Tuesday, 26 September 2006

200,000 TERIMA RM480 SEBULAN SEJAK 16 TAHUN TIDAK PERNAH DISEMAK. SIAPA YANG BERSALAH?


PUTRAJAYA 26 SEPT : Siapa yang harus dipersalahkan apabila diberitakan bahawa lebih 200,000 kakitangan awam dari kumpulan sokongan dan rendah dikatakan masih mendapat gaji minimum RM480.85 sebulan kerana kadar itu tidak pernah disemak sejak Skim Saraan Baru (SSB) diperkenalkan pada 1990.

Sudah tentu kerajaan dan agensi berwajib yang harus dipersalahkan dengan menganaktirikan golongan ini. Oleh kerana kelemahan dan tidak prihatinnya kerajaan dan agensi-agensi ini maka golongan tersebut terus menerus hidup dalam kesusahan dan boleh digolongkan sebagai keluarga miskin.

Kebanyakan mereka seperti atendan hospital, pembantu am rendah dan tukang kebun, tidak mendapat anjakan gaji kerana gagal dalam ujian Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 apabila Skim Saraan Malaysia (SSM) menggantikan SSB pada Oktober 2002.

Pengerusi Semakan Gaji Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman, berkata sebelum PTK, gaji asas mereka juga tidak disemak sejak SSB diperkenal 16 tahun lalu.

“Dengan kenaikan kos sara hidup serta inflasi, sukar untuk mereka menanggung anak dan isteri. Di bandar, ramai bekerja sambilan sebagai pengawal keselamatan, atendan pam minyak, pemandu teksi, penjual sate dan burger,” katanya kepada Berita Harian semalam.

Omar berkata, Cuepacs mahu kerajaan memberi pertimbangan serius menaikkan gaji kumpulan kakitangan awam rendah sesuai dengan peningkatan kos hidup dan utiliti sekarang.

Malah, Majlis Kebangsaan Kesatuan Pekerja-Pekerja Kakitangan Rendah Kerajaan (MKTR) menganggap kenaikan gaji walaupun cuma RM10 amat dihargai oleh kumpulan rendah yang kebanyakannya perlu menyara keluarga dan anak bersekolah.

Beliau berkata, cadangan untuk meminta kenaikan sehingga 40 peratus gaji bagi kakitangan Gred 1 hingga 16 amat wajar dengan kos sara hidup yang tinggi terutama di bandar besar.

Kumpulan Gred 1 hingga 16 kebanyakannya lulusan darjah enam, tingkatan Dua atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP)/Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta bertugas sebagai pembantu am rendah, atendan kesihatan, tukang masak, pemandu dan atendan haiwan.

“Gaji maksimum kumpulan itu tidak sampai RM1,000, walaupun bertugas antara 20 hingga 25 tahun,” katanya yang juga Timbalan Presiden Satu Cuepacs.

Cuepacs turut mencadangkan kenaikan 30 peratus untuk kakitangan Gred 17 hingga 40 (lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke atas), kenaikan 20 peratus untuk Gred 41 hingga 54 (lulusan ijazah sarjana muda) dan 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam/Jusa).

Sebagai contoh, jika pembantu am rendah (PAR) diberi kenaikan 40 peratus atau RM192, gaji asas mereka ialah RM672 sebulan.

Omar berkata, cadangan kenaikan gaji itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan dan Gaji Pekerja di Sektor Awam, Disember ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung MKTR, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata penyelarasan gaji kakitangan rendah perlu mengambil kira maklumat dari Unit Perancang Ekonomi (EPU) yang menyebut RM661 sebagai pendapatan golongan miskin di negara ini.

“Kita sudah menghantar memorandum asas yang antara lain meminta gaji diselaraskan pada kadar 10 peratus hingga 40 peratus.

“Satu memorandum yang lebih komprehensif dengan mengambil kira skil gaji, gred dan kelas akan dihantar. Setakat ini, 80 peratus daripada memorandum lengkap itu sudah siap dan ia dapat dikemukakan akhir bulan ini,” katanya.

FAKTA:

Kumpulan Gred 1 hingga 16

Kebanyakan lulusan Darjah Enam, Tingkatan Dua atau Sijil Rendah Pelajaran (SRP)/Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bertugas sebagai pembantu am rendah, atendan kesihatan, tukang masak, pemandu dan atendan haiwan.

Gaji maksimum tidak sampai RM1,000.

Kenaikan sehingga 40 peratus gaji bagi kakitangan Gred 1 hingga 16.

Cadangkan kenaikan 30 peratus untuk kakitangan Gred 17 hingga 40 (lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan ke atas), kenaikan 20 peratus untuk Gred 41 hingga 54 (lulusan Ijazah Sarjana Muda) dan 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam/Jusa).

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59