Wednesday, 13 September 2006

DUA ORANG LAGI PEMIMPIN ISLAM HADHARI PERTIKAI LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA


MELAKA 13 SEPT : Kalau sebelum ini dua orang pemimpin peringkat pusat dan negeri mempertikaikan laporan Ketua Audit Negara, hari ini dua orang lagi pemimpin Islam Hadhari juga berbuat demikian. Nampaknya mereka ini mempertikaikan kewibawaan Ketua Audit Negara yang dilantik oleh kerajaan mereka sendiri.

Kalau perkara yang dibangkitkan dalam laporan itu tidak benar masakan ianya dijadikan laporan rasmi. Nampaknya pemimpin Islam Hadhari ini sanggup mempertikaikan laporan tersebut walaupun ianya disertakan dengan fakta dan bukti. Inilah perangai pemimpin Islam Hadhari yang sanggup menyangkal segala kebenaran apabila terkena 'batang hidung' mereka. Bukannya mereka hendak memperbetulkan keadaan atau insaf malah mereka tidak menerima dan menempelak laporan tersebut.


Baru-baru ini media melaporkan bahawa Ketua Audit Negara 2005 yang menyatakan perbelanjaan menaik taraf rumah tetamu sebagai kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan bernilai RM4.5 juta yang diambil daripada program dana khas bertujuan membantu mereka yang memerlukan, dianggap tidak tepat dan mengelirukan.

Hari ini Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata laporan tidak tepat itu boleh menyentuh kewibawaannya selaku ketua negeri.

"Itu sebab saya memanggil Pengarah Audit Negeri Sembilan supaya berhubung dengan ketua audit negara supaya memperbetulkan kenyataan tersebut.

"Saya harap selidik perkara ini dan kalau boleh dibuatkan satu kenyataan mengatakan bahawa laporan itu tidak betul. Saya tak perlu berhubung dengan audit negara kerana rekod kita semua betul.

"Saya tak tahu di mana ketua audit negara mendapat laporan tersebut atau boleh keluar laporan begitu rupa sebab kita ada pelbagai tabung amanah dan akaun berasingan seperti yang saya umum semalam," kata Mohamad Hassan kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Seremban hari ini.

Mohamad mengulangi bahawa peruntukan untuk membaikpulih dan menaiktaraf rumah tetamu menjadi kediaman rasminya itu diberikan oleh Kementerian Kewangan secara waran khas yang tidak membabitkan dana lain termasuk dana khas yang dimaksudkan laporan itu.

Semalam, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan dari DAP, Loke Siew Fook membuat laporan lisan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) Negeri Sembilan berhubung kos pengubahsuaian rumah rasmi Mohamad yang bernilai RM4.5 juta.

Loke dipetik sebagai berkata laporan itu dibuat berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2005 yang menyatakan wang dana khas yang diperuntukkan sebanyak RM41.4 juta pada 2004 dan 2005 kepada Negeri Sembilan untuk tujuan memberi manfaat kepada kepada mereka yang memerlukan telah digunakan untuk membiayai kos pengubahsuaian itu.

Sementara itu, Loke dalam kenyataan di sini hari ini berkata respons Mohamad terhadap laporannya semalam telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

Dengan itu, DAP sedang menimbangkan untuk menghantar satu memorandum kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Parlimen (PAC) secepat mungkin bagi menggesa PAC menjalankan penyiasatan terperinci terhadap perkara itu.

Loke juga menggesa Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang membuat kenyataan bagi menyangkal isu ketidaktepatan laporan Ketua Audit seperti didakwa Mohamad kerana kegagalan berbuat demikian akan menjejaskan kewibawaan institusi Ketua Audit Negara.

Sementara itu di Ipoh, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali hari ini berkata kerajaan tidak mengalami sebarang kerugian apabila 155 projek di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8) yang dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) gagal dilaksanakan di Perak.

Ini kerana 116 daripada 155 projek yang dikatakan gagal dilaksanakan itu sebenarnya tidak diberikan sebarang peruntukan walaupun RM10, katanya.

"Saya pun hairan bagaimana mereka (laporan audit) boleh mengemukakan laporan kerajaan negeri tidak melaksanakan projek dan membazirkan wang kerajaan pusat kerana kami tidak diberi wang untuk melakukannya walaupun pun ada disebut projek itu," katanya kepada pemberita di sini.

Tajol Rosli berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengulas laporan akhbar minggu lalu yang memetik Laporan Ketua Audit Negara 2005 yang menyebut tentang kelemahan aspek pelaksanaan dan pemantauan projek kerajaan hingga menyebabkan negeri rugi berjuta-juta ringgit.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dalam laporannya memberi contoh Kedah dan Perak sebagai antara negeri yang gagal memanfaatkan peruntukan dan menyiapkan projek dalam tempoh yang ditetapkan mengikut RMK8.

Ambrin berkata daripada 159 projek yang belum dimulakan di Perak, 155 daripadanya terletak dalam bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tajol Rosli berkata beliau tidak tahu pihak mana yang mengemukakan laporan tidak tepat itu kepada Ketua Audit Negara tetapi ia telah memberi gambaran kurang elok mengenai kerajaan negeri dan JKR Perak.

Katanya gambaran yang diberikan berdasarkan laporan itu memburukkan kerajaan negeri dan JKR Perak sedangkan ia tidak membabitkan kerugian kerana tiada langsung peruntukan diberikan.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Perbendaharaan sudah menyerahkan peruntukan itu kepada kementerian berkenaan tetapi ia tidak disalurkan kepada kerajaan negeri.

"Kami juga hendak tahu ke mana wang itu pergi," katanya.

Mengenai projek terbabit, Tajol Rosli berkata projek yang tidak menerima peruntukan itu terdiri daripada 109 projek bangunan dan tujuh projek pembinaan jalan.

Selebihnya, iaitu 39 projek yang menerima peruntukan kira-kira RM1 juta, 11 projek membabitkan bayaran bagi pengambilan tanah manakala 28 projek lagi masih dalam proses reka bentuk iaitu 25 projek jalan dan tiga projek bangunan.

"Sebenarnya, jika mereka (kerajaan pusat) meletakkan peruntukan RM10 bagi setiap projek, kita boleh membuat permohonan tambahan peruntukan tetapi jika tidak diletakkan langsung jumlah wangnya, bagaimana kerajaan negeri mahu melaksanakan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tajol Rosli turut meminta kerajaan persekutuan membatalkan cadangan projek pembinaan landasan kereta api berkembar Padang Rengas-Changkat Jering bernilai RM795 juta seperti yang diumumkan dalam RMK9 dan digantikan dengan projek alternatif lain dengan peruntukan sama.

Katanya projek itu boleh dianggap sebagai pembaziran kerana pembinaan landasan kereta api berkembar tidak pula dilakukan bagi laluan Ipoh-Padang Rengas dan Changkat Jering-Butterworth

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59