Monday, 10 July 2006

Masyarakat Islam Selatan Thailand Belum Jelas Dasar Parti Islam


NARATHIWAT, 10 Julai -- Masyarakat Islam di selatan Thailand belum bersedia memberi komitmen menyokong sebuah parti berlandaskan Islam di negara itu kerana dasarnya belum jelas.

Anggota Jawatankuasa Majlis Agama Islam Narathiwat, Ismail Haseimi, berkata masyarakat Islam di selatan Thailand ingin melihat dahulu dasar perjuangan Parti Santiparp Thai (Thailand Aman) memandangkan ia ditubuhkan di Bangkok.

"Saya tidak boleh membuat keputusan lagi. Saya mahu lihat dahulu sebelum saya menyertai dan memberi sokongan kepada parti itu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Pada majlis pelancaran 30 Jun lalu, Parti Santiparp Thai menjelaskan ia merancang bertanding merebut antara 60 dan 70 kerusi parlimen pada pilihan raya akan datang kerana ia mahu menjadi suara politik alternatif bagi Muslim Thailand, terutama kepada penduduk di wilayah selatan.

Setiausaha Agung parti, Mukta Kila, berkata sekitar 40 daripada kerusi itu adalah dalam kawasan di wilayah selatan termasuk wilayah yang bergolak seperti Yala, Pattani dan Narathiwat.

Parti yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya pada Mac lalu, akan diketuai Sombat Tahnaprasert, bekas pelajar di Mesir yang pernah bekerja dalam sektor kejuruteraan di Florida, Amerika Syarikat.

Setakat ini, Ismail berkata, beliau tidak mengenali tokoh yang akan memimpin parti itu dan sistem kepimpinan yang boleh menyakinkan masyarakat Islam di sini menerimanya.

Sebenarnya, kata beliau, fahaman masyarakat Islam di selatan Thailand sukar dinilai kerana ianya tidak menentu.

"Untuk meminta mereka menyokong parti Islam belum pasti lagi kerana cara masyarakat di sini ialah mereka sokong siapa yang baik dengan dia. Setakat pemilihan anggota jawatankuasa majlis agama Islam wilayah sendiripun sudah terdapat tiga kumpulan, inikan pula untuk mengajak mereka menyokong calon parti Islam yang belum mereka kenali," kata Ismail.

Bagi imam wilayah di Pattani, Abdul Somat Hasae, jawatankuasa penaja parti Islam itu sepatutnya memaklumkan dahulu kepada rakyat tentang penubuhannya.

"Mereka perlu turun padang memaklumkan dasar perjuangan yang hendak dibawa kepada rakyat sejelas-jelasnya sebelum ianya ditubuhkan," katanya.

Abdul Somat berkata cadangan penubuhan parti Islam adalah idea "orang Bangkok" dan bukannya masyarakat Islam yang majoritinya tinggal di selatan Thailand.

"Sepatutnya idea itu lahir di sini yang ramai orang Islam, bukannya di sana dan dipimpin oleh mereka yang tinggal di Bangkok, baru dia tahu apa yang dikehendaki dan tidak dikehendaki oleh orang Islam di sini," katanya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59