Tuesday, 18 July 2006

SUDAH ADA SUARA-SUARA DARI DALAM Umno YANG MAHU ANWAR KEMBALI KEPADA Umno


SEBERANG JAYA 18 JULAI : Sudah ada suara-suara dari dalam Umno yang mencadangkan supaya Anwar Ibrahim kembali menyertai Umno.

Mesyuarat Agung Umno Cawangan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri, Jalan Tuna di sini, 2 Julai lalu, sebulat suara meluluskan usul mendesak pimpinan parti itu menerima semula bekas Ketua Bahagian Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Usaha itu antara lain di dakwa bertujuan memantapkan semula perjuangan parti itu, demi kepentingan bangsa Melayu dan masa depan negara.Menurut pembentang usul, Ismail Mohamad, 56, hanya gandingan Anwar dan Abdullah Ahmad Badawi mampu merealisasikan impian tersebut.

“Kita gesa Majlis Tertinggi (MT) Umno membatalkan semula keputusan memecat Pak Syeikh (Anwar) pada 2 September 1998 lalu,” jelasnya yang lebih dikenali sebagai Ismail Sulong.

Menurut Ismail, beliau akan membawa usul tersebut sebagai usul tergempar pada mesyuarat Agung bahagian, pada bulan depan.

Ini bagi mengelakkan usul itu ditolak pihak tertentu di peringkat jawatankuasa usul, sekiranya ia dijadikan usul cawangan.

Menjawab soalan, usulnya mungkin tidak mendapat sokongan, Ismail berkata beliau mempunyai strategi tersendiri untuk memastikan usul itu berjaya.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin agar usul itu diterima sebulat suara, kerana Pak Syeikh masih mendapat sokongan akar umbi.

“Ini kita hendak bawa sebutir berlian kembali kepada Umno, mengapa tidak mahu. Kalau pemimpin komunis pun kerajaan boleh maafkan, mengapa tidak kepada Pak Syeikh?

“Lagipun Umno tidak pernah bersalah terhadap Pak Syeikh, yang bersalah hanyalah pemimpin yang memecatnya, lebih-lebih lagi dia tidak pernah meninggalkan Umno.” jelasnya kepada Malaysia Today.

Tambahan pula, katanya Anwar juga tidak pernah memusuhi ahli-ahli Umno atas pemecatannya itu.

“Saya sentiasa mengikuti perkembangan Pak Syeikh, saya ikuti ceramah-ceramahnya, saya tonton vcd ceramahnya,

“Yang menjadi musuh Pak Syeikh ialah pemimpin Umno yang korup dan menindas rakyat, bukannya ahli-ahli biasa Umno,” tegasnya bersemangat.

“Tidak ada pemimpin Umno yang ‘berkelulusan’ macam Pak Syeikh, enam tahun dalam penjara. Saya menganggap dia melanjutkan pelajaran, semangat dia lebih kuat, saya yakin dia akan menjadi pemimpin negara yang lebih hebat daripada yang lalu.

“Saya harap Pak Syeikh pertimbanglah sedalam-dalamnya untuk kembali ke pangkuan Umno,” ujarnya.

Apakah Anwar akan sekali lagi membuat kejutan setelah membuat kejutan pada 1982 apabila mengumumkan kemasukannya ke dalam Umno kerana tertarik dengan tipu helah Dr. Mahathir.

Pada waktu itu beliau tidak mengendahkan nasihat sesetengah sahabatnya di dalam ABIM yang melarang beliau dari menyertai Umno. Akhirnya beliau ditendang dari Umno umpama kucing kurap.

Apakah beliau sekali lagi mengorbankan prinsipnya yang sering di laung-laungkan selepas pembebasan beliau dari hukuman salah guna kuasa dan liwat.

SAMA-SAMA KITA TUNGGU DAN LIHAT

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59