Wednesday, 16 August 2006

FILEM GUBRA : ISU PENGHINAAN KEPADA AGAMA LEBIH BESAR DARI ISU BAHASA YANG DI GUNA OLEH SYARIFAH AMANI


KUALA LUMPUR 16 OGOS : Sehari dua ini heboh pasal penghinaan terhadap bangsa dan bahasa Melayu yang dilakukan oleh pelakon Gubra Syarifah Amani ketika menyampaikan ucapan selepas diumumkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-19 (FFM19).

Ada yang menyifatkan pelakon berkenaan `anak Melayu lupa daratan’, orang ramai yang turut mendesak Syarifah Amani atau lebih mesra dengan panggilan Nani, tidak lagi diundang ke majlis rasmi.

Malah, ada di antara mereka menyarankan penerbit filem atau drama memulau pelakon berkenaan, selain turut meminta Perbadanan Filem Nasional (Finas) berbuat sesuatu untuk memastikan perilaku aktres berkenaan tidak menjejaskan artis keseluruhan.

Seorang pembaca yang enggan namanya disiarkan berkata, kenyataan Nani itu amat mengguris hati orang Melayu, lebih-lebih lagi di bulan kemerdekaan negara ini.

“Kenyataannya itu memang tidak boleh dimaafkan langsung, apatah lagi ketika bangsa dan bahasa Melayu terus dimartabatkan,” katanya menerusi e-mel kepada sebuah media.

Ketika berucap di pentas sejurus dianugerahkan Aktres Wanita Terbaik, Nani mengeluarkan kata-kata yang dianggap keterlaluan sehingga menghina bangsa dan bahasa Melayu.

Dia dilaporkan berkata: “I look stupid when speak in Malay, so I will make my speech in English”(saya kelihatan bodoh bila bercakap bahasa Melayu, jadi saya akan berucap dalam bahasa Inggeris).

Tetapi malangnya isu penghinaan kepada Islam dan pengembangan budaya Islam liberal
yang dimuatkan di dalam filem tersebut tidak dibesar-besarkan. Sepatutnya isu tersebut lebih besar dan serius berbanding isu bahasa.

Malah kata-kata Amani yang seolah-olah mencabar pihak tentu yang menurutnya mengkritik filem tersebut tanpa usul periksa sehingga Amani berkata dengan biadap , "If the film (Gubra) mencemar budaya, let's do it more often (Jika filem ini (Gubra) mencemar budaya, mari kita hasilkan lebih banyak lagi)", sepatutnya menjadi isu yang lebih besar dari isu bahasa ini.

Filem ini di dakwa cuba mengembangkan pemikiran liberalisme yang membahayakan masyarakat.

"Mereka mahu maksiat diterima pakai dan seolah-olah Islam juga turut mengiktiraf perkara sumbang," komen AJK PAS Pusat Mahfuz Omar terhadap filem ini.

"Saya tidak fikir filem ini untuk hiburan tetapi untuk menyalurkan agenda tersirat yang menyesatkan," tambah Mahfuz lagi.

Tambahnya, pengarah filem tersebut, Yasmin Ahmad, seolah-olah mahu masyarakat menerima situasi realiti seperti perzinaan, berpelukan, berpacaran tanpa batasan yang berleluasa ini sebagai satu cara hidup yang wajar diterima pakai atas dasar kasih sayang.

"Kalaupun ada suasana realiti yang dipersembahkan, tidak bermaksud kita mesti menerima semua yang dihadapkan kepada kita," katanya.

Dalam filem itu, katanya, ada adegan seorang bilal memegang anjing dan memandang mudah aktiviti jirannya yang jelas bergelumang dengan maksiat iaitu melacur.

"Apa mesejnya melalui watak bilal ini? Sama ada mahu menyinggung Islam atau ingin mengajar orang beragama supaya menerima perlakuan tidak wajar?" tanyanya.

Selain itu, beliau turut kesal filem Melayu sekarang sudah melampaui dan melanggari adat resam, budaya serta agama masyarakat di negara ini.

"Semua berlindung di sebalik atas nama 'seni' dan kebebasan berfikir," katanya.

Beliau turut kesal Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Dr Rais Yatim turut mengiktiraf filem yang tidak mencermin budaya malah terperangkap dengan agenda mereka yang mencemar budaya bangsa sendiri.

"Objektif kementeriaan berkenaan menampil serta mengekalkan budaya dan nilai-nilai murni rakyat negara ini nampaknya gagal kerana menobatkan filem yang tonjolkan budaya serba songsang," katanya.

"Lihat sekarang, hasil 'produk' filem tersebut, secara terang-terang memperlekehkan budaya bangsa iaitu bahasa Melayu," katanya yang merujuk kepada Syarifah Amani.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59