Friday, 28 July 2006

Memorandum bantahan diletak di tangga KLCC


KUALA LUMPUR 28 Julai : Sekeping memorandum telah diletakkan di tangga Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai tanda simbolik bantahan terhadap keganasan Israel di Palestin dan Lubnan dan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat.

Memorandum tersebut diletakkan oleh bendahari parti Pas Dr Hatta Ramli yang ditemani pegerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Husin dan timbalan ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Syamsul Iskandar Mohd Akin.

Mereka mewakili lebih 50 orang penunjuk perasaan di bawah "Gabungan Anti Perang - Malaysia" yang berkumpul di taman KLCC bermula jam 2 petang.

Beberapa orang pemimpin pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) turut berucap di perhimpunan tersebut dengan diikuti laungan slogan "Asean jangan jadi rubber stamp", "stop FTA" dan "Rice stop destroying our rice."

Bekas tahanan ISA Saari Sungip dalam ucapannya di perhimpunan itu berkata beliau kecewa dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi yang menjemput dan meraikan Condoleeza Rice yang disifatkannya sebagai salah seorang "penjenayah perang" ke Malaysia.

Rice tiba di Malaysia hari ini untuk menghadiri Mesyuarat Menteri Asean ke-39 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan menandatangani Penjanjian Kesepakatan Damai esok dengan Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Rice yang akan diraikan dalam satu majlis makan malam hari ini dilaporkan akan turut membincangkan isu Israel dengan Syed Hamid .

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Kamal Pasha Jamal berkata berkata penunjuk perasaan berkenaan berkelakuan "amat baik" dan beliau membenarkan demonstrasi berkenaan dianjurkan kerana ia tidak akan menjejaskan keselamatan negara.

"Seperti yang anda tengok tadi, kelakuan (penunjuk-penunjuk perasaan) amat baik. Mereka kelihatan tenang, malah ada yang mengambil kesempatan untuk berehat di taman tersebut," katanya mengulas mengenai demonstrasi yang berlangsung selama satu setengah jam itu.

Tambahnya, penganjur telah berpegang kepada janji mereka untuk memastikan protes berkenaan berjalan dengan aman.

"Mereka tidak ada modal sebenarnya (untuk bercakap), sebab itulah tidak ramai yang hadir," katanya.

Lebih 20 orang anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) termasuk unit berkuda dan hampir 30 orang anggota polis berkawal sepanjang tunjuk perasaan itu, tambahnya.

Beliau hanya membenarkan mereka meletakkan memorandum tersebut di tangga Pusat Kovensyen Kuala Lumpur (KLCC) -- di mana mesyuarat Menteri Asean sedang berlangsung -- kerana tidak ada mana-mana menteri atau pegawai yang sudi menerima memorandum tersebut walaupun mereka berada di dalam bangunan berkenaan.

"Bila dia letak di tangga, jadi sampahlah. Saya pun tak tahu siapa yang mengambil memorandum tersebut, mungkin pencuci bangunan yang memungutnya." tambahnya.

Beliau turut mengesahkan satu permit telah diberikan kepada penganjur berkenaan untuk menganjurkan satu lagi tunjuk perasaan selama dua jam di perkarangan KLCC esok bermula selepas solat Jumaat.

Ketua penerangan parti Keadilan Rakyat Tian Chua ketika ditemui selepas itu berkata, tunjuk perasaan tersebut dibuat secara tergesa-gesa dan mereka tidak mempunyai masa untuk membuat publisiti.

Tian Chua menjangkakan lebih 10,000 orang akan hadir ke demonstrasi sama yang akan diadakan pada selepas solat Jumaat.

"Tapi bilangan yang ada pun sudah mencukupi kerana media asing ada membuat liputan (semasa demonstrasi berlangsung), jadi dunia akan tahu kita membuat bantahan terhadap kunjungan Rice," katanya.

Sumber : The Star

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59