Wednesday, 16 August 2006

DPP NEGERI SIMPATI DENGAN KEMALANGAN MENIMPA KELUARGA LIM


MELAKA 16 OGOS : Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka melalui Lajnah Perpaduan Nasionalnya melahirkan rasa simpati diatas kematian tiga kanak-kanak adik-beradik dan ibu saudara mereka dalam tragedi kebakaran sebuah rumah di Kampung Hilir, Bandar Hilir di sini awal hari ini.

Setiausaha Lajnah tersebut, Zein Aziz dalam kenyataannya kepada blog ini petang tadi melahirkan rasa sedih dan terharu dengan kejadian malang itu.

"Kita mengharapkan ibubapa kanak-kanak malang tersebut bersabar dengan kejadian sedih ini. Jangan menyalahkan diri sendiri kerana ianya akan lebih menyedihkan hati" kata Zein dengan nada sayu.

Dalam kejadian tersebut tiga beradik yang malang itu ialah Lim Ju Seng, 10, dan Lim Ju Juan, 7, kedua-duanya perempuan, adik lelaki mereka Lim Lai Shen, 6, serta ibu saudara mereka Ho Chun Yee, 13. Mereka gagal menyelamat diri dan terperangkap dalam kebakaran yang tragis tersebut.

Dua lagi saudara kepada mangsa iaitu Rachael Chan Man Yee, 9, dan Tan Po Hwa, 24, yang turut berada dalam rumah semasa kejadian pada 1.50 pagi berjaya menyelamatkan diri, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Mayat Ju Juan ditemui di bilik depan rumah manakala mayat Ju Seng, Lai Shen dan Chun Yee ditemui dalam sebuah bilik di bahagian belakang rumah papan yang mempunyai lima bilik.

Kesemua mangsa yang meninggal dunia itu dipercayai sedang tidur dan gagal menyelamatkan diri berikutan asap tebal serta api marak terlalu cepat.

Rachael yang sedang nyenyak tidur didukung keluar oleh Po Hwa yang terpaksa meredah asap dan api untuk keluar dari rumah tersebut.

Kejadian malam tadi adalah tragedi kedua yang dialami Rachael selepas berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran rumahnya yang terletak bersebelahan rumah adik-beradik itu pada Khamis lepas.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu terbabit memadamkan kebakaran yang dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Suasana pilu menyelubungi ruang menunggu Bilik Mayat Hospital Melaka dengan anggota keluarga dan rakan menanti untuk menuntut mayat.

Bapa kepada tiga beradik itu, Lim Kok Seng, 40, berkata ketika kejadian beliau pergi menjemput isterinya yang bekerja di sebuah kedai minuman berdekatan rumahnya.

"Dalam masa sepuluh minit sampai di kedai, seorang jiran memberitahu rumah saya terbakar. Saya terus lari balik, tak pakai selipar dan tengok rumah sedang marak terbakar," katanya.

Beliau mendengar jaritan anaknya Ju Juan yang berada di bilik depan memanggil namanya supaya diselamatkan.

"Saya dengar anak saya memanggil nama saya, pintu depan tak boleh buka, saya lari ke belakang rumah, tendang pintu rumah sekuat-kuatnya beberapa kali baru terbuka. Masa itu saya lihat Po Hwa mendokong seorang budak (Rachael) lari keluar," katanya.

Beliau cuba memasuki rumah tersebut untuk menyelamatkan ketiga-tiga anaknya tetapi gagal berikutan asap tebal dan api yang terus marak.

Kok Seng, yang cedera di tangan dan kaki akibat disambar api, sambil menitiskan air mata mengenangkan jeritan anaknya meminta pertolongan, melahirkan rasa terkilan kerana gagal menyelamatkan anak-anaknya.

Anak perempuan sulung Kok Seng yang berusia 19 tahun tinggal di Kuala Lumpur.

Po Hwa pula berkata beliau hanya sempat menyelamatkan Rachael dan gagal masuk semula untuk menyelamatkan ketiga-tiga beradik itu.

"Saya tengah tidur, tiba-tiba terasa bahang panas, saya cuba membuka pintu tapi tidak berjaya, nasib baik ada orang dari luar tolong bukakan," katanya yang menumpang bermalam di rumah tersebut.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59