Wednesday, 13 September 2006

GAJI POLIS RENDAH. PAS SUDAH LAMA CADANGKAN GAJI MEREKA DINAIKKAN


Melaka 13 Sept : PAS sudah lama menyuarakan pandangan kepada kerajaan supaya gaji polis dinaikkan. Perkara pernah diusulkan oleh Ahli Parlimen PAS Hj Mohamad Sabu ketika beliau menjadi Ahli Parlimen dahulu. Namun usul dan candangan Hj Mohamad Sabu itu tidak diterima oleh kerajaan.

Sehubungan dengan itu adalah diharapkan kerajaan mengkaji semula cadangan yang dikemukakan tersebut sebagai satu cara untuk membantu anggota polis agar dapat menjalani kehidupan dengan lebih baik selain ianya juga boleh membantu mengurangkan gejala rasuah yang sering di dakwa dilakukan oleh anggota polis.

Media melaporkan bahawa Ketua Polis Negara yang baru Tan Sri Musa Hassan berkata anggota polis berpangkat konstabel hidup di bawah garis kemiskinan kerana gaji mereka sangat rendah.

Katanya, dengan gaji permulaan RM650 bagi konstabel, polis merupakan pekerja bergaji paling rendah di Malaysia.

Musa berkata, kalau seseorang membandingkan jenis dan beban kerja anggota polis berpangkat rendah dengan gaji yang diterima, tidak menghairankan tidak ramai orang yang mahu menyertai perkhidmatan polis.

"Kadang-kadang, saya fikir pekerja asing mendapat bayaran lebih," katanya sewaktu dialog antara polis dan Majlis Keselamatan serta penduduk Petaling Jaya Utara di Petelaing Jaya semalam.


Terdahulu, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri Datuk Fu Ah Kiow, yang turut hadir pada dialog itu, mendedahkan bahawa gaji seorang konstabel hanya sehingga RM1,100, jauh berbanding garis kemiskinan RM1,500 di Kuala Lumpur.

Musa berkata antara keutamaan beliau sebagai KPN yang baru adalah untuk memastikan gaji anggota polis daripada pangkat konstabel ke ACP dinaikkan.

Beliau turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara pengambilan anggota polis sekarang iaitu dengan cara temuduga terbuka.

"Saya lebih suka jika mereka yang diambil untuk menyertai polis diperiksa dengan teliti kerana mereka adalah orang yang akan diamanahkan dengan begitu banyak kuasa," katanya.

Musa berkata beliau telah "diperiksa selama tiga bulan" apabila beliau menyertai polis dan beliau berharap beliau dapat melakukan perkara yang sama kepada calon-calon baru polis.

Apabila penduduk membawa kes kekurangan pegawai penyiasat (IO) untuk mencatatkan kenyataan dan aduan, beliau berkata masalah itu kerana bilangan IO yang terhad di polis daerah.

"Kami kini hanya mempunyai enam IO bekerja setiap hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya. Jika banyak kes pada hari itu, mereka semua akan keluar dan pengadu terpaksa menunggu sehingga mereka pulang.

"Saya mahu menempatkan sekurang-kurangnya tujuh IO bertugas setiap hari, dengan enam dalam keadaan bersedia dan 20 sarjan untuk membantu IO ini tetapi dengan hanya 7,000 anggota CID (Jabatan Siasatan Jenayah) di seluruh negara, saya tidak mampu untuk melakukannya," katanya.

Katanya nisbah terkini antara polis dan orang ramai di Petaling Jaya adalah 1:149.

Musa berkata beliau akan mengerahkan anggota-anggota dari Unit Simpanan Persekutuan dan Pasukan Gerakan Am untuk membantu unit rondaan polis sewaktu rondaan di kawasan berpenduduk ramai dan kawasan banyak berlaku jenayah.

Polis trafik, anggota polis tidak berunifom dan detektif juga akan ditempatkan di jalan-jalan untuk memantau kawasan berisiko tinggi, katanya.

Dialog tiga jam itu yang berakhir pukul 11 malam, juga dihadiri Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hadi Ho Abdullah, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Hazam Abdul Halim dan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Datin Paduka Chew Mei Fun.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59