Monday, 7 August 2006

KHAIRY GUNA SENJATA AIR MATA DAN UGUT NAK LETAK JAWATAN UNTUK UJI PENGARUH


KUALA LUMPUR 7 Ogos : Nampaknya Khairy bijak mengatur strategi untuk menguji pengaruh samada masih di'sayangi' atau tidak. Senjata ini kerap digunakan oleh ahli politik untuk menguji pengaruh masing-masing. 'Musuh no.1 Khairy'ketika ini, Dr Mahathir juga pernah menggunakan strategi ini ketika mengumumkan untuk berundur pada Persidangan Agung Umno suatu ketika dahulu.

Media juga menyiarkan pandangan Pak Lah terhadap isu ini. Kata-kata Pak Lah tersebut sukar untuk ditafsir. Tetapi ianya semacam ada yang tidak kena.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, menantunya itu tidak perlu menyandang jawatan Naib Ketua Pemuda Umno jika perwakilan parti sendiri tidak mahukannya.

“Kalau orang tak mahu pada dia, tunggu apa lagi. Betul tak? Orang tak mahu dah...tentulah kalau orang tak mahu, dia tak pegang jawatan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Liga Sukan Komuniti 2006 di Padang Semarak Angkasapuri di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, Khairy dipilih oleh ahli pergerakan itu dan tindakan untuk mengundurkan diri juga perlu mendapat maklum balas daripada peringkat akar umbi parti.

Pelbagai peringkat kepemimpinan Umno semalam menganggap hasrat Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin meletak jawatan bukan penyelesaian terbaik untuk menyangkal fitnah terhadapnya.

Sebaliknya, mereka menasihatkan Khairy bersikap rasional dan membuat pertimbangan teliti dengan mengutamakan kepentingan parti sebelum membuat sebarang keputusan.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Khairy perlu berfikir panjang kerana peletakan jawatan tidak semestinya menyelesaikan masalah, sebaliknya mencipta masalah baru dalam Pemuda Umno dan memberi kesan kepada parti.

“Soal nak letak jawatan itu hak dia tapi dia kena juga fikir panjang pro dan kontra. Mungkin lebih banyak kontranya. Jika dia boleh jelas (dakwaan) dan orang terima, mungkin boleh selesai masalah dan dia boleh terus memegang jawatan,” katanya.

Kelmarin, Khairy menyatakan kesediaan berundur daripada memegang jawatan parti jika dia dianggap liabiliti kepada parti. Bagaimanapun, jika ahli berasa beliau boleh membantu ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjalankan tugas beliau akan terus berjuang bersama barisan Pemuda.

Muhyiddin berkata, sebagai orang muda dan memegang jawatan penting, Khairy mesti berani mempertahankan diri serta menjawab serta memberi penjelasan fitnah terhadapnya atau isu lain yang dikaitkan dengan namanya.

“Orang terima atau tidak, itu soal mereka tetapi saya fikir ia sikap yang baik kerana kita tak mahu ia membebankan Perdana Menteri kerana ada yang mengaitkan antara kedua-duanya,” katanya.



Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pula berkata, hanya Persidangan Pemuda Umno berhak menurunkan Khairy daripada jawatan itu.

“Kita kena ingat Khairy jadi Naib Ketua bukan dia sendiri pilih, bukan Perdana Menteri pilih tetapi Pemuda pilih. Kalau Pemuda pilih kerana dia menantu Perdana Menteri, itu hak Pemuda. Kalau Pemuda nak Khairy, kita tidak boleh halang,” katanya.

Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria pula menggesa pihak yang melemparkan pelbagai tuduhan memberhentikannya serta merta kerana ia umpama menyerang dan memperlekehkan institusi Pemuda Umno sendiri.

“Pemuda Umno menyokong penuh tanpa berbelah bagi kepemimpinan Hishammuddin dan Khairy sebagai pemimpin paling kanan Pemuda yang juga aset penting negara,” katanya.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan dengan nada tegas memberi amaran kepada pihak luar supaya tidak masuk campur dalam urusan pergerakan itu.

“Kerja untuk menaikkan atau menjatuhkan pemimpin Pemuda Umno adalah hak dan tanggungjawab ahli pergerakan, pihak luar jangan masuk campur,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda Umno, Datuk Azimi Daim pula meminta Khairy tidak tunduk kepada pihak yang berniat jahat menabur fitnah dengan meletak jawatan.

Beliau berkata, Khairy perlu bertindak rasional dengan meneliti setiap dakwaan dan memberi penjelasan untuk meredakan keadaan.

Exco Pemuda Umno, Reezal Merican Naina Merican, pula berkata fitnah itu memberi kesan kepada imej Pemuda dan memuji keberanian Khairy memberikan penjelasan kerana beliau tidak bersalah.

“Khairy sudah memberi penjelasannya dan dia sanggup meletak jawatan jika betul tuduhan itu. Beliau pendirian terbuka dan itu membuktikan bahawa beliau berani kerana benar.

“Takkan Khairy dikorbankan hanya kerana fitnah. Hari ini orang mengenakan Khairy dan mungkin esok orang lain pula yang akan menjadi mangsa,” katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

Rockerz said...

Hai, Di antara banyak blog yang saya lawati hari ini, blog anda antara yang hebat. Saya akan bookmark blog anda!

Saya ada website kaya dengan cepat. Peluang kaya dengan cepat di sini.

Lawatilah website saya bila ada masa lapang :-)

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59