Wednesday, 20 September 2006

BERITA ANTARABANGSA : RAMPASAN KUASA DI THAILAND


BANGKOK 20 SEPT : Pemerintah tentera Thailand lewat malam tadi bertindak merampas kuasa daripada Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dan mengisytiharkan undang-undang tentera berkuatkuasa serta-merta dan memansuhkan Perlembagaan.

Berikutan itu, Thaksin yang kini berada di New York bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu meisytiharkan darurat di negara yang telah menyaksikan sekurang-kurangnya 17 rampasan kuasa sejak 1930an.

Beliau yang dijadualkan berucap di sidang kemuncak itu beberapa jam selepas rampasan kuasa berlaku, telah membatalkan ucapannya, tetapi tindakan beliau mengisytiharkan darurat dilihat pemerhati sebagai satu tindakan yang tidak memberikan sebarang kesan kepada perkembangan terbaru di negaranya itu.

Laporan terkini AP menyebut, Jeneral Sondhi Boonyaratkalin yang dikatakan rapat dengan Raja Thai yang memang sangat dihormati rakyat mengepalai rampasan kuasa itu tanpa melepaskan walau satu das tembakan.

Juga tidak ada sebarang tanda bahawa rampasan kuasa itu menerima sebarang tentangan dari mana-mana pihak.

Jurucakap tentera Kolonel Akara Chitroj mengumumkan bahawa Sondhi yang beragama Islam di negara yang kebanyakan rakyatnya beraga Buddha itu akan bertindak sebagai pemangku perdana menteri.


Thaksin yang dipilih sebagai Perdana Menteri pada 2001 sebelum ini menghadapi gesaan supaya meletakkan jawatan berikutan dakwaan rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

"Pemerintah tentera dan polis kebangsaan telah berjaya menguasai Bangkok dan kawasan sekitarnya bagi mengawal keamanan. Tidak ada sebarang tentangan terhadap kami," demikian umum pemerintah kumpulan yang baru berkuasa itu dalam kenyataan mereka melalui saluran televisyen kebangsaan.

"Kami juga meminta kerjasama rakyat dan meminta maaf atas sebarang kesulitan," tambah mereka lagi.

Anggota dan kenderaan tentera termasuk kereta kebal kelihatan bergerak di beberapa bahagian bandaraya Bangkok yang mengalami hujan sejak beberapa hari lalu.

Pihak tentera juga telah mengisytiharkan kerajaan sementara yang setia kepada Raja Bhumibol Adulyadej dan memanggil diri mereka sebagai Majlis Pentadbiran Reformasi.

Majlis itu, menurut pihak tentera, akan menyerahkan semula kuasa kepada kerajaan yang dipilih secara demokrasi, tetapi tidak pula menyebut apakah bentuk reformasi yang akan dilaksanakannya sebelum penyerahan kuasa itu.

Berikutan rampasan kuasa, sekolah, bank dan pasaran saham Thailand akan ditutup hari ini sementara kakitangan kerajaan berpangkat tinggi termasuk setiausaha tetap di semua kementerian, ketua semua agensi kerajaan dan ketua universiti di sekitar metropolitan Bangkok diarah melaporkan diri kepda majlis berkenaan awal pagi ini.

Akara juga mengumumkan pemecatan Timbalan Perdana Menteri Chitchai Wannashit.

Menurut sumber tentera, Chitchai dan seorang Menteri Pertahanan Thammarak Isaragura n Ayuthaya -- dua pemimpin yang dikatakan sangat setia dengan Thaksin -- kini telah ditangkap.

Jurucakap kerajaan Surapong Suebwonglee yang kini bersama Thaksin di New York dilaporkan sebagai berkata tindakan rampasan kuasa oleh tentera itu tidak akan berjaya kerana demokrasi di Thailand sudah matang.

Ketika rampasan kuasa berlaku, sekurang-kurangnya 14 kereta kebal mengepong pejabat Thaksin. Satu konvoi melibatkan empat kereta kebal yang dipasang pembesar suara bergerak melalui kawasan tumpuan awam di Bangkok bagi memberi amaran kepada orang ramai supaya pulang ke rumah masing-masing bagi menjamin keselamatan diri mereka.

Bagaimanapun, rampasan kuasa itu hampir tidak disedari di kawasan pelancongan terkenal di bandaraya itu, di mana warga asing memenuhi pusat-pusat hiburan saban malam. Mereka hanya menyedarinya apabila penjaja yang menjual baju-T dan pelbagai barangan lain di sepanjang jalan bergegas menyimpan barangan jajaan mereka sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, beratus-ratus orang kelihatan berkumpul di hadapan pejabat Thaksin sambil mengambil gambar dengan kereta kebal.

Bekas Perdana Menteri Chuan Leekpai yang juga ahli parti pembangkang Parti Demokrat berkata tindakan Thaksin sendiri yang enggan meletakkan jawatan walaupun menerima desakan pelbagai pihak telah memaksa pihak tentera bertindak.

"Sebagai ahli politik kita tidak menyokong sebarang rampasan kuasa tetapi sejak lima tahun kebelakangan, Thaksin telah menimbulkan krisis di dalam negara dan ini memaksa tentera bertindak," katanya kepada AP.

Rampasan kuasa terakhir di Thailand ialah pada 1992 apabila tentera menembak penunjuk perasaan dalam pemberontakan terhadap Perdana Menteri ketika itu, seorang jeneral tentera darat Suchinda Kraprayoon. Keadaan hanya pulih apabila Raja Bhumibol masuk campur menenangkan keadaan.

Sejak itu, pihak tentera tidak pernah terlibat dalam urusan politik dan pentadbiran negara.

Tunjuk perasaan besar-besaran di Thailand awal tahun ini telah memaksa Thaksin untuk membubarkan Parlimen dan memanggil pilihanraya tiga tahun lebih awal daripada sepatutnya.

Pilihanraya itu yang diboikot oleh parti pembangkang bagaimanapun kemudian diisytihar tidak sah oleh mahkamah tertinggi Thailand.

Parti Thaksin, Thai Rak Thai, menang dengan besar pada pilihanraya pada 2001 dan 2005. Ia juga dikatakan akan memenangi mudah pilihanraya yang dijadualkan pada 15 Oktober depan kerana mendapat sokongan kuat daripada penduduk luar bandar.

Pada bulan Mac Sondhi berkata tentera tidak akan melibatkan diri dalam politik negara itu, sepertimana yang kerap berlaku sebelum 1992.

Beliau ketika itu dilaporkan berkata krisis politik patut diselesaikan oleh ahli politik sendiri dan rampasan kuasa tentera kini tinggal sejarah.

Sehari sebelum rampasan kuasa berlaku, Thaksin berkata beliau mungkin akan meletakkan jawatan kerajaan selepas pilihanraya bulan depan, tetapi akan kekal memang jawatan tertinggi parti.

Tanda awal akan berlaku rampasan kuasa dikesan apabila saluran TV tentera, Channel 5, menghentikan program biasanya dan mula menyiarkan rakaman lagu-lagu patriotik di samping menayangkan gambar Raja Bhumibol.

Golongan yang mengkritik Thaksin mahu supaya cara pemerintahannya yang terlalu menekankan pada pengswastaan dan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dihentikan.

Tentangan terhadap Thaksin semakin kuat apabila keluarganya mengumumkan penjualan saham majoriti dalam syarikat telekomunikasi negara itu Shin Corp. kepada syarikat kepunyaan negara Singapura Temasek Holdings dengan harga tanpa cukai US$1.9 bil.

Mereka menuduh penjualan itu dibuat berdasarkan "dagangan dalam" dan marah kerana aset negara yang penting telah jatuh ke tangan pihak asing.

Beliau juga dituduh mengekang kebebasan media dan melakukan banyak kesilapan di dalam menghadapi masalah kebangkitan kegiatan militan Islam di Selatan Thailand yang telah menyebabkan sekurang-kurang 1,700 orang terbunuh setakat ini.

Kuasa Raja Bhumibol, 78, adalah terhad, tetapi beliau mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati di kalangan hampir semua rakyat.

Beliau adalah raja yang paling lama bertakhta di dunia. Jun lalu beliau telah menyambut ulangtahun pemerintahannya ke-60 yang telah dihadiri oleh hampir semula keluarga di raja di dunia.

Dari : The Star

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59