Monday, 14 August 2006

KERAJAAN AKHIRNYA AKUI DAKWAAN PAS


KEPALA BATAS 14 OGOS : Kerajaan akhirnya mengakui dakwaan PAS bahawa penjualan 31 peratus kepentingan Pantai Holdings Bhd kepada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd mempunyai risiko besar kepada kepentingan negara dan rakyat negara ini.

Ini diakui apabila Perdana Menteri sendiri meminta perkara tersebut dikaji semula bagi mengembalikan penguasaan rakyat tempatan dalam syarikat konsesi membekalkan keperluan hospital di negara ini ekoran penjualan 31 peratus kepentingan Pantai Holdings Bhd kepada firma Singapura, Parkway Holdings Ltd.

PAS melalui Naib Presidennya Dato' Husam Musa dan Dewan Pemuda PAS Pusat telah lama mendesak Perdana Menteri menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara ini. PAS juga melahirkan rasa hairan bagaimana Perdana Menteri boleh membiarkan perkara ini berlaku sedangkan ianya amat penting kepada negara. Dari isu ini jelas kepada kita bahawa Perdana Menteri sangat lemah dan lembap dalam menangani isu yang sangat penting ini.

Media hari ini melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan memberikan perhatian kepada isu penjualan itu kerana ia menimbulkan masalah disebabkan beberapa perkara berkaitan konsesi yang diberikan kepada Pantai Holdings iaitu kontrak membekalkan keperluan hospital.

"Jadi (berikutan penjualan saham dalam Pantai Holdings), konsesi telah terlepas ke tangan orang lain dan (kerajaan) mengharapkan ia akan (kekal) kepada pihak Malaysia, akan dipegang oleh rakyat Malaysia.

"Jadi perkara ini dalam perhatian pihak Perbendaharaan," katanya tetapi enggan mengulas lanjut mengenai langkah yang bakal diambil.

Pak Lah yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan pemberita selepas merasmikan Hari Pengasas Yayasan Budi Penyayang Malaysia dan cawangan Bank Muamalat Malaysia Bhd Kepala Batas di Kompleks Budi Penyayang di sini, semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Hj Salamat Aman berkata nampaknya baru sekarang Pak Lah baru sedar dari tidur yang nyenyak sebelum ini. Nampaknya dakwaan sesetengah pihak bahawa Pak Lah lembap dan lemah dalam mentadbir negara ada kebenarannya.

"Dah jual lama dah, baru sedar, lemah ini kalau nak beli saham itu balik mesti ianya dibeli dengan harga yang jauh lebih mahal. Maka sekali lagi duit rakyat akan dibazirkan" ujar Hj Salamat dengan nada kesal.

"Dah teruk dihentam oleh PAS dan Dr Mahathir barulah dia sedar dan insaf, inilah bahananya apabila kepentingan negara dipegang oleh orang yang lembik dan lemah" tambah Hj Salamat lagi.

Sebelum ini, laporan menyebut anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir menjual kepentingannya dalam Pantai Holdings kepada Ketua Eksekutif Kumpulan Pantai, Lim Tong Yong.

Penjualan itu dibuat secara berperingkat sejak 2001. Ia membabitkan kepentingan 31 peratus dalam Pantai Holdings yang dijual oleh Mokhzani kepada Lim, dan kemudian dijual kepada Parkway Holdings.

Parkway membeli kepentingan dalam Pantai Holdings yang mengendalikan tujuh hospital di Malaysia itu pada harga RM311.58 juta dalam usahanya menjadi pemain utama dalam industri penjagaan kesihatan di rantau ini.

Pengerusi Parkway, Richard Seow dilaporkan berkata, pembelian saham itu membolehkan Parkway meningkatkan bilangan hospitalnya di Malaysia kepada sembilan berbanding dua ketika itu.

Pantai Holdings menerusi anak syarikatnya, Pantai Medivest Sdn Bhd memegang konsesi selama 15 tahun bagi menyediakan perkhidmatan sokongan kepada hospital kerajaan.

Sebuah lagi anak syarikatnya, Fomena Sdn Bhd pula memiliki konsesi bagi membuat pemeriksaan kesihatan kepada pekerja asing yang mahu bekerja di negara ini.

Sementara itu, akhbar Star semalam memetik sumber industri sebagai berkata, Pantai Holdings mungkin melanggar syarat konsesi dari segi pegangan ekuiti Bumiputera apabila Mokhzani menjual sahamnya kepada Lim pada April 2001.

Mengikut dasar penswastaan kerajaan, sesebuah syarikat yang diberikan konsesi perlu dimiliki 30 peratus kepentingan ekuitinya oleh Bumiputera.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

Anonymous said...

I have been looking for sites like this for a long time. Thank you! » »

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59