Tuesday, 18 July 2006

LIGA ARAB DAN OIC MASIH MEMBISU WALAUPUN SUDAH 180 ORANG UMAT ISLAM DIBUNUH KEJAM OLEH ISRAEL


BEIRUT 18 Julai – Walaupun sudah 180 orang umat Islam Palestin dan Lubnan dibunuh oleh Israel namun sehingga kini Liga Arab dan OIC masih tidak mengambil langkah-langkah drastik untuk menyelamatkan umat Islam di sana. Kita tidak faham apakah kedua-dua pemimpin pertubuhan ini buta ataupun pekak.

Lebih mendukacitakan pemimpin OIC iaitu Imam Al Badawi dari negara kita lebih sibuk dengan mesyuarat agung Umno Cawangan dan juga RMK9 sedangkan isu kedaulatan umat Islam ini lebih penting untuk ditangani segera. Inilah ajaran Islam Hadhari sebenarnya yang tidak mengendahkan keselamatan dan kedaulatan Islam.

Bukankah umat Islam yang dibunuh itu saudara kita dan bukankah tempat suci kedua Islam terletak di Baitulmaqdis. Apakah semua ini tidak termasuk dalam kamus Islam Hadhari atau mungkinkah Islam Hadhari hanya mementingkan pembangunan sahaja. Pembelaan kepada umat Islam dan kedaulatan Islam itu sendiri tiada dalam ajaran Islam Hadhari.

Israel dilaporkan meneruskan serangan buat hari keenam semalam dengan peluru berpandu Yahudi membedil sasaran dari utara ke selatan Lebanon, termasuk Lembah Bekaa dekat Syria, menyebabkan 35 orang terbunuh dalam serangan balas besar-besaran.

Rejim itu, yang bertindak ganas tanpa ‘bantahan’ sekutu-sekutu kuasa besar lain, juga dengan angkuh menolak sebarang usaha mencari penyelesaian.

Israel melancarkan serangan sepanjang hari ini selepas lapan rakyat Israel di Haifa maut akibat bedilan roket Hizbullah semalam.

Turut terkorban ialah tujuh rakyat Kanada, termasuk lima daripada satu keluarga yang mengunjungi kampung kelahiran mereka di Lebanon.

Komander Israel berkata, serangan enam hari yang telah membunuh sekurang-kurangnya 180 rakyat Lebanon itu boleh berterusan beberapa minggu atau bulan.

Jurucakap kerajaan Israel, Miri Eisen berkata, tentera menumpukan serangan terhadap pasukan pelancar roket Hizbullah.

Peluru berpandu Israel turut menggegarkan ibu negara Lebanon pagi ini, mengakibatkan dua orang maut di pelabuhan Beirut, sebuah tangki gas meletup di sebelah utara dan kawasan kediaman di selatan musnah.

Bagaimanapun Hizbullah membalas serangan itu dengan melancarkan roket yang mengenai sasaran lebih jauh di Israel.

Roket Katyusha mendarat di pekan Atlit, 10 kilometer ke selatan Haifa hari ini, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.

Berikutan serangan ke atas Haifa semalam, Israel menuduh Syria dan Iran membekalkan senjata canggih kepada Hizbullah.

Pegawai Israel berkata, roket-roket yang mengenai Haifa adalah lebih canggih, membawa bahan peledak lebih berat dan boleh mengenai sasaran lebih jauh berbanding ratusan roket yang telah menghujani utara Israel sebelum ini.

Oleh kerana khuatir keganasan boleh merebak menjadi tidak terkawal, para pemimpin Kumpulan Lapan (G8) di St. Petersburg, Rusia menghasilkan kerangka untuk menamatkan krisis itu.

Pemimpin G8 melahirkan kebimbangan mengenai kemalangan jiwa orang awam yang makin meningkat di kedua-dua pihak dan menggesa mereka menghentikan keganasan.

Tentera Lebanon setakat ini tidak turut serta dalam konflik yang meletus antara Hizbullah dengan Israel minggu lalu.

”Pada dasarnya tentera Israel tidak menjadikan askar Lebanon sebagai sasaran,” menurut seorang jurucakap tentera Israel.

Kedudukan yang dibedil di utara Lebanon itu terletak jauh dari Israel, di zon yang bukan menjadi medan operasi Hizbullah.

Bagaimanapun tentera Israel menyatakan pesawatnya menyerang stesen radar di sana kerana telah digunakan oleh Hizbullah untuk membedil sebuah kapal perang pada Jumaat lalu.

Kenyataan tentera Israel itu turut menuduh tentera Lebanon memberi bantuan kepada Hizbullah.

Dalam pada itu, Israel menentang penghantaran pasukan keselamatan antarabangsa ke Lebanon dalam usaha untuk menamatkan pertumpahan darah di rantau Asia Barat.

Pendirian Israel itu bertentangan dengan seruan yang dibuat oleh PBB dan Britain hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan dan Perdana Menteri Britain, Tony Blair telah menyeru agar pasukan tentera antarabangsa ditempatkan bagi membantu menghentikan pertempuran berterusan antara Israel dengan Hizbullah.

Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert bagaimanapun berpendapat kehadiran pasukan keselamatan antarabangsa tidak akan membantu meredakan situasi di Lebanon.

Beliau sebaliknya mahu tentera Lebanon mengambil alih kawalan terhadap kawasan sempadan Israel-Lebanon dan memaksa pergerakan Hizbullah melucutkan senjata.

Annan memberitahu, Majlis Keselamatan PBB akan mula membahaskan perjanjian terperinci hari ini mengenai penghantaran pasukan keselamatan antarabangsa ke Lebanon.

Annan selepas rundingan dengan Blair menyatakan beliau akan meneruskan rancangan itu sebagai perkara yang perlu disegerakan.

Blair dan Annan memberitahu wartawan mereka akan mempercepatkan perbincangan dengan anggota Majlis Keselamatan.

Dengan kehadiran Presiden China, Hu Jintao di St. Petersburg sebagai tetamu, kelima-lima anggota tetap Majlis Keselamatan hadir pada Sidang Kemuncak G8.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59