Friday, 11 August 2006

BERITA MELAKA :INI MACAM CERITA PUN ADA


KLEBANG, 11 Ogos : Kebiasaannya kes-kes tangkapan yang menyalahi hukum agama akan dilakukan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), membabitkan polis, imam, pegawai syarak serta orang kampung tetapi kali ini agak berlainan kerana tangkapan itu dilakukan oleh bapa mertua ke atas menantu perempuannya sendiri.

Tangkapan tersebut dilakukan di kawasan Pantai Klebang di sini, awal pagi ini melibatkan menantu perempuan terbabit dikatakan berkhalwat bersama seorang lelaki lain dalam sebuah kereta berhampiran sebuah pusat hiburan dengan bantuan seorang lelaki yang juga ipar kepada wanita berkenaan kira-kira jam 1 pagi ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, menantu terbabit berumur 26 tahun berasal dari Alor Gajah dekat sini, masih lagi mempunyai ikatan pernikahan yang sah dengan suaminya dan dikurniakan tiga orang cahaya mata sepanjang tempoh perkahwinan mereka.

“Pasangan berkenaan diberkas keluarga sendiri berdasarkan kepada gerak-geri menantu perempuan terbabit yang didapati mencurigakan sejak akhir-akhir ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI) ketika dihubungi di pejabatnya, di sini, hari ini.

Menurutnya, sementara teman lelakinya yang dikatakan bukan muhrim berusia 20 tahun itu dipercayai masih lagi belajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini dan apabila siasatan mendapati wanita berkenaan mendakwa lelaki terbabit merupakan adik angkatnya yang dikenali sejak dari dahulu lagi.

Jelas Rahimin, ketika serbuan bapa mertua bersama beberapa saudara ipar wanita berkenaan dikatakan sedang berdua-duaan di tempat yang gelap dalam keadaan suasana yang sunyi sehingga menimbulkan syak sekaligus ‘menodai’ status sebagai seorang isteri dan ibu.

Berdasarkan maklumat yang diterima, katanya, pasangan berkenaan diberkas apabila salah seorang dari abang iparnya terlihat kereta wanita berkenaan di tempat tersebut bersama lelaki lain dan beliau kemudiannya terus pulang ke rumah lalu melaporkan kejadian tersebut kepada bapa mertuanya.

“Kes seperti ini sepatutnya tidak berlaku dalam sebuah rumpun keluarga Islam yang bertamadun memandangkan ikatan perkahwinan mereka juga telah terjalin sejak sekian lama,” katanya.

Ujar Rahimin, suami wanita berkenaan dikatakan menjalankan perniagaan sendiri bagaimanapun telah menjamin isterinya itu di pejabat penguatkuasa Jaim hari ini ekoran dari tangkapan yang dilakukan oleh keluarga sendiri kerana dipercayai melakukan perbuatan terkutuk sekaligus melanggar hukum syarak.

Tegas Rahimin, pasangan terbabit akan dihadapkan di Mahkamah Rendah Syariah mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersunyi-sunyian sehingga menimbulkan syak dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

Jelas beliau, ikatan perkahwinan seharusnya tidak dicemari dengan gejala-gejala negatif seperti yang dilakukan oleh pasangan terbabit memandangkan hubungan yang dijalin itu sememangnya suci dan murni selain halal disisi agama dan undang-undang syariah.

Suami isteri perlu lebih peka dan prihatin terhadap ikatan perkahwinan masing-masing bagi melahirkan insan-insan yang lebih mulia akhlaknya dengan suasana keluarga yang harmoni dan bahagia di bawah keberkatan yang Maha Esa, ujar beliau.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

Anonymous said...

Keep up the good work » »

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59