Thursday, 24 August 2006

KES LINA JOY BELUM DIPUTUSKAN MAHKAMAH - FAIRUZ


PUTRAJAYA 24 OGOS : SMS yang menyatakan kes Lina Joy telah selesai adalah tidak benar. Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim berkata Mahkamah Persekutuan memerlukan sedikit masa untuk menyampaikan penghakiman dalam kes Lina Joy yang dianggap sensitif.

Beliau berkata korum yang diketuai beliau perlu meneliti hujah yang dikemukakan oleh banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam rayuan yang didengar awal Julai tahun ini.

"Akan disampaikan tidak lama lagi (keputusan), kami perlukan sedikit masa. Kita tidak boleh tergesa-gesa. Anda juga perlu ingat ada tiga hakim yang mendengar rayuan itu," kata beliau.

Ahmad Fairuz berkata lebih masa diperlukan bagi membolehkan korum itu menulis alasannya.

Beliau memberi respon kepada pertanyaan konon terdapat desas-desus disebarkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) memberikan tarikh tetap mahkamah akan menyampaikan keputusannya, serta khabar angin yang Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan memihak kepada Lina Joy.

Mahkamah menangguhkan keputusannya pada 4 Julai selepas mendengar hujah dari pelbagai pihak dalam rayuan itu.

Lina, 42, nama lahir Azlina Jailani, merayu terhadap penolakan Mahkamah Rayuan terhadap permohonannya untuk menghapuskan perkataan "Islam" dari kad pengenalannya.

Rayuannya ke mahkamah itu ditolak pada 19 Sept 19 tahun lepas, dalam keputusan majoriti 2-1, untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi tidak membenarkan permohonannya bagi penghapusan perkataan "Islam" dari kad pengenalannya atas alasan keputusannya keluar dari Islam tidak disahkan oleh Mahkamah Syariah atau mana-mana pihak berkuasa Islam yang lain.

Pada 23 April, 2001, Mahkamah Tinggi memutuskan sebagai seorang Islam, Lina, tidak boleh keluar dari Islam dan bahawa isu itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Syariah.

Dalam samannya, Lina menamakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kerajaan Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Datuk Wan Ibrahim Wan Ahmad sebagai responden.

Pada 2 Feb 1997, Lina memohon kepada JPN untuk menukar namanya atas alasan beliau tidak lagi memeluk Islam dan telah masuk Kristian.

Permohonan itu ditolak oleh JPN pada 11 Ogos 1997.

Permohonan keduanya kepada JPN untuk menukar namanya kepada Lina Joy diluluskan dan JPN memintanya memohon kad pengenalan baru.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59