Monday, 24 July 2006

MASIH RAMAI YANG PERCAYA PEMUJAAN DI ZAMAN MILLINEUM


MELAKA 24 JULAI : Sikap taksub untuk kaya cepat menyebabkan beberapa kubur lama kononnya milik alim ulama di atas Pulau Besar yang terkenal sebagai tempat keramat di kalangan penduduk tempatan menjadi sasaran ‘kaki nombor’ untuk mencuba nasib.

Walaupun pihak berkuasa agama sudah meroboh dan memindahkan kubur lama berkenaan bagi mengelak amalan khurafat dan pemujaan nombor ekor tetapi tapak lama terus menjadi tumpuan.

Malah ada yang sanggup datang dari jauh termasuk Kuala Lumpur dan Pulau Pinang untuk bermalam bagi mencuba nasib walaupun mereka tahu kawasan itu ‘keras’ dan ‘berpenunggu’.

Difahamkan, terdapat 43 kubur dan tempat keramat di atas pulau berkenaan yang boleh dikunjungi orang ramai dengan menggunakan bot tambang yang beroperasi dari Anjung Batu dan Umbai setiap hari.

Bagaimanapun, daripada jumlah tempat keramat itu, hanya 23 yang popular dan menjadi tumpuan pengunjung untuk memuja atau menunaikan hajat.

Antara tempat keramat itu ialah Makam Sultanah Aarifeen , Tapak Kaki Sultan Ariffeen, perigi di kaki pulau, Batu Belayar, Batu Tengkorak, Keramat Masin Tawar, Istana Bunian, Perkampungan Bunian, Pokok Disula, Pokok Biawak, Batu Belah, Gua Yunus, Keramat Ular, Makam Nisan Satu, Perigi Nenek Musllimah, Makam Syarifah Rodiah dan Batu Lesung.

Bagi yang datang bukan untuk tujuan memuja nombor, mereka pula melakukan pelbagai amalan khurafat seperti mandi bunga di kawasan perigi Nenek Musallimah kononnya untuk mempercepatkan jodoh.

Ada juga di kalangan mereka ini membayar nazar tertentu dengan menyembelih kambing di Makam Sultanah Aarifeen.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat orang tempatan, kebanyakan mereka yang datang untuk bernazar itu adalah di kalangan masyarakat India Muslim.

Ini kerana kebanyakan kubur berkenaan adalah milik nenek moyang mereka yang datang ke pulau itu untuk berdagang sebelum menyebarkan agama Islam ke negeri ini.

Mereka ini akan datang dan bermalam di tepi kubur sambil membaca yassin dan ayat suci al-Quran.

Sementara itu, Ketua Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, pihaknya sudah meroboh beberapa pembinaan kubur lama bagi mengelak ia menjadi tempat pemujaan.

Katanya, tindakan lain yang diambil termasuk mengalih kubur sedia ada ke kawasan lain.

“Kami sentiasa menjalankan pemantauan di atas pulau berkenaan bagi mengelak orang ramai mengadakan upacara bertentangan agama Islam,” katanya.

Sumber : Hairan Metro

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59