Monday, 17 July 2006

PEMUDA PAS MELAKA BUAT LAPORAN POLIS TENTANG KES SERBAN


MELAKA, 17 Julai - Dewan Pemuda PAS Negeri Melaka telah membuat laporan polis Sabtu lalu mengenai kenyataan Hakim Mahkamah Persekutuan, Dato' Abdul Hamid Mohamad dalam penghakiman bertulisnya yang boleh ditafsir sebagai menghina dan memperlecehkan ajaran Islam khususnya sunnah Rasulullah s.a.w.

Laporan tersebut telah dibuat oleh Ketua DPP Negeri Melaka Us. Kamaruddin Sedik di Ibu Pejapat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang pada kira-kira jam 9.00 pagi.

Di dalam laporan itu, Us Kamaruddin selaku pengadu berkata, hujah hakim Abdul Hamid dalam keputusan kes tiga yang dibuang sekolah kerana memakai serban memberi gambaran dan perspektif yang salah terhadap kedudukan sunnah Nabi Muhammad.

Abdul Hamid dalam keputusan kes tiga pelajar berkenaan berhujah bahawa, "soalnya ialah sama ada pemakaian serban oleh kanak-kanak lelaki sebaya usia perayu (dalam kes ini) merupakan satu amalan dalam agama Islam. Islam bukan sekadar memakai serban dan berjanggut. Arab jahiliah termasuk Abu Jahal memakai serban dan berjanggut. Tidak hairanlah bagi Rasulullah yang lahir dan membesarkan dalam masyarakat itu, berbuat demikian. Tambahkan pula ia tidak bertentangan dengan Islam maka Nabi memakainya."

Seterusnya Abdul Hamid juga menyatakan bahawa,"pada tahun 70-an telah muncul gerakan-gerakan dakwah. Mereka menunjukkan kelainan diri mereka dengan cara mereka berpakaian di mana lelaki dan kanak-kanak memakai jubah dan serban. Salah sebuah gerakan dakwah itu telah pun diharamkan. Kita menyaksikan di televisyen, pimpinan utama mereka membuat pengakuan menangis dan bertaubat."

Ketiga-tiga pelajar yang terbabit dalam kes ini adalah Mior Atiqulrahman Ishak, Syed Abdullah Khaliq Aslamy Syed Ahmad johari dan adiknya Syed Ahmad Syakur.

Dewan Pemuda Negeri amat kesal dengan hujah hakim berkenaan yang tidak sepatutnya dikeluarkan kerana cenderung ke arah memperlecehkan dan memperolokkan sunah Nabi dengan amalan pemakaian serban misalnya mengaitkan kelompok gerakan yang sesat dengan pemakaian serban.

Turut serta mengiringi Us Kamaruddin semasa membuat laporan tersebut ialah AJK Dewan Pemuda PAS Negeri, pimpinan Dewan Pemuda PAS Kawasan dan beberapa orang ahli pemuda PAS.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59