Thursday, 28 September 2006

HARGA AYAM NAIK LAGI : RAKYAT KENA 'PUASA' AYAM


KUALA LUMPUR 28 Sept. – Nampak gayanya rakyat negara ini kena 'puasa' ayam kerana harga ayam naik lagi. Tidak sampai seminggu selepas menaikkan harga ayam 65 sen sekilogram, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (PPPM) semalam mengumumkan kenaikan harga ayam sehingga 40 sen lagi berkuat kuasa esok.

Alasan mewajarkan kenaikan itu ialah permintaan melebihi penawaran dan kenaikan itu masih lagi di bawah harga siling yang ditetapkan.

Pengerusi PPPM, Yap Kim Hwah berkata, langkah menaikkan harga ayam itu wajar memandangkan permintaannya yang meningkat dan ia dianggap perkara biasa dalam perniagaan.

“Para penternak mengalami kerugian berjuta-juta ringgit setiap bulan sepanjang tahun ini kerana harga pasaran yang gagal menampung kos pengeluaran.

“Kenaikan ini adalah bagi menampung kerugian penternak pada bulan-bulan sebelumnya,’’ katanya pada sidang akhbar bagi mengumum dan menerangkan punca kenaikan harga ayam itu.

Pada 20 September lalu, harga ayam telah dinaikkan sebanyak 65 sen.

Dengan kenaikan terbaru bermula esok, harga runcit bagi ayam siang tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal naik 40 sen kepada RM6.05 sekilogram berbanding harga sekarang RM5.65.

Sementara harga runcit baru ayam siang beserta kaki, kepala dan hempedal pula ialah RM5.40 sekilogram dan sebelumnya RM5.05.

Kim Hwah berkata, harga runcit baru bagi ayam hidup ialah RM4.50 sekilogram berbanding RM4.20 sebelumnya dan harga ladang ayam hidup ialah RM3.50, berbanding RM3.20 sebelumnya.

“Harga pemborong untuk ayam siang dan ayam hidup pula, masing-masing akan meningkat kepada RM4.80 dan RM4.00 bagi setiap kilogram berbanding tujuh hari lepas iaitu RM4.45 dan RM3.79,’’ katanya.

Kim Hwah berkata, penternak tidak menetapkan harga ayam sesuka hati, tetapi ia diputus berdasarkan suasana permintaan dan penawaran masa kini.

Menurutnya, keputusan menetapkan harga ayam dibuat melalui mesyuarat yang dipersetujui oleh semua penternak selain turut mengambil kira pandangan pemborong dan peruncit.

“Bekalan boleh ditentukan tapi permintaan tidak, kerana apabila bekalan banyak, harga akan turun dan apabila permintaan pula banyak, harga akan naik melebihi kos pengeluaran.

“Ia perkara biasa, kalau tidak mengikut trend, ramai penternak gulung tikar,’’ katanya.

Sementara itu, Perunding Eksekutif PPPM, Dr. Abd. Rahman Md. Saleh pula berkata, kerugian yang dialami oleh penternak sepanjang tahun ini menyebabkan mereka memutuskan untuk menaikkan lagi harga ayam.

“Penternak rugi lebih kurang RM1 juta hingga RM2 juta sebulan kerana sebelum ini harga ayam rendah ekoran permintaan tidak begitu tinggi dan bahan tersebut banyak di pasaran,’’ katanya.

Oleh itu, jelasnya, memandangkan tahap permintaan yang kini tinggi, penternak bercadang menaikkan harga ayam bagi mengimbangi kerugian sebelumnya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59