Wednesday, 6 September 2006

K’jaan negeri guna dana khas bantu rakyat miskin untuk tujuan lain


KUALA LUMPUR 6 SEPT : Wang Dana Khas disalurkan kepada kerajaan negeri untuk membiayai program untuk golongan misikin tetapi sebahagiannya telah dibelanjakan untuk tujuan yang tidak berkaitan dengan program tersebut, seperti mengubahsuai kediaman rasmi menteri besar dan membeli peralatan penggambaran untuk krew stesen swasta NTV7.

Selain itu, menurut Laporan Ketua Audit Negara 2005, wang tersebut juga telah dibelanja untuk memasang papan iklan sempena lawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri ke Kedah.

Menurut laporan itu lagi, pada umumnya, dana khas itu terdiri daripada wang yang diterima dari Petronas dan disalurkan oleh Perbendaharaan, termasuk kepada kerajaan negeri melalui pejabat pembangunan negeri atau pejabat kewangan negeri.

Bagi tempoh tahun 2001 hingga 2005, sejumlah RM1.63 bilion diperuntukkan, termasuk kepada kerajaan-kerajaan negeri. Daripada jumlah itu, RM1.04 bilion telah dibelanjakan. Selain Kedah, negeri lain yang menerima wang dana khas tersebut ialah Kelantan, Terengganu , Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan.

Menurut laporan itu lagi, program dana khas itu yang dilaksanakan di peringkat persekutuan dapat dinikmati oleh rakyat, tetapi di peringkat negeri, peruntukan tersebut turut digunakan untuk membiayai projek dan aktiviti yang tidak berkaitan dengannya dan ini telah menjejaskan matlamat program tersebut.

Menurut laporan itu lagi, Kedah diperuntukkan RM40 juta dana khas bagi tempoh 2003 hingga 2005. Selain memasang papan iklan di atas, kerajaan negeri membelanjakan RM701,222 daripada dana itu untuk membeli label pin untuk orang kenamaan, topi, pakaian untuk pasukan kawat Ahli Dewan Undangan Negeri sempena Hari Kemerdekaan.

Wang itu juga digunakan untuk bayaran membekal permaidani dan ‘timber blind’ untuk kegunaan Pejabat Menteri Besar; peralatan penggambaraan untuk krew NTV7.

Biaya tuisyen Puteri Umno

Laporan itu menyebut, mengikut maklum balas yang diterima daripada Perbendaharaan Malaysia, perbelanjaan tersebut dibuat atas arahan Menteri Besar Kedah.

Di samping itu, peruntukan itu juga diguna untuk bayaran sumbangan bagi Program Pusat Tuisyen anjuran Puteri Umno Sungai Petani sebanyak RM110,000 hanya berdasarkan kepada kertas kerja cadangannya.

Sepatutnya, tegas laporan tersebut, pembayaran tersebut dibuat berdasarkan bil tuntutan bulanan daripada tenaga pengajr kelas tuisyen.

Manakala 700 komputer bernilai RM2.10 juta turut dibeli dengan dana itu pada 2004 untuk diagihkan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di seluruh Kedah tanpa memanggil tender.

Di samping itu, RM190,374 dibelanjakan, antaranya untuk bayaran iklan ucapan tahniah di akhbar, penginapan dan peralatan pejabat, yang dibuat tanpa mendapat kelulusan pihak Perbendaharaan terlebih dahulu.

Kerajaan Negeri Kedah juga, katanya, telah membelanjakan dana itu untuk membeli peralatan penggambaran untuk krew stesen swasta NTV7.

Terengganu pula telah diperuntukan wang dana khas sebanyak RM665 (2004-2005) tetapi ianya telah digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri itu, seperti membayar emolumen, perkhidmatan, aset dan melaksanakan projek pembangunan.

“Sesungguhnya perbelanjaan yang dibuat tidak selaras dengan tujuan asal penubuhan dana khas, namun perbelanjaan yang dibuat, telah mendapat kelulusan daripada Perbendaharaan Malaysia,” kata laporan audit itu.

Bina kediman MB

Manakala Kerajaan Negeri Perlis pula membelanjakan RM17,800 daripada peruntukan dana khas itu untuk membiayai kursus ketatanegaraan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pelis, sedang ia sepatutnya dibiayai oleh Pejabat Pembangunan Negeri Perlis.

Kerajaan Negeri Pahang pula didapati membelanjakan RM0.92 juta daripada peruntukan dana khas itu untuk membiayai kos tambahan pembinaan Kompleks Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Sepatutnya, menurut laporan tersebut, lebihan kos itu ditanggung oleh Majlis Agama Islam Pahang.

Kerajaan Negeri sembilan pula telah membelanjakan RM5.44 juta daripada wang dana khas untuk membekalkan perabot di Kompleks Pentadbiran Pejabat Daerah Port Dickson dan Seremban.

Manakala RM4.50 juta lagi daripada peruntukan dana khas itu dibelanjakan untuk projek mengubahsuai rumah tetamu Kerajaan Negeri Sembilan untuk kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Laporan Ketua Audit Negara itu berkata, perbelanjaan tersebut adalah tidak menepati tujuan sebenar penyaluarn wang dana khas itu.

Di Kelantan pula, projek-projek dengan biayai dana khas itu dilaksanakan selepas mendapat persetujuan pengerusi badan perhubungan Umno negeri itu dan bukannya ketua pengarah unit penyelarasan pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, seperti sepatutnya.

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59