Saturday, 12 August 2006

Dr M sanggup bersumpah junjung al-Quran di masjid


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan kesediaannya untuk bersumpah dengan menjunjung al-Quran di dalam masjid bagi membuktikan kebenaran kritikannya berhubung isu pembatalan Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun, katanya, ‘mereka yang berkenaan’ juga mesti bersumpah bersamanya bagi membuktikan ‘siapa yang benar dan siapa yang salah’. Dr Mahathir tidak menyatakan secara khusus siapakah ‘mereka yang berkenaan’ itu.

Beliau menyatakan kesediaannya itu ketika berucap di majlis ‘Jasamu di Kenang’ anjuran Pemuda Umno Petaling Jaya Utara di Tropicana Golf & Country Resort di Petaling Jaya pagi ini.

Majlis itu diadakan sebelum berlangsung mesyuarat perwakilan Pemuda bahagian berkenaan di tempat yang sama yang dirasmikan oleh ketua Umno bahagian tersebut, Datuk Ikhwan Salim Sujak.

Dewan persidangan penuh sesak dengan kira-kira 500 hadirin yang mendengar ucapan Dr Mahathir selama kira-kira 45 minit.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Dr Mahathir menunjukkan surat dari kerajaan Singapura yang menjadi bukti Malaysia boleh membina Jambatan Indah menggantikan Tembok Johor tanpa sebarang masalah.

Beliau mengemukakan surat yang dihantar oleh dua bekas Perdana Menteri Singapura – Lee Kuan Yew dan Goh Chok Tong – kepada beliau semasa hampir bersara sebagai Perdana Menteri.

“Ini semua surat dari Singapura (Lee dan Goh) yang menunjukkan republik itu tidak mengenakan sebarang syarat kepada kerajaan Malaysia terhadap pembinaan Jambatan Indah.

'Tiada syarat'

“Mula-mula nak bina secara pakej tetapi tidak jadi kerana tidak dapat persetujuan dari republik itu. Jadi Jambatan Bengkok boleh dibina tanpa pakej.

“Singapura tidak kata kalau mahu bina jambatan ada syarat itu, ada syarat ini. Tetapi kita sendiri yang tawarkan pasir dan ruang udara kepada negara itu.

“Kita telahpun mulakan pembinaan jambatan tetapi berhenti kononnya takut tindakan undang-undang dari Singapura tetapi Peguam Negara (AG) kata, kalau ada kes undang-undang bawa ke mahkamah.

“Belum apa-apa, kita telah menyerah...kalau diteruskan pembinaan jambatan tidak ada masalah seperti sekarang ini.

“Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan (Datuk Seri) Syed Hamid Albar kata kita tidak tertakluk kepada Singapura untuk bina jambatan.

“Tetapi akhirnya membatalkan atas alasan takut tindakan undang-undang dari Singapura. Ini semua tidak betul,” katanya.

Kandungan surat

Dr Mahathir berkata, beliau menunjukkan surat tersebut bagi membuktikan bahawa pendedahannya mengenai pembatalan Jambatan Bengkok adalah berpunca dari Malaysia dan bukannya Singapura.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mendedahkan kandungan surat itu kepada orang awam menyebabkan mereka tidak tahu keadaan sebenar.

“Kerajaan tidak menjawab soalan saya. Apa yang mereka dedahkan ialah surat saya yang telah lama disiarkan di Singapura,” katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada surat itu tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA), Dr Mahathir menjawab, ia adalah untuk menunjukkkan bahawa “kita mempunyai bukti Singapura tidak mengenakan sebarang syarat mengenai pembinaan Jambatan Bengkok.”

Beliau berkata, kerajaan menegaskan pembinaan Jambatan Bengkok dihentikan kerana rakyat Johor tidak mahu, tetapi tegas Dr Mahathir, jawaban itu sama sekali tidak betul.

Katanya, rakyat Johor mahu jambatan tetapi mereka tidak mahu menjual pasir dan membenarkan ruang udara digunakan oleh jet pejuang Singapura.

“Apa makna merdeka jika hendak bina jambatan di kawasan sendiri terpaksa mendapat kebenaran Singapura. Anak jantan tidak tunduk kepada Singapura,” katanya lagi.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59