Thursday, 13 July 2006

SYABAS PEGUAM BELA ISLAM


MELAKA, 13 Julai - Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil (DPPK) mengucapkan syabas dan tahniah di atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh Peguam-peguam muslim yang sepakat menubuh jawatankuasa bertindak untuk membela Islam. Badan tersebut dikenali sebagai 'Peguam Pembela Islam' dengan menggunakan sekretariat Persatuan Peguam Syarie Malaysia pada perjumpaan khas yang diadakan di Kuala Lumpur semalam.

"DPPK Bukit Katil menyanjung tinggi kesungguhan mereka dan mengharapkan lebih ramai golongan cendikiawan, parti politik dan NGO Islam supaya tampil ke hadapan untuk membela Islam yang sekarang ini diserang disegenap sudut oleh kumpulan-kumpulan yang anti-Islam" kata Setiausaha DPPK Bukit Katil, Khairuddin Ismail dalam kenyataannya melalui telefon kepada kami petang ini.

"DPPK Bukit Katil mengharap semua parti politik dan NGO Islam di negara ini supaya bersatu menubuhkan Jawatankuasa Bertindak untuk menangani isu ini yang kita lihat semakin serius. Insya Allah dengan gerakerja secara sepadu dan kemas kita akan dapat mempertahan dan memperkuatkan lagi undang-undang Islam dan akidah umat Islam" tambah Khairuddin yang juga merupakan AJK PAS Kawasan Bukit Katil.

Harakahdaily hari ini melaporkan bahawa perjumpaan untuk menubuhkan badan tersebut telah dihadiri lebih 100 peguam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kelulusan dalam bidang syarie dan sivil, di mana mereka juga terdiri dari kalangan penyokong PAS, Umno, Parti Keadilan Rakyat dan ahli Abim.

Jawatankuasa bertindak terbabit diketuai Zainul Zakaria dan dianggotai 15 peguam lain termasuk Kamar Ainiah, Zainul Rijal Abu Bakar, Haji Mohamad Buruk dan Dato' Zaiton Othman mewakili Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Peguam Syarie, Wan Azimin Wan Adnan ketika dihubungi harakahdaily berkata, badan itu akan bergerak menemui pemimpin utama negara termasuk Sultan dan Yang Dipertua Agong serta mengadakan taklimat ke setiap negeri dalam tempoh empat minggu.

Difahamkan perjumpaan khas itu diadakan ekoran kes menukar agama (murtad) yang dituntut Azlina Jailani, 42 atau lebih dikenali Lina Joy bagi memadamkan perkataan Islam pada Mykadnya.

Sebelum ini permohonan itu ditolak Jabatan Pendaftaran Negara kerana ia terlebih dahulu perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah.

Pada 19 September lalu Mahkamah Rayuan juga menolak dengan majoriti 2-1 terhadap rayuan yang dikemukakan Lina Joy melalui peguamnya, Dato' Dr Cyrus Das.

Kes itu kemudian dibawa pula Mahkamah Persekutuan. Hakim perbicaraan di dalam penghakimannya berdasar kepada Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan menegaskan seseorang Melayu itu hendaklah menganut agama Islam hingga akhir hayatnya.

Kes tersebut kemudiannya dibawa semula ke mahkamah untuk rayuan dan dijangka diputuskan pada 28 Julai ini.

Kes murtad kini semakin diberi perhatian selepas Mufti Perak, Dato' Seri Harussani Zakaria mendedahkan terdapat kira-kira 100,000 orang Islam yang murtad di negara ini berdasarkan kajian yang dilakukan golongan profesional.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

1 Comment:

Rockerz said...

Hai, Di antara banyak blog yang saya lawati hari ini, blog anda antara yang hebat. Saya akan bookmark blog anda!

Saya ada website peluang perniagaan di rumah. Peluang peluang perniagaan di rumah di sini.

Lawatilah website saya bila ada masa lapang :-)

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59