Friday, 29 September 2006

HANYA PANDAI BERJANJI


KEPALA BATAS 29 SEPTEMBER : Janji hanya tinggal janji. Replika cek yang diserahkan Jawatankuasa Pembinaan SRJK Cina Sin Chung Permatang Sintok pada Januari lalu memang sebenar-benarnya replika sebab sehingga sekarang duitnya belum diserahkan. Inilah kerajaan Islam Hadhari dan pemimpinnya yang kadang-kadang hanya pandai berjanji tetapi susah untuk ditunaikan.

Jawatankuasa Pembinaan SRJK Cina Sin Chung Permatang Sintok, menuntut janji Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk menyumbang RM200,000.00 seperti mana yang tercatat dalam replika cek yang diserahkan kepada jawatankuasa berkenaan pada Januari lalu.

Replika cek tersebut diserahkan melalui Ketua Menteri Pulau Pinang Dr Koh Tsu Koon pada majlis khas sempena sambutan Tahun Baru Cina dekat sini, anjuran Gerakan dan MCA.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Persatuan Bekas Murid sekolah berkenaan, Ong Yew Leng wang yang dijanjikan itu masih belum diterima.

“Perkara ini menjadi buah mulut masyarakat di sini, kerana majlis sumbangan itu telah disiarkan dalam media massa,” katanya yang juga salah seorang ahli jawatankuasa pembinaan.

Menurut Ong pihaknya sangat memerlukan wang berkenaan bagi menampung kos pembinaan sekolah baru berjumlah RM2 juta yang masih belum mencukupi.

Beliau ditemui di sekolah berkenaan selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada Presiden Keadilan, Datin Seri Dr Wan Azizah baru-baru ini, kerana usaha parti itu membantu mengumpul dana untuk pembinaan sekolah berkenaan.

Jelas Ong pihaknya juga masih menunggu janji Ahli Parlimen Batu Kawan, Huan Cheng Guan yang berikrar akan menyumbang sebanyak RM 6000.00 selepas tabung pembinaan dilancarkan Disember tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Azizah menggesa Abdullah dan Huan menunaikan janji mereka agar tidak menimbulkan masalah kepada pentadbiran sekolah dan pelajar di situ.

Pada 16 Disember tahun lalu, bangunan SRJK Cina Sin Chung hampir dirobohkan oleh pemaju Motif Era Sdn Berhad dengan bantuan 50 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk tujuan pembangunan.

Bagaimanapun ratusan orang awam daripada ibu bapa, kakitangan sekolah dan pemimpin Keadilan, PAS dan DAP berkumpul di perkarangan sekolah bagi membantah tindakan pemaju terbabit.

Pihak sekolah akhirnya berjaya mendapat perintah sementara mahkamah untuk menghalang hasrat pemaju terbabit. Kes tersebut masih berjalan.

Namun, pada 19 Disember lalu berlaku lagi kekecohan apabila pemaju bertindak mengorek parit bagi menutup jalan masuk ke tapak baru sekolah untuk upacara pecah tanah oleh Ketua Menteri. Pemaju enggan membenarkan pihak sekolah menggunakan sebahagian tanah miliknya sebagai laluan masuk ke tapak sekolah baru berkenaan.

Akibatnya berlaku pertelingkahan menyebabkan dua kakitangan pemaju tercedera sementara dua penduduk ditahan polis kerana insiden itu.

Sejak kemelut itu, Dr Wan Azizah telah melawat sekolah berkenaan sebanyak empat kali.

Kini, sebuah bangunan setinggi dua tingkat berjaya didirikan bagi menggantikan sekolah lama yang dibina pada tahun 1946, mempunyai 48 murid 16 daripadanya Melayu.

Bagaimanapun bangunan sekolah baru itu belum boleh diduduki kerana belum mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Sumber : Malaysia Today

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59