Wednesday, 16 August 2006

HISHAMUDDIN RAIS 'PUKUL' DR MAHATHIR


oleh : Hishamuddin Rais dipetik dari Malaysiakini.

Ketika saya membaca laporan tentang Tun Dr Mahathir Mohamad kebelakangan ini, saya tiba-tiba menyedari bahawa jiwa saya telah diresapi oleh satu perasaan. Sebenarnya, perasaan yang ada dalam hati saya ini adalah perasaan yang ‘hitam’. Dari kitab-kitab suci yang pernah saya baca, perasaan ‘hitam’ ini tidak seharusnya wujud dalam roh saya.

Al-Quran melarang manusia memiliki perasaan ini. Kitab suci Gautama Buddha banyak memperkatakan bagaimana insan wajib melawan perasaan hitam ini. Malah sama seperti ajaran Sufi, Sidarhata juga mengajukan pelbagai bentuk cara – dari zikir, bermeditasi, bernafas dan pergerakan badan – agar perasaan
hitam ini lupus.

Tetapi dalam masa yang sama, saya mesti berlaku jujur terhadap susuk saya sendiri. Agihan kejujuran yang utama daripada saya adalah untuk roh dan tubuh badan saya. Saya tidak dapat melarikan diri daripad perasaan ini. Kalau saya melarikan diri, ertinya saya tidak jujur kepada roh dan tubuh badan saya.

Perasaan ini ialah perasaan gembira – saya begitu gembira dan cukup senang hati apabila melihat apa yang sedang terjadi kepada Dr Mahathir pada ketika ini. Saya tidak dapat menyorokkan kegembiraan ini. Tidak mungkin. Kenapa saya perlu berbohong dan tidak ketawa terbahak-bahak apabila melihat Dr Mahathir dalam kesesakan. Pernah di surahkan di Hollywood – ‘Saya bukan sahaja gembira kerana berjaya mendapat oskar tetapi saya juga ingin melihat orang lain gagal...’ Ha ha ha.

Saya gembira kerana saya percaya terhadap hukum karma. Apa yang sedang terjadi kepada Dr Mahathir ini adalah hasil perbuatan dirinya sendiri. Kalau ada insan yang diberitahu bahawa getah ipoh itu adalah racun, tetapi dia masih ingin memakannya, maka tidak ada apa yang boleh kita lakukan...hanya kita sama-sama bergotong-royong menggali kuburnya.

Pada petang di hari Dr Mahathir menangis meletakkan jawatan di Perhimpunan Agung Umno pada 2002 dahulu, saya sedang melakukan senaman di luar sel tahanan saya di Kamunting. Satu habuk pun saya tidak percaya terhadap apa yang dituturkannya oleh Dr Mahathir pada petang itu. Malah perkataan – akan, yang, dan, di, nya – yang muncul dari mulut Dr Mahathir itu pun, saya tidak percaya. Malah titik di huruf ‘i’ dan sengkang pada huruf ‘t’ – jika huruf-huruf ini datang dari mulut Dr Mahathir – juga saya tidak akan percaya.

Tidak berterima kasih

Saya memiliki pengalaman sendiri. Dr Mahathir menghebohkan kepada media bahawa saya menangis dan berlelehan air mata meminta untuk pulang ke Malaysia. Dia juga menuduh saya tidak berterima kasih. Jawapan saya cukup senang. Saya amat jarang menangis ketika berada di luar negara. Ketika saya menulis surat rasmi untuk memohon pulang ke Malaysia itu, saya berada di kota London.

Justeru, saya tidak mungkin menangis kerana keseronokan hidup saya pada ketika itu mencurah-mencurah lebih hebat daripada curahan ombak tsunami di Acheh. Kemudian saya dituduh tidak berterima kasih. Ini tepat dan betul. Saya tidak menafikan ini. Saya tidak pernah berterima kasih kepada Dr Mahathir dan tidak mungkin dalam masa terdekat ini, saya akan melakukannya.

Ini adalah hasil didikan daripada kaum keluarga saya. Kami sekeluarga hanya akan berterima kasih kepada orang yang kita kasih. Kita, sebagai warga negara, harus mengakui bahawa bumi Malaysia ini bukan hak milik Dr Mahathir. Bumi ini hanya kita pinjam untuk sementara. Jadi, kehadiran saya di bumi ini ataupun di mana saja, tidak ada sangkut-paut dengan Dr Mahathir.

Justeru, tidak mungkin saya akan berterima kasih kepada Dr Mahathir walaupun dia akan menghadiahkan kontrak membuat jambatan emas dari Kubang Pasu ke Singapura. Ataupun saya diagihkan kontrak untuk membuat tiga laluan jalan keretapi dua tingkat dari Kuala Lumpur ke Sinkiang.

Di media, saya juga telah dituduh oleh Dr Mahathir sebagai dalang yang menghasut rakyat keluar berdemonstrasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuang daripada kerajaan. Sebenarnya, pada ketika itu, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku dan tidak kenal siapa yang keluar berdemonstrasi. Apa yang saya
lakukan ialah mengumpul semua bahan sebaran dan mengambil gambar. ( Semua bahan ini dirampas polis ketika saya ditahan).

Bila tuduhan dalang itu sampai, maka saya cukup yakin bahawa manusia yang bernama Dr Mahathir ini tidak boleh dipercayai. Rasa saya, kata-kata, ucapan dan janji Datuk Paduka Ibrahim Ali, lebih senang untuk saya yakini daripada ucapan Dr Mahathir.

Hukum karma

Pada ketika ini, saya ketawa kerana balasan karma telah sampai ke pangkuan Dr Mahathir. Sebenarnya, apa yang sedang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri kita itu adalah menyeksa dirinya sendiri di hadapan mata rakyat Malaysia.

Menyeksa diri sendiri wujud dalam mitologi agama. Dari mazhab Syiah, kita akan melihat apabila bulan Muharam sampai, para penganut Syiah akan memukul diri mereka sendiri hingga berdarah-darah dan ada yang sampai mati. Dari apa yang saya dengar, ini dilakukan kerana mereka menyesali di atas kematian
Saidina Ali.

Dalam mitologi Kristian pula, pada bulan April, ada penganut yang soleh tetapi elah merasa berdosa, lalu mereka merantai kaki mereka dengan bola besi dan mengheret bola besi ini dari gereja untuk mengelilingi bandar. Dalam agama Hindu pula, para Syahdu akan tidur di atas paku, di atas kaca atau berdiri sebelah kaki untuk menyeksa diri sebagai tanda kesetiaan terhadap agama.

Waspada, Dr Mahathir menyeksa dirinya sendiri bukan kerana mengikut mitologi agama. Dia diseksa oleh hukum karma perbuatan dirinya sendiri. Mari kita melihat satu persatu hukum karma yang sedang menyeksa Dr Mahathir.

Dr Mahathir merancang untuk menjatuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui pemilihan dalam parti. Dr Mahathir mungkin telah berjaya memujuk Tan Sri Megat Joned ataupun Tan Sri Sanusi Junid untuk bertanding melawan Abdullah. Tetapi perlembagaan Umno telah berpuluh kali diubahsuai untuk mempertahankan kedudukan Dr Mahathir sendiri. pada satu ketika dahulu. Lalu, peluang Sanusi atau Megat untuk mendapat pencalonan melawan Abdullah hanya tinggal angan-angan Mat Jenin seperti Sanusi menanam padi di atas bumbung.

Dr Mahathir telah menyuarakan harapan sedihnya agar dia dapat dijemput untuk berucap di hadapan ahli-ahli parti. Seorang YB dari Perlis telah bersedia untuk menjemput Dr Mahathir merasmikan mesyuarat bahagian. Sayang, seribu kali sayang, rupa-rupanya, dengan senyap-senyap tanpa diketahui umum bahawa orang politik yang boleh merasmikan mesyuarat bahagian hanya menteri dan ahli Majlis Tertinggi sahaja.

Siasat punya siasat, yang membuat peraturan ini tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir sendiri. Dr Mahathir tiba-tiba menjadi marah kerana media dan akhbar tidak memberi ruang untuk dia berleter. Dia marah kerana dia seorang Tun, bekas Perdana Menteri, wira dunia ketiga dan Raja Seluruh Afrika. Dr Mahathir dengan begitu cepat sekali terlupa bahawa akhbar dalam negara ini hanyalah akhbar ‘sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu – bagi makan aku makan yang lain aku tak tahu’.

Mahathir terlupa bahawa dalam negara ini ada pelbagai undang-undang dan akta yang mengawal dan mengekang kebebasan akhbar daripada membuat laporan yang berwibawa. Sebenarnya kemerosotan akhbar menjadi bertambah buruk dalam zaman pemerintahan Dr Mahathir sendiri.

Membunuh tradisi

Ketawalah kita sekali lagi kerana Mahathir terlupa tentang Akta Percetakan. Penyokong dan pembodek Dr Mahathir telah cuba mencari dewan hotel, dewan orang ramai, agar Dr Mahathir dapat diberi ruang untuk berleter. Ha ha ha...sin sa la bin...satu pun tempat tidak dapat mereka sewa. Rasa saya, Dr Mahathir terlupa atau buat-buat lupa tentang tabiat tidak memberi ruang umum kepada sesiapa yang tidak menyokong kerajaan ini.

Perangai menekan orang lain dari bersuara ini telah diperkenalkan oleh dirinya sendiri. Malah, selama 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir, tabiat menekan rakyat daripada bersuara ini telah dijadikan seni. Saya rasa pasti Dr Mahathir teringat kepada dewan kuliah F di fakulti sastera Universiti Malaya atau di Dewan Tunku Canselor yang pernah memberikan ruang untuknya berucap ketika suasana demokrasi kampus gilang-gemilang.

Siapa yang membunuh tradisi debat in – orangnya tidak lain dan tidak bukan ialah Dr Mahathir sendiri. Kerana itu, pada hari ini, jangan harap Dr Mahathir akan dijemput untuk berleter di Dewan Tunku Canselor, hendak mencium bau surau Kolej Kelima pun tidak mungkin dapat.

Yang paling lawak bagi saya ialah apabila Dr Mahathir merungut yang dia tidak dapat bertemu dengan para pelajar Malaysia di kota London. Dr Mahathir juga telah gagal untuk mendapat peluang berleter di hadapan ahli kelab Umno London. Bukankah cara ini juga telah digunakan ketika penyokong Anwar ingin menerangkan kepada para pelajar Malaysia di luar negara dahulu. Pelajar yang ingin mendengar. telah diugut, ditarik biasiswa dan ada yang dihantar pulang.

Apabila dia pulang dari London pada 22 haribulan lepas, saya tersenyum gembira kerana hanya ada 300 orang sahaja yang datang menyambut wira dunia ini. Inipun akhbar tempatan telah membesarkan angkanya seperti 1.000 orang mengikut laporan akbar MCA – The Star. Ini kerana mereka masih ada belas kasihan melihat Dr Mahathir sedang menyeksa dirinya sendiri.

Wow ! Tiba-tiba bekas Perdana Menteri ini bangun dengan gagah berani dan menuduh anak menantu Abdullah ‘menyamun’ pelbagai bentuk kontrak dan projek dari kerajaan. Oh la la...kata orang Perancis, bila terperanjat. Saya pun terperanjat sama.

Perkara ini tidak seharusnya ditimbulkan kerana ini adalah aturcara dan jalan kerja ekonomi yang pernah disusun oleh Dr Mahathir sendiri. Macamlah sudah terlupa tentang berbilion duit Petronas dirembatnya untuk menyelamatkan anak dan suku-sakatnya. Paling gembira hati saya ialah apabila saya terbaca tentang cadangan agar nama ‘precint’ yang digunakan oleh Dr Mahathir di Putrajaya akan disunatkan untuk masuk Melayu. Ini satu perli yang amat besar.

Tindakan ini adalah cara terhormat untuk memperlekehkan wira dunia ketiga. Kalau sayalah Dr Mahathir, pasti saya merasa berbulu. Kerana telah nampak jelas dan tidak perlu bersuluh bahawa semua yang telah dilakukannya. sedang dirombak satu persatu oleh Abdullah. Apabila saya menulis tentang Abdullah ini, saya akan ketawa terbahak-bahak dan berguling-guling di atas lantai. Abdullah ini mungkin kerana dia insan yang warak, maka dia telah tidak ambil ‘pot’ tentang apa sahaja yang dileterkan oleh Dr Mahathir. Saya rasa Dr Mahathir cukup terseksa dengan langkah tepat yang diambil oleh Abdullah ini.

Mahathir keseorangan

Saya teringat zaman rock saya dahulu. Ada juga orang tua penjaga moral yang cuba berleter terhadap pakaian dan gerak-geri saya. Saya langsung tidak ambil ‘pot’. Apa yang dia boleh lakukan. Saya muda, tambang bas dan duit tiket ‘fun fair’ yang saya gunakan, bukan duit dia. Saya biarkan dia menyalak hingga kering air liur.

Saya cukup senang hati dan gembira apabila Dr Mahathir diseksa oleh jawapan sunyi sepi dari Abdullah. Adakah ini satu strategi yang dirancang atau kerana Abdullah sendiri tidak memiliki jawapan...tidak akan saya pedulikan. Apa yang pasti ialah Dr Mahathir sedang menyeksa dirinya sendiri kerana Abdullah tidak menjawab.

Tup...tup...tiba-tiba semuanya lengang. Tidak ada lagi orang datang berpusu-pusu mencium tangan Dr Mahathir. Cuma Ibrahim kini telah menjadi orang kanan Dr Mahathir. Ini bukan kerana rotan tidak ada maka akar pun boleh digunakan. Ibrahim ini bukan berstatus akar tetapi berstatus daun lalang. Saya lihat Dr Mahathir ini betul-betul ‘desperate’. Apabila Dr Mahathir dalam keperitan seperti ini, sayalah orang yang paling gembira.

Lalu saya bertanya – ke mana perginya wira-wira anak didikan Dr Mahathir sendiri. Datuk Seri Rafidah Aziz telah berpaling tadah, Datuk Seri Najib Tun Razak langsung tidak bersuara, Datuk Abdul Ghani Othman tidak berkata apa-apa dan Datuk Seri Nazri Aziz pula sudah menjadi tukang pukul boss yang baru.

Maka yang tinggal hanyalah Ibrahim dan Tan Seri Abdullah Ahmad a.ka Dolah Kok Lanas. Hasilnya, apa yang dilakukan oleh Dr Mahathir ketika menyeksa dirinya sendiri ialah dia juga turut menyeksa orang-orang pencen dan orang-orang bekas itu dan bekas ini. Mungkin ada yang akan menuduh saya tidak memiliki perasaan kerana ketawa melihat orang tua menyeksa diri sendiri. Ini tidak betul. Dalam hal seperti ini kita tidak perlu ada belas kasihan.

Tulisan saya ini akan terus tersimpan dalam alam siber untuk menjadi ingatan kepada generasi yang akan datang. Mereka akan melihat bagaimana Dr Mahathir dengan licik telah menyusun strategi, undang-undang dan peraturan agar dia dapat berkuasa selama 22 tahun.

Dia menggali lubang dan memasang banyak perangkap untuk menimbuskan musuh-musuh politiknya. Tetapi lihatlah apa yang sedang berlaku di hadapan mata kita. Biarlah saya reka sebuah pantun untuk mengingati orang yang bernama Dr Mahathir ini:

Gali punya gali
Jerat punya jerat
Pandai-pandai tupai melompat
Mahathir tersembab di lubang Katak.

Mahathir hanyut dengan labu labinya...Biarkan...biarkan.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59