Wednesday, 23 August 2006

Salleh Abas: Dedahkan kebenaran mengenai krisis kehakiman 1988


KUALA LUMPUR 23 OGOS : Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas menyokong cadangan Majlis Peguam supaya disiasat semula krisis kehakiman pada 1988 yang mengakibatkan beliau dipecat daripada jawatannya.

Dalam sidang akhbar di Institut Jantung Malaysia (IJM) hari ini, di mana beliau sedang menjalani rawatan, beliau mengeluarkan kenyataan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan episod tersebut yang dilihat telah mengongkong kebebasan bidang kehakiman.

Dalam reaksi pertamanya sejak Majlis Peguam membuat cadangan tersebut pada 17 Ogos lalu, beliau membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz kerana menolak cadangan tersebut.

Katanya, selepas membaca kenyataan Nazri itu, beliau membuat kesimpulan bahawa ianya dibuat secara tergesa-gesa.

Menurut Salleh, 77, Nazri telah berkata bahawa perkara tersebut telah disiasat dan didapati tidak ada apa yang tidak kena mengenainya.

“Persoalannya ialah bilakah siasatan itu dijalankan dan jika ia dijalankan, apakah aspek siasatan tersebut? Mengapa menteri itu membuat kenyataan berkenaan?”katanya.

Salleh menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam siasatan tersebut, sambil berkata, sebarang keputusan adalah ‘satu keputusan politik...dan ianya terpulang kepada kerajaan”.

Kebenaran akan terbukti

Apa yang paling penting, katanya, ialah untuk memulihkan sebuah institusi yang demokratik dan kedaulatan undang-undang.

“Kepentingan peribadi saya dan rakan-rakan saya adalah secara kebetulan, kerana kami pernah menjadi hakim negara ini dengan berikrar untuk melindungi dan mempertahankan perlembagaan,” katanya.

Ditanya perasaannya ketika dipecat, Salleh menjawab: “Saya begitu kecewa, sehingga saya tidak menggalakkan anak dan cucu-cucu saya daripada belajar undang-undang. Saya mencari ketenangan dengan menjadi seorang pekebun (di Bukit Payung, Terengganu di mana beliau memiliki ladang di situ).

“Kebenarannya ialah pemecatan dan penggantungan lima rakan hakim saya adalah satu penipuan terhadap bidang kehakiman dan anda tidak boleh menutup kebenaran itu dengan sesuatu yang palsu. Macam manapun perkara itu akan timbul....ia akan timbul juga akhirnya...Ianya sesuatu yang lumrah,” tegasnya.

Pada 1988, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menubuhkan sebuah tribunal khas untuk membicarakan Salleh atas tuduhan salahlaku kerana mempersoalkan pindaan perlembagaan yang telah menghakis kuasa bidang kehakiman.

Dua daripada lima hakim Mahkamah Agung – Datuk George Seah dan Datuk Wan Sulaiman – yang menegaskan bahawa penubuhan tribunal itu tidak mengikut perlembagaan – turut dipecat bersama Salleh, selepas didapati bersalah atas kesalahan salahlaku oleh penal enam orang anggota tribunal tersebut, termasuk Singapura dan Sri Lanka.

‘Semak semula kuasa menteri’

Mengulas mengenai perlu dipulihkan kebebasan bidang kehakiman, Salleh menggesa supaya Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memulihkan peruntukan bagi mengadakan semakan kehakiman terhadap keputusan menteri. Peruntukan ini dihapuskan selepas krisis 1988.

“Kuasa (kehakiman) tidak boleh dibelenggu oleh pelbagai perundangan (dengan) peruntukan seperti ‘sebarang keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah,’” katanya.,

Beliau juga berkata, parti-parti politik tidak boleh meletakkan undang-undang di tangan mereka sendiri, di mana pertikaian dalamannya, tidak tertakluk kepada semakan kehakiman. Ini membolehkan parti-parti (politik) menjadi “hakimnya sendiri, yang jelas melanggar prinsip-prinsip keadilan semula jadi”.

“Lebih daripada itu, pelantikan dan kenaikan pangkan para hakim mestilah telus jika mahu dihapuskan rasa kekecewaan yang tidak sihat di dalam bidang kehakiman.

“Ketika menyediakan kenyataan ini, saya berpeluang membaca laporan malaysiakini mengenai sokongan mereka yang ternama, terhadap cadangan Majlis Peguam itu, saya amat berterima kasih kepada mereka ini,” katanya

Salleh yakin ramai lagi yang berkongsi pandangan yang sama ekoran persepsi awam bahawa pemecatan beliau dan rakan-rakan saya dilakukan secara ‘tidak adil’.

Katanya, cadangan Majlis Peguam itu adalah untuk faedah negara di mana “kita mahu melihat ia ditadbir secara demokratik dan mengikut undang-undang, supaya sistem itu dapat bertahan untuk generasi yang akan datang.”

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59