Monday, 7 August 2006

RADZI AKUI MAHATHIR BOLEH MENGGUGAT


TUARAN 7 Ogos – Kepimpinan Umno mula merasakan bahawa tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengkritik kepimpinan negara dalam siri jelajahnya ke seluruh negara akan menggugat UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang. Kenyataan ini dibuat oleh Setiausaha Agung Umno yang juga bekas 'orang kuat' Semangat 46, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.

Beliau yang melahirkan kebimbangan itu tidak menolak kemungkinan BN terpaksa berdepan dengan situasi yang hampir sama dengan pilihan raya umum 1999, jika siri jelajah itu berterusan.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja telah diambil kesempatan oleh parti pembangkang dengan menghadiri setiap siri ceramah bekas Perdana Menteri itu, malah ia juga mengelirukan ahli-ahli UMNO sendiri.

‘‘Dalam keadaan politik sekarang, apabila bekas Perdana Menteri jelajah seluruh negara, ia turut disertai sama oleh parti pembangkang.

“Ini telah menimbulkan kekeliruan dan dalam keadaan kita akan menghadapi pilihan raya akan datang, kita mungkin berhadapan dengan situasi pilihan raya 1999,’’ katanya semasa berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tuaran, di sini hari ini.

Radzi berkata, pada Pilihan Raya Umum 1999, UMNO kehilangan banyak undi majoriti di kubu kuat BN seperti di Shah Alam dan Selayang, ekoran banyak ahli dan penyokong UMNO terkeliru dengan isu pada masa itu.

UMNO dan BN berhadapan dengan cabaran getir pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 berikutan isu pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digunakan sepenuhnya oleh parti pembangkang untuk meraih sokongan.

Ketika ditemui pemberita kemudiannya, Radzi mengakui siri jelajah Dr. Mahathir telah membebankan kepimpinan parti sekarang apabila terpaksa membuat penjelasan semula kepada ahli UMNO di pelbagai peringkat.

“Ia satu beban kerana kita terpaksa beri penerangan semula menggunakan banyak tenaga, usaha dan masa. Kita ada banyak kerja yang nak dibuat,’’ jelasnya.

Nampaknya kenyataan ini mungkin merupakan titik permulaan untuk Umno bertindak ke atas Tun Mahathir. Namun bentuk tindakan belum kita ketahui. Setakat ini Umno mula giat memberikan penerangan kepada ahlinya tentang 'serangan' Dr Mahathir terutama melalui ucapan-ucapan perasmian persidangan perwakilan Bahagian-Bahagian Umno yang sedang berlangsung sekarang.

Antara tindakan yang telah di ambil setakat ini ialah menghalang Mahathir dari merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian-bahagian tersebut.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59