Monday, 4 September 2006

Anwar ulangi lagi tidak kembali dalam Umno


Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan perbuatan kalangan tertentu yang mendakwa beliau akan menyertai semula Umno tidak lama lagi, sebagai satu strategi jahat musuh parti itu.

“Saya sedar ada orang mendakwa saya telah mengisi borang keahlian Umno. Mereka kata saya sudah tandatangani borang Umno, mereka dakwa ada bukti. Sebenarnya ini adalah satu strategi jahat mereka. Saya dah tak boleh terima Umno dah...

“Saya tahu masih ada kawan-kawan saya dalam Umno yang mengharapkan saya kembali menyertai parti itu. Saya kalau boleh tak nak cakap lagi isu ini, tapi terpaksa juga menyentuhnya sekali lagi bagi mengulas kenyataan Presiden PKR berhubung isu ini tadi,” jelasnya semasa berucap di majlis bersama Penasihat PKR di akhir Kongres Nasional parti itu di Pulau Pinang semalam.

Sebelum itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semasa menggulung ucapan dasar presiden, telah menyatakan suaminya itu tidak akan menyertai semula Umno bagi menolak spekulasi kebelakangan ini yang mengatakan Anwar adalah orang yang akan menjadi “regu” Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seandainya berlaku pergolakan besar dalam parti pemerintah itu.

Kebelakangan ini, kalangan ahli-ahli Umno dan pemerhati politik membuat andaian bahawa Anwar akan menjadi gandingan Abdullah andainya Presiden Umno itu dicabar oleh mana-mana tokoh berpengaruh dalam parti itu sebagai lanjutan kepada krisis antaranya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kali ini, Anwar bukan sahaja mengulangi pendiriannya tidak menyertai semula Umno, malah membidas kedua-dua pemimpin Umno itu dengan menyifatkan mereka sebagai “sama korup, sama zalim”.

“Mereka mengambil kekayaan negara, membolot AP (import permit kenderaan), rebut saham dan kontrak. Dr Mahathir tahan Wan Adli (anak Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat) dan Pak Lah melanjutkan penahanan itu.

Barisan kepimpinan

“Pak Lah mempertahankan dan meneruskan tindakan Dr Mahathir itu atas nama Islam Hadhari. Jadi baik PM dulu atau PM sekarang sama sahaja. Sebab tu saya tak boleh terima Umno lagi,” tambahnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dan barisan kepimpinan PKR sekarang berjuang atas prinsip menentang rasuah dan kezaliman serta menegakkan keadilan semua kaum, agama dan bukannya berdasarkan perkauman sebagaimana yang dilakukan oleh para pemimpin Umno sekarang.

Katanya, apa yang diperlukan oleh negara ini sekarang ialah pemimpin yang amanah, pemimpin yang tidak korup dan tidak tamak haloba serta adil untuk semua kaum.

“Tapi apa yang berlaku sekarang ialah pemimpin yang bising mahu membela nasib orang Melayu itu sebenarnya meekalah yang merompak hak orang Melayu. Mereka mempermainkan isu perkauman apabila Umno tercabar. Orang Umno mainkan isu sensitif, sentimen Melayu dan hunus keris.

“Saya nak tegaskan, orang yang zalim dan korup ini kita boleh maafkan tetapi bukan menjulang dan menyertai mereka,” tambahnya.

Anwar juga mendakwa pentadbiran sekarang cuba menyembunyikan segala kepincangan dan penyelewengan mereka dengan menafikan segala-gala dakwaan tanpa memberikan alasan-alasan yang menyakinkan.

“Kerajaan kata ekonomi negara berada dalam keadaan baik. Mereka kata pertumbuhan lima peratus setahun cukup baik. Mereka nafi ekonomi kita sedang menghadapi masalah, sedangkan hakikatnya pelabur asing dan tempatan enggan melabur.

Ekonomi lembab

“Mengapa pelabur enggan melabur? Kerana mereka tidak yakin dengan kerajaan yang ada. Pentadbiran sekarang tidak mempunyai rancangan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara,” jelasnya.

Anwar juga menegaskan Perdana Menteri tidak boleh mendakwa ekonomi negara lembab akibat tindak-tanduk Dr Mahathir mengkritik kerajaan kebelakangan ini.

“Kita semua tahu ekonomi dah lembab sebelum Dr Mahathir mengkritik Abdullah lagi. Di India, Manmohan Singh (Perdana Menteri negara itu) juga dikritik hebat tapi ekonomi India terus mencatatkan pertumbuhan besar,” ujanya.

Beliau juga menegaskan Manmohan Singh tidak memberikan projek-projek kerajaan kepada kroni atau kaum keluarganya.

Penasihat PKR itu turut menempelak Abdullah kerana mendakwa tidak tahu menahu tentang projek-projek dalam negara yang diperolehi oleh syarikat anaknya, Scomi Berhad

“Mana boleh dia tak tahu, apa dalam mesyuarat kabinet, tak ada ke menteri yang bagi tahu dia? Tak ada alasan dia kata tak tahu turut dilaporkan dalam akhbar,” tempelak beliau.

Menyentuh pendirian PKR mengenai isu keagamaan pula, Anwar menegaskan partinya tetap mempertahankan Islam sebagai agama persekutuan tetapi pada masa yang sama mengakui hak agama lain di negara ini.

“Saya juga mahu tegaskan bahawa Mahkamah Syariah bukan bertujuan memaksa orang bukan Islam tunduk pada Islam. Apa yang berlaku sekarang hanyalah kekeliruan akibat dari kerajaan yang lemah dalam segala aspek pentadbiran agama,ekonomi dan politik,” jelasnya.

Dari Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59