Friday, 28 July 2006

PEMUDA BUKIT KATIL SOKONG KEPUTUSAN PAK LAH, NAMUN GESA KERAJAAN TANGANI ISU MURTAD DENGAN SEGERA




BUKIT KATIL 28 JULAI : Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil menyokong tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memberi amaran, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu sensitif berkaitan agama kerana ia mengancam keharmonian rakyat.

"Ketegasan beliau walaupun agak terlambat tetapi di harap dapat menyedarkan kumpulan Gabungan Artikel 11 supaya menghentikan agenda mereka untuk menganggu kedaulatan Islam dalam perlembagaan negara" kata Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Hj Salamat Aman.

Malam tadi Pak Lah berkata kerajaan harus mengambil tindakan tegas dan beliau tidak hendak menyebut perkara itu sebelum ini.

“Saya mengeluarkan kenyataan supaya kita sama-sama memahami kalau kita mainkan isu sensitif agama, ia akan membawa kepada sesuatu yang tidak diingini,” katanya selepas melancarkan Hari Pengguna Peringkat Kebangsaan di Stadium Putra Bukit Jalil di sini, semalam.

Perdana Menteri menjelaskan, keputusan Kabinet kelmarin, yang melarang media massa menyiarkan laporan mengenai isu berkenaan bertujuan memelihara keamanan dan memastikan ekonomi negara terus berkembang berasaskan kestabilan politik.

Ketika ditanya apakah tindakan tegas itu bermaksud kerajaan akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Abdullah berkata: “Apa jenis tindakannya, Wallahualam. Saya yakin rakyat memahaminya.”

Mengenai cadangan Kumpulan Artikel 11 yang dianggotai 13 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk Majlis Peguam Malaysia untuk menemuinya, Abdullah berkata, beliau perlu meneliti waktu yang sesuai.

Kumpulan Artikel 11 sebelum ini menganjurkan beberapa forum berkenaan bagi mendapatkan sokongan meminda Artikel 11 dalam Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh hak kebebasan beragama.

Tindakan kumpulan itu dibantah oleh PAS, FROKAD, Pertubuhan Pembela Islam yang disertai pelbagai NGO seperti Persatuan Ulama Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Teras Pengupayaan Melayu (Teras) dan Peguam Pembela Islam yang turut menganjurkan forum khusus termasuk di Masjid Wilayah Persekutuan di sini, Ahad lalu.

Dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Selasa lalu, Abdullah mahu Kumpulan Artikel 11 menghentikan serta-merta penganjuran Forum Kebebasan Beragama kerana ia sensitif terhadap perpaduan masyarakat pelbagai agama dan kaum.

Abdullah dilaporkan berkata, forum itu tidak perlu diteruskan kerana implikasi negatifnya terhadap masyarakat yang menganut pelbagai agama dan boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Mengenai tindakan Israel membunuh empat anggota pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam serangan di selatan Lubnan Selasa lalu, Perdana Menteri berkata, kejadian itu sebagai menyakitkan hati.

“Saya amat kesal dengan atas apa yang berlaku. Keghairahan Israel mengebom, macam tidak nampak lagi kumpulan pengaman PBB. Mungkin mereka tahu tetapi tetap membedil ke arah itu, saya tidak tahu. Ini amat menyakitkan hati kita,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama Hj Salamat juga menggesa Perdana Menteri segera menangani gejala murtad yang menular dengan hebat sekarang ini sehingga Mufti Perak mendedahkan bahawa kira-kira 250,000 orang Islam telah murtad di Malaysia.

"Gejala murtad mesti dibendung segera kerana ianya telah meruncing dan membimbangkan. Kita amat sedih dan kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin negara sebelum ini yang mengatakan jumlah mereka yang terlibat adalah amat kecil" kata Hj Salamat lagi.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59