Dharvin kerana dia, yang bukan penganut Islam, tidak layak untuk hadir di mahkamah itu.

Dalam affidavitnya, Subashini mendakwa dia dan suaminya menghadapi masalah rumah tangga dan percaya Saravanan mempunyai teman wanita ketika mula menghilangkan diri dari rumah mereka sejak Februari tahun ini.

Subashini menafikan bahawa Dharvin telah memeluk Islam kerana sebagai kanak-kanak, dia tidak mampu membuat keputusan tentang agama yang patut dianutinya.

Suri rumah itu mendakwa tidak pernah memberi persetujuan untuk anaknya memeluk Islam dan mengikut undang-undang, dia dan Saravanan perlu mencapai kata sepakat sebelum menukar agama anak mereka.

Subashini juga menafikan dakwaan Saravanan bahawa dia, ibu yang kasar serta sering menimbulkan masalah sejak mereka mendirikan rumah tangga.

Pasangan itu berkahwin di Jabatan Pendaftaran Negara Petaling Jaya pada 26 Julai 2001

Sumber : The Star

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59