Wednesday, 26 July 2006

GENG SERBUK LADA TUMPAS


BANDARAYA MELAKA, 26 Julai : Hanya beberapa minit selepas memecah masuk sebuah rumah, empat lelaki dipercayai anggota Geng ‘Serbuk Lada’ tumpas di tangan polis dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Paya Emas, Bertam Ulu di sini, semalam.

Tindakan pantas polis akhirnya membuahkan hasil apabila keempat-empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 25 tahun dari Cheras, Kuala Lumpur itu diberkas semasa mereka dikatakan sedang melakukan samun di rumah berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, polis terpaksa menyerbu masuk ke dalam rumah berkenaan sebelum memberkas kesemua anggota geng terbabit yang memakai topeng dan bersenjatakan dua bilah parang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Supt Nik Nazli Husin berkata, kesemua suspek dipercayai gagal melarikan diri apabila polis tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

“Sebaik menerima laporan mengenai kejadian itu pihak polis bergegas ke tempat kejadian dengan menggunakan lima buah kereta peronda dan tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit kemudian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, dalam serbuan itu, polis turut merampas dua bilah parang, empat topeng muka dan serbuk lada putih yang dipercayai untuk digunakan semasa melakukan samun.

Ujar beliau, siasatan awal polis mendapati, geng berkenaan dipercayai menggunakan serbuk lada putih itu sebagai senjata untuk menyimbah mata mangsa supaya tidak dapat dicam.

“Suspek dikatakan bertindak dengan menyimbahkan serbuk lada putih ke dalam mata salah seorang daripada tiga penghuni rumah berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, geng tersebut juga dipercayai mempunyai sebanyak tujuh kes pecah rumah dan tiga kes samun di sekitar negeri sejak awal tahun ini.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dalam rompakan,” katanya.

Beliau menambah, keempat-empat suspek dipercayai memanjat pagar belakang sebelum masuk ke dalam rumah tersebut mengikut pintu sebelah tepi dan semasa kejadian, mangsa tinggal bersama dua orang pembantu rumahnya.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59