Wednesday, 23 August 2006

Umno KELANTAN TERUS TERTEKAN


JELI, 23 Ogos - Umno Kelantan terus tertekan dengan tindakan ramai ahlinya keluar parti dan menyertai PAS.

Baru dua hari Perdana Menteri mendakwa peluang cerah Umno menawan Kelantan, sebaliknya malam tadi seramai 100 lagi ahli Umno meninggalkan perjuangan bersama parti itu.

Mereka diketuai Ashaary Che Man, 53 dari Kampung Batu Melintang Luar menyerah borang menyertai PAS kepada Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tindakan mereka itu secara tidak langsung membuktikan kenyataan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin tersasar.

Ashaary bekas anggota jawatankuasa Umno cawangan kampung tersebut berkata, sudah sampai masanya beliau, keluarga dan rakan-rakan meninggalkan perjuangan lama.

"Saya tidak mahu lagi bersekongkol dengan parti itu yang sudah jauh menyimpang daripada perjuangan asal. Lagi pun sepanjang saya menjadi pendokong kuat Umno tidak pernah saya bergantung harap mendapat projek seperti orang lain.

"Satu mangkuk tandas pun saya tidak pernah minta. Malah lebih mengecewakan lagi saya apabila permohonan penduduk memohon lampu jalan tidak dihiraukan, sebaliknya di tempat yang tidak ada orang pula dipasang lampu," katanya selepas majlis tersebut.

Ribuan hadir mengikut ceramah yang diadakan di tepi jalan raya Jeli - Gerik sehingga anggota polis terpaksa mengawal lalu lintas.

Beliau juga melahirkan rasa kesal apabila wakil rakyat Dun Kuala Balah tidak menunaikan janjinya membayar semula wang anaknya semasa membantu kempen Umno pada pilihan raya lalu.

Anaknya Saiful Anwar, menggunakan wang simpanan sendiri bagi membantu calon Umno iaitu hampir RM1,000, namun selepas pilihan raya wang yang dijanji dibayar semula.

"Ayah saya ada pergi berjumpa dengan Adun Kuala Balah, namun dia janji mahu membayar dalam bentuk projek. Dan sehingga sekarang janji itu tidak ditunaikan," kata seorang lagi anaknya Saiful Aswadi, 26.

Yang Dipertua PAS Jeli, Haji Apandi Mohamad berkata, selepas ini lebih ramai lagi ahli-ahli Umno akan meninggalkan perjuangan lama mereka selepas kepincangan dalaman didedah sendiri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Besar ketika mengulas dakwaan Perdana Menteri mahu merampas Kelantan beliau berkata, kalau sekadar membuat jalan, jambatan dan bangunan parti Komunis pun boleh melakukan perkara itu, malah lebih hebat lagi berbanding negara ini.

Bagaimanapun kata beliau pemimpin negara tidak menggunakan kaedah Islam bagi membangunkan Malaysia, sebaliknya lebih gemar mempopularkan sistem demokrasi ciptaan manusia.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, amat malang bagi orang Melayu di Pulau Pinang sekiranya permasalahan mereka tidak dapat diselesaikan ketika pemimpin dari negeri itu masih menjadi Perdana Menteri.

"Hendak harapkan siapa lagi bagi menyelesaikan orang Melayu di Pulau Pinang . Umno patut menyelesaikan masalah itu dahulu sebelum berangan-angan merampas negeri ini," katanya.

Hadir sama pada program tersebut Penyelia Dun Kuala Balah, Haji Rasyid Mat Jais dan Penyelia Dun Air Lanas, Ustaz Abdullah Ya'kub.

Dari : Harakahdaily

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59