Tuesday, 12 September 2006

KERAJAAN PINCANG KERANA RASUAH


Mat rempit, pendatang asing, penagih dadah dan penganggur adalah golongan yang sering dipersalahkan apabila berlaku kes-kes jenayah seperti samun dan ragut tetapi ramai yang tidak sedar sebenarnya keadaan tersebut juga terhasil kesan daripada kegiatan rasuah di sektor awam dan swasta.

Menurut seorang pakar pengurusan awam dan etika Dr Denis Osborne, kesan rasuah lebih menyeluruh termasuk menyebabkan wujudnya jenayah yang akan mengancam nyawa masyarakat dan juga menggugat kepercayaan mereka terhadap kerajaan.

Tambahnya lagi, apabila kepercayaan masyarakat hilang, kerajaan akan menghadapi masalah dalam mengembalikan kepercayaan itu kerana integriti penjawat awamnya sentiasa dicurigai.

Beliau turut menjelaskan perlakuan rasuah mampu sampai ke peringkat membunuh, contohnya apabila polis dan hakim sendiri menerima rasuah daripada penjenayah.

Bercakap pada ceramah umum di Insititut Integriti Malaysia semalam Osborne berkata golongan yang paling teruk terjejas oleh amalan rasuah ini adalah golongan minoriti, miskin dan terpinggir, "lebih-lebih lagi apabila bantuan yang sepatutnya disalurkan oleh kepada mereka dikebas oleh segelintir pihak berkepentingan."

Bagi mengatasi masalah itu, beliau turut menyarankan supaya budaya dan amalan kerja penjawat awam di Malaysia diubah supaya golongan tersebut lebih bertanggungjawab dan mengelak daripada menerima rasuah.

Bagi tujuan itu Osborne berpendapat rakyat dan kerajaan negara ini perlu dididik untuk meletakkan nilai kehidupan lebih tinggi berbanding harta kekayaan.

Seorang perunding pembangunan dasar Dr K. J. John pula berpendapat pembangunan di Malaysia juga masih terlalu didefinisikan secara materialistik manakala budaya dan amalan penjawat awam pada masa kini mendorong kepada perlakuan rasuah.

Beliau yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama hampir 30 tahun itu juga berpendapat keadaan itu timbul kesan daripada sistem pengurusan awam di Malaysia yang memerlukan keseimbangan kuasa di antara badan pentadbiran, perundangan dan kehakiman.

Hal ini, tambahnya, mendorong kepada perlakuan rasuah "kerana kita hanya akan mengambil kira soal pengekalan kuasa, sedangkan perkara tersebut ditentukan setiap lima tahun sekali," katanya dalam satu sesi soal jawab bersama Dr Denis Osborne di majlis yang sama.

"Sepatutnya kita mengambil pendekatan yang lebih luas untuk merangkumi ketiga-tiga elemen tersebut dan dengan mengambil kira masyarakat terpinggir yang tidak dijadikan sebahagian daripada dasar-dasar tersebut," katanya

Beliau turut menganjurkan supaya pengurusan awam di Malaysia diubah kepada bentuk yang lebih spiritual dan penjawat awam disarankan membiasakan diri dengan amalan bertanggungjawab.

Amalan menandatangani perutusan rasmi dengan frasa "Saya yang menurut perintah", katanya, patut dihapuskan kerana ia mendorong seseorang penjawat awam melepaskan tanggungjawab kerana beranggapan segala masalah yang timbul daripada tindakannya sebenarnya ditanggung oleh pegawai atasan.

"Ayat tersebut sebenarnya bermaksud 'saya tidak bertanggungjawab.'

"Sepatutnya kita tandatangan dengan 'saya yang bertanggungjawab' atau lebih baik lagi, 'saya yang bertanggung hisab,' kerana dihisab lebih baik daripada menjawab sahaja," katanya yang berkata cadangan itu telah dikemukakannya sejak tahun lepas tetapi masih gagal dipraktikkan.

SALHAN K. AHMAD
salhan@mstar.com.my

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59