Thursday, 21 September 2006

BERITA ANTARABANGSA : IRAN KECAM BARAT


NEW YORK 21 Sept. Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad mempertahankan program nuklearnya dalam ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam sambil menuduh Amerika Syarikat (AS) dan Britain memanipulasi badan dunia itu untuk memajukan agenda mereka sendiri.

“Segala aktiviti nuklear kami telus, untuk kegunaan awam dan dipantau rapi oleh pemeriksa IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa),” kata pemimpin Iran itu.

“Maka mengapakah ada bantahan terhadap hak-hak kami yang diiktiraf di sisi undang-undang?”

Mahmoud melemparkan kecaman pedas terhadap Washington dan London hanya beberapa jam selepas Presiden AS, George W. Bush menyelar para pemimpin Iran dalam ucapan beliau.

Presiden Iran itu membidas ‘kuasa-kuasa hegemoni’ yang memaksakan dasar mereka sendiri terhadap mekanisme membuat keputusan antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan.

Beliau mendakwa sesetengah negara yang menentang program nuklear Iran telah menyalahgunakan teknologi nuklear untuk tujuan perang termasuk pengeluaran bom nuklear.

Malah kata beliau, sesetengahnya mempunyai rekod buruk menggunakan bom tersebut terhadap manusia.

Mahmoud menuduh AS dan Britain memperalatkan Majlis Keselamatan untuk kepentingan sendiri.

“Kita perlu bertanya, jika kerajaan AS atau United Kingdom, yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan, melakukan pencerobohan dan pendudukan serta mencabuli undang-undang antarabangsa, mana jentera PBB yang boleh mengambil tindakan terhadap mereka?” kata beliau.

“Selagi Majlis Keselamatan tidak mampu bertindak bagi pihak seluruh masyarakat antarabangsa secara telus, saksama dan demokratik, selagi itulah kedudukannya tidak sah dan fungsinya tidak berkesan,” tambah beliau.

Mahmoud menggesa agar pembaharuan menyeluruh dilakukan terhadap struktur dan kaedah kerja Majlis Keselamatan 15 anggota itu.

Beliau menggesa Perhimpunan Agung mengambil tugas melaksanakan pembaharuan terhadap Majlis Keselamatan, terutamanya menyelamatkannya daripada keadaannya sekarang.

“Sementara itu, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali, Pertubuhan Persidangan Islam dan benua Afrika masing-masing patut mempunyai wakil sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan yang memiliki kuasa veto,” katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59