Thursday, 10 August 2006

PIL KETAWA DAN GEMBIRA SELALU DIJUAL SECARA BERLELUASA


MELAKA 10 OGOS : Penagih dadah tegar di negeri ini dikesan menjadikan tiga jenis pil yang digunakan sebagai ubat penenang bagi mereka yang mengalami gangguan mental dan insomnia (sukar tidur) sebagai ‘dadah’ baru untuk melepas gian.

Golongan berkenaan dikatakan mengambil pil berkenaan kerana lebih mudah diperoleh dan dijual di farmasi berbanding heroin dan ganja.

Pil baru seberat dua miligram yang dinamakan Stilnox, Xanax dan Dormicum itu dikatakan mampu memberi kesan khayal jika ditelan tiga hingga lima biji sekali gus.

Kesan khayal selepas mengambil pil itu akan membolehkan mereka ketawa terbahak-bahak dan sentiasa gembira.

Kegilaan mendapatkan pil itu mendorong beberapa farmasi di sekitar bandar ini dikesan menjualnya bagi mendapat keuntungan segera.

Walaupun ada peraturan supaya penjualan ubat berkenaan dicatatkan dalam buku rekod pembelian, ketiadaan penguat kuasaan tegas menyebabkan kaedah itu tidak berjaya dilaksanakan.

Harga pasaran bagi pil berkenaan adalah antara RM12 hingga RM35 sebiji. Ini bermakna klinik atau farmasi yang menjual pil itu mampu memperoleh keuntungan besar.

Kegiatan penjualan pil berkenaan terbongkar dalam satu serbuan dijalankan Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam serbuan di sebuah farmasi di Batu Berendam, sebanyak 307 pil berkenaan yang disorokkan dalam farmasi berkenaan dirampas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Dr Nooraini Baba, berkata semua pil khayal berkenaan hanya boleh dijual selepas mendapat nasihat doktor.

Namun, katanya, menerusi pemeriksaan yang dijalankan, sebahagian daripada pil berkenaan dijual tanpa rekod.

“Semua pil yang dirampas itu berjumlah 307 biji dan masih terbungkus dalam kotaknya. Ia dipercayai dijual kepada pihak tertentu untuk berkhayal,” katanya.

Dr Noraini berkata, pemilik farmasi berkenaan akan didakwa mengikut Peraturan 24 dan 19, Peraturan-Peraturan Racun (Bahan Psikotropik) 1989 dan Seksyen 30 (3), Akta Racun 1952 (Pindaan 1989).

“Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun,” katanya.

Gambar diatas hanya sekadar hiasan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59