Sunday, 10 September 2006

BUKAN TUKAR KERIS TAPI TUKAR DASAR DAN PEMIMPIN


SUNGAI SIPUT 10 Sept. – Media melaporkan bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mencadangkan Keris Panca Warisan berwarna hijau yang terhunus pada bendera UMNO sejak 60 tahun lalu digantikan kepada lambang lain yang lebih sesuai.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menegaskan, lambang keris tidak bersarung tidak lagi sesuai digunakan kerana walaupun ia melambangkan hak serta perjuangan orang Melayu tetapi ia juga membawa maksud pergaduhan.

Selama ini lambang keris pada bendera UMNO dianggap istimewa kerana ia melambangkan keperwiraan dan kepahlawanan orang Melayu mempertahankan negara daripada penjajah.

‘‘Keris adalah senjata dan ia melambangkan pergaduhan.

‘‘Meskipun, kita kata (keris) mempertahankan hak dan perjuangan tetapi saya terfikir agaknya kerana lambang keris tidak bersarung itulah yang menyaksikan saban tahun pergaduhan berlaku di dalam parti kerana pengaruh lambang keris itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Siput di sini hari ini.

Adnan yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang berkata, tafsiran yang disuarakannya itu mungkin dianggap mengarut oleh orang ramai tetapi jika mengambil kira 20 perselisihan besar dalam tempoh 60 tahun penubuhan UMNO, ia mungkin ada kaitan.

Antara perselisihan besar yang dimaksudkan beliau ialah semasa bekas Perdana Menteri, Allahyarham Datuk Onn Jaafar keluar UMNO, Biro Agama UMNO menyertai Pas, guru-guru Melayu mengugut meninggalkan UMNO pada 1959 dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dibuang daripada UMNO kerana mengkritik Tunku Abdul Rahman.

Lain-lain peristiwa besar, kata Adnan, ialah isu orde baru dan orde lama zaman pemerintahan Allahyarham Tun Razak, UMNO diisytiharkan tidak sah pada 1987, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat pada 1997 dan terbaru perselisihan antara Dr. Mahathir dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perkara yang lebih penting yang patut difahami oleh Umno dan pemimpinnya bukannya lambang keris itu tetapi dasar dan pemimpinnya sendiri yang tidak betul. Jadi sewajibnya dasar nasionalis dan pragmatis tersebut ditukar dengan mengambil Islam sebagai dasar perjuangan. Malah pemimpin yang ada sekarang yang menggunakan kuasa untuk kepentingan diri dan keluarga di tukar kepada pemimpin yang takut kepada Allah S.W.T dan sentiasa mementingkan kepentingan rakyat.

Lagi dasar dan pemimpin Umno tidak ditukar selagi itulah Umno akan terus dilanda kemelut yang tidak berpenghujung.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59