Friday, 21 July 2006

MAKLUMAT ISLAM SERATA DUNIA : KMF PEMACU ISLAM DI KOREA SELATAN


WALAUPUN Islam merupakan agama yang dianuti oleh golongan minoriti di Korea Selatan tetapi syiarnya semakin berkembang pesat saban tahun. Perkembangan syiar Islam di negara dengan populasi 48 juta dan berjiran dengan Korea Utara itu banyak dibantu oleh Persekutuan Korea Muslim (KMF) yang ditubuhkan sejak lebih sedekad lalu.

KMF yang berpusat di Masjid Sentral, Seoul misalnya menyediakan khidmat membekalkan daging lembu, kambing dan ayam untuk diedarkan di restoran-restoran yang menyajikan hidangan halal seluruh Korea Selatan. Kebanyakan daging lembu serta kambing yang dibekalkan oleh KMF diimport dari New Zealand dan Australia.

Masjid Sentral yang dibina pada tahun 1976 itu juga menyediakan pelbagai aktiviti fardu kifayah untuk umat Islam setempat.

Penolong Setiausaha Besar KMF, Ahmad Cho Min-Haeng, 38, berkata, pelbagai usaha dilakukan demi memenuhi perkembangan Islam yang semakin pesat di sana sejak akhir-akhir ini.

“Di Masjid Sentral, kami juga menubuhkan Prince Sultan Islamic School iaitu madrasah yang menyediakan pengajian al-Quran, belajar bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Walaupun ia bukan sekolah rasmi tetapi kami menyediakan empat guru untuk mengajar di madrasah yang mempunyai lebih 20 murid itu.

“Jumlah itu semakin meningkat apabila semakin ramai ibu bapa menghantar anak mereka belajar di sini,” katanya sewaktu ditemui di Masjid Sentral, Seoul baru-baru ini.

Ahmad Cho yang memeluk Islam sejak 16 tahun lalu berkata, kebanyakan pelajar yang mengikuti pengajian di situ adalah pelajar Islam berketurunan Korea yang tinggal berdekatan sekolah tersebut.

Menurutnya, perkembangan Islam dapat dilihat apabila setiap tahun tidak kurang 100 penduduk tempatan Korea Selatan menganut Islam melalui program yang diatur oleh KMF.

“Setiap Jumaat Masjid Sentral mampu menampung 700 hingga 1,000 jemaah dan ini termasuk rakyat asing yang bekerja atau belajar sekitar Seoul. Malah, ramai orang Korea terutamanya golongan muda yang datang ke Masjid Sentral melalui KMF untuk mengetahui tentang Islam,” ujarnya.

Kata Ahmad Cho, Masjid Sentral yang diketuai oleh imamnya, Sheikh Sulaiman Lee dan imam keduanya, Abdul Rahman Lee juga menjadi medan pertemuan umat Islam yang berkunjung ke Seoul.

Tambah beliau, KMF amat mengalu-alukan kunjungan umat Islam dari luar negara ke Masjid Sentral dan Prince Sultan Islamic School bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama mereka.

Selain Masjid Sentral serta Prince Sultan Islamic School yang banyak dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi terdapat lapan lagi masjid di seluruh Korea Selatan, antaranya di Busan dan Kwangju.

“Setakat ini bilangan umat Islam di Korea Selatan ialah kira-kira 35,000 manakala 100,000 lagi merupakan orang Islam dari luar negara yang menetap di sini.

“Mereka kebanyakannya berasal dari India, Pakistan, Arab Saudi, Indonesia, Malaysia dan Brunei,” kata Ahmad Cho yang sebelum ini merupakan penganut Kristian.

Seperti pertubuhan Islam lain, KMF juga tidak ketinggalan menghadapi cabarannya yang tersendiri bagi mengembangkan lagi syiar Islam.

Antaranya menambah dana KMF bagi meneruskan pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh pertubuhan Islam terbesar di Korea Selatan itu.

“Kami tidak mempunyai dana yang besar untuk menampung segala aktiviti yang kami jalankan. Antara lain, kami juga merancang mahu menubuhkan sebuah tadika Islam.

“Kami harap dengan adanya taman asuhan kanak-kanak itu, pendidikan Islam dapat disemai dan diajar sejak kecil,” ujarnya lagi.

KMF dan Masjid Sentral sering menjadi tumpuan pelancong asing yang melawat Seoul apatah lagi jika ia mendapat kerjasama daripada Perbadanan Pelancongan Korea (KTO).

KTO biasanya akan berhubung terus dengan KMF bagi mendapatkan nasihat dan bekalan makanan halal bagi keperluan para pelancong muslim.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59