Wednesday, 27 September 2006

Ekuiti bumiputra melebihi 30 peratus diragui - Prof. Shamsul Amree


BANGI 26 SEPT : Seorang penganalisis politik hari ini mempertikaikan ketepatan hasil kajian yang mendakwa pemilikan ekuiti korporat bumiputera sudah melebih 30 peratus.

Pensyarah politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Shamsul Amree Baharuddin berkata, kajian tersebut amat diragui kerana tidak disertakan fakta yang tepat.
“Saya amat sangsi dengan kajian yang dibuat oleh kaum tertentu terhadap pemilikan ekuiti bumiputera. Selalunya mereka mempunyai agenda sendiri.

“Jadi saya ingin tahu siapa yang membuat kajian tersebut? Bila kajian itu dibuat dan kelompok mana? Dari sudut mana dia tengok?

“Apa motif dia buat kajian tersebut? Adakah kajian itu dibentang kepada umum atau hanya untuk peserta forum tertentu,” persoal beliau.

Minggu lalu malaysiakini melaporkan kajian yang dijalankan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) yang mendapati pegangan ekuiti bumiputera telah mencapai 45 peratus, berdasarkan perangkaan Bursa Malaysia pada September 2005.

Kertas kajian tersebut yang yang bertajuk “Pengagihan Ekuiti Korporat – Trend Masa lalu dan Dasar Akan Datang’ dikeluarkan oleh firma UBS Equity Research Malaysia. Kajian firma itu mengkategorikan 70 peratus pemilikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dianggap sebagai milik bumiputera.

Pengarah Pusat Kajian Dasar Awam Asli, Dr Lim Teck Ghee yang memetik hasil kajian tersebut berkata, GLC menguasai sehingga kira-kira satu pertiga daripada jumlah nilai pasaran pada waktu berkenaan.

Katanya, laporan UBS itu menunjukkan 10 GLC utama – termasuk Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Maybank Bhd – menguasai sehingga kira-kira satu pertiga daripada nilai pasaran pada 2005.

Seorang lagi pensyarah, Judhiana Abdul Ghani dari fakulti ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) turut mempertikaikan hasil kajian tersebut.

Katanya, orang ramai sukar mempercayai hasil kajian itu kerana pengagihan kekayaan itu tidak menyeluruh.

“Mungkin secara keseluruhannya jika dicampur dengan GLC, pemilikan ekuiti bumiputera telah mencapai tahap tersebut tetapi ia tertumpu di tangan kelompok tertentu sahaja sedangkan masyarakat ramai tidak menekmatinya.

“ Sebenarnya dalam hal ini pengagihan meluas adalah lebih penting bagi membolehkan lebih ramai bumiputera mendapat ekuiti yang dimaksudkan itu,”ujarnya.

Sementara itu Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu (DPMM) Kedah, Datuk Zainol Abidin Abdul Hamid ketika dihubungi pula berkata, kajian itu tidak boleh diterima kerana fakta yang dikemukakan adalah tidak betul.

“Kerajaan sendiri kata pemilikan ekuiti korporat bumiputera antara 18 dan 19 peratus macam mana Asli boleh kata sampai 45 peratus,” tanyanya.

Beliau berkata, kajian tersebut menimbulkan tanya tanya dan sehubungan itu pihaknya menganggap ia tidak perlu diberi perhatian serius.

Zainol Abidin juga berkata, secara keseluruhannya pemilikan ekuiti tidak menggambarkan kejayaan usahawan bumiputera.

Katanya, pembabitan usahawan bumiputera masih rendah dan mereka juga terpaksa bersaing dengan syarikat GLC dan agensi kerajaan negeri.

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59