Thursday, 10 August 2006

PERTIKAIAN MAHATHIR-IMAM AL BADAWI SEMAKIN MEMUNCAK


PADANG BESAR 10 OGOS : Nampaknya pertikaian antara Dr Mahathir dan Imam Al Badawi semakin memuncak apabila program yang diatur untuk Dr Mahathir mendapat halangan samada dari segi tempat ataupun arahan pihak tertentu supaya dibatalkan.

Terbaru Institut Kemahiran Mara (IKM) Beseri telah menarik balik kebenaran awalnya membenarkan dewan utamanya digunakan untuk ceramah perdana bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad anjuran Umno Bahagian Padang Besar, yang dijadualkan pada 26 Ogos depan.

Ketua Umno bahagian berkenaan, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa IKM Beseri telah diarahkan oleh ‘orang atasan’ untuk menarik balik kebenaran tersebut kerana mereka bimbang Dr Mahathir akan terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, katanya, ceramah perdana oleh bekas Presiden Umno itu akan diteruskan di tapak bangunan Umno Padang Besar.

Katanya, IKM juga tidak membenarkan dewan utamanya digunakan untuk mengadakan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar yang dijadualkan pada 27 Ogos, sehari selepas ceramah perdana Dr Mahathir.

Berikutan itu, katanya, Umno bahagian terpaksa menangguhkan mesyuarat perwakilannya sehinggalah mendapat tempat mesyuarat yang baru.

Cari tempat baru

“Tarikh baru mesyuarat tersebut tidak dapat dipastikan kerana kami menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tempat baru,” katanya.

Sebelum ini, pihak pentadbiran IKM bersetuju membenarkan dewan utamanya digunakan untuk mesyuarat bahagian pada 27 Ogos depan serta ceramah perdana Dr Mahathir sehari sebelumnya.

Zahidi percaya arahan pembatalan tersebut ada kaitan dengan ceramah perdana Dr Mahathir anjuran Umno bahagian Padang Besar.

“Daripada maklumat yang diterima, ada pihak yang bimbang Tun Dr Mahathir akan terus mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,” katanya lagi.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadapnya jika ceramah perdana Dr Mahathir itu memberi kesan negatif kepada pihak keranaan, Zahidi berkata:

“Datuk Shahidan tak payah jadi lembaga disiplin parti, dan Umno pula bukan sebuah parti kuku besi. Lagi pula, Pak Lah sendiri telah berkata jangan menghalang Dr Mahathir mengadakan ceramah,” katanya.

Kelab Gen M

Sementara itu, jurucakap Gen M kelab yang menguruskan aktiviti sokongan kepada Dr Mahathir berkata, sambutan ahli Umno dan orang ramai untuk mengikuti rombongan ke Perlis amat menggalakkan.

Katanya, dua bas yang ditempah sudah penuh tetapi pihaknya tidak bercadang membuat tempahan baru berikutan masalah kewangan.

Bagaimanapun, Naib Ketua Bahagian Umno Padang Besar, Azizan Sulaiman berkata, dewan utama IKM tidak dapat digunakan pada 27 Ogos ini kerana akan digunakan oleh pelajar institut tersebut.

Katanya, adalah tidak benar pejabat Perhubungan Umno Perlis mengarahkan tempahan dewan itu yang dibuat untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar ditarik balik.

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59