Sunday, 9 July 2006

MAHATHIR DAPAT SOKONGAN BEKAS WAKIL RAKYAT BN KELANTAN PULA


KOTA BHARU 9 JULAI: Bekas PM, Tun Mahathir Mohamad nampaknya semakin mendapat sokongan dari bekas-bekas pemimpin Umno dan BN. Terbaru suatu Majlis ‘Mubarak bersama Tun Dr Mahathir’ akan diadakan pada 27 Julai ini di Kota Bharu. Walaupun majlis mendapat tentangan dari pemimpin Umno Kelantan namun ianya tetap diteruskan kata sumber yang rapat dengan Mubarak iaitu persatuan bekas wakil rakyat Barisan Nasional itu.

Sumber tersebut memberitahu sebuah akhbar internet bahawa tidak ada sebab mengapa majlis yang telah dirancang sejak dari awal tahun ini, hendak dibatalkan.

“Ia tidak melanggar mana-mana peraturan dan tidak bertujuan jahat. Ia hanya satu majlis pemimpin bersama rakyat. Apa salahnya kalau Dr Mahathir hendak melawat Kelantan?

“Tambahan pula Dr Mahathir adalah ahli dan penaung Mubarak Malaysia,” tegas sumber tersebut.

Menurutnya, surat jemputan telah dihantar kepada Dr Mahathir sebelum meletusnya ‘perang mulut’ antara beliau dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Difahamkan, antara agenda majlis itu ialah ceramah Dr Maahthir bertajuk ‘Masa depan ummah’ di sebuah hotel di Kota Bharu selain jamuan makan bersama rakyat.

Rabu lalu akhbar internet tersebut melaporkan majlis ‘Mubarak bersama Dr Mahathir’ itu belum tentu diadakan berikutan tercetusnya krisis antara bekas Perdana Menteri itu dengan Abdullah.

Sementara itu Pengerusi Mubarak Kelantan, Datuk Ahmad Sahabuddin Mohd Noor yang dihubungi akhbar tersebut menegaskan orang luar tidak perlu campurtangan dalam urusan persatuan itu.

“Orang luar tidak boleh cakap tentang majlis bersama Dr Mahathir ini. Kami ahli jawatankuasa Mubarak akan menentukan sendiri sama ada majlis itu akan dilaksanakan atau tidak.

“Pemimpin Umno Kelantan atau mana-mana orang luar tidak ada hak dalam hal ini. Ini urusan mutlak Mubarak. Kalau ahli jawatankuasanya mahu meneruskan program tersebut, ia akan diadakan seperti yang dijadualkan,” tegas beliau.

Menurutnya, Mubarak akan bermesyuarat minggu depan untuk membuat keputusan muktamad mengenainya.

Ahmad Shahabuddin mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa semalam yang meminta Mubarak membatalkan majlis tersebut berikutan memuncaknya krisis antara Dr Mahathir dengan Abdullah sekarang.

Annuar berkata, majlis itu perlu dipertimbangkan semula kerana ia tidak sesuai diadakan dalam keadaan sekarang.

Jika dianjurkan juga, beliau khuatir ia akan menimbulkan salah tanggapan terhadap pendirian rakyat Kelantan dalam konflik membabit dua pemimpin tersebut.

Difahamkan Umno Kelantan telah diarahkan berusaha supaya majlis ‘Mubarak bersama Dr Mahathir’ itu tidak diadakan.

Sementara itu, Ahmad Sahabuddin menolak kemungkinan majlis berkenaan akan memecahbelahkan rakyat Kelantan.

Katanya, tidak ada sebab bagi orang luar memandang serong terhadap majlis bersama Dr Mahathir itu kerana ia bukan untuk kepentingan politik.

Beliau yang pernah menjadi Setiausaha Perhubungan Umno Kelantan berkata, Mubarak tidak perlu diheretkan ke dalam kemelut antara Dr Mahathir dengan Abdullah kerana ia hanya sebuah persatuan kebajikan.

Menurut beliau lagi, matlamat penubuhan Mubarak ialah untuk menjaga kebajikan bekas wakil rakyat selepas berkhidmat kepada rakyat.

“Kami orang pencen dan tidak berminat lagi dengan politik. Orang pun tidak mahu kami lagi,” katanya.

Kata-kata Ahmad Shahibuddin tersebut sama seperti orang kecewa kerana beliau diketepikan oleh pimpinan Umno sekarang. Beliau telah digugurkan dari bertanding dalam Pilihanraya Umum 2004 lalu.

Ahmad Shahabuddin pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno selama tiga penggal semasa Dr Mahathir menjadi Presiden Umno.

Menurut beliau, Mubarak Kelantan mempunyai 35 orang ahli.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59