Thursday, 27 July 2006

GABUNGAN ARTIKEL 11 BERDEGIL MAHU TERUSKAN PROGRAM MEREKA


KUALA LUMPUR 27 JULAI : Gabungan Artikel 11 tetap berdegil mahu meneruskan program-program mereka walaupun Perdana Menteri telah mengarahkan ianya dihentikan serta merta.

Gabungan Artikel 11 ini mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi menjelaskan mengenai tuduhan yang mengaitkan forum anjurannya mengenai hak-hak dalam perlembagaan dengan cadangan Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Abdullah sendiri telah menolak cadangan penubuhan suruhanjaya itu pada 26 Februari tahun lalu.

Semalam beliau mengarahkan semua perbincangan mengenai status agama Islam dalam perlembagaan dihentikan kerana bimbang ia boleh mencetuskan sentimen keagamaan.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, gabungan tersebut berkata ia akan mengambil berat kebimbangan Abdullah, dalam merancang aktivitinya pada masa depan.

“(Kami) akan berusaha untuk berjumpa dengan (beliau) untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kebimbangan yang disuarakannya berhubung aktiviti gabungan tersebut, di samping memberi penjelasan mengenai salah tanggapan yang mengaitkan (kita) dengan IFC.

“Anggota gabungan ini akan bertemu dan akan menimbang secara mendalam nasihat beliau dalam membincangkan rancangan masa depan,” kata kenyataan tersebut.

Mengulas isu ini, Setiausaha Penerangan PAS Kawasan Bukit Katil, Hamzah Yusof menyatakan bahawa jika sekiranya Gabungan Artikel 11 ini tetap berdegil, kerajaan mesti mengambil tindakan tegas kepada mereka.

"Kita melihat Gabungan Artikel 11 ini nampaknya semakin besar kepala, mereka mempunyai agenda tersembunyi yang amat meragukan" kata Hamzah.

Gabungan tersebut terdiri daripada 13 badan bukan kerajaan (NGO) yang telah mengumumkan komitmen mereka untuk melindungi hak asasi rakyat.

‘Road show’ yang dianjurkan oleh Gabunga Artikel 11 menerima bantahan NGO Islam, sepertimana yang berlaku di Pulau Pinang sejurus selepas ia diadakan. Polis juga terpaksa mengadakan kawalan ketat ketika gabungan itu mengadakan forumnya di Johor Bahru Sabtu lalu.

Gabungan tersebut merancang untuk mengadakan forum awam yang sama di bandar-bandar utama yang lain.

Gabungan mengulangi bahawa perbincangan mengenai kebebasan beragama seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan tidak ada kaitan dengan cadangan penubuhan IFC.

“Kami mahu mengambil kesempatan ini untuk memperjelaskan bahawa forum bertajuk ‘Perlembagaan Persekutuan: Perlindungan untuk Semua’ tidak ada hubungan langsung dengan usaha menubuhkan IFC,” katanya.

Gabungan itu menjelaskan bahawa forum berkenaan memfokuskan terhadap hak dan jaminan bagi rakyat di bawah undang-undang tertinggi negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, forum tersebut bertujuan membincangkan kebimbangan masyarakat sivil ekoran masalah yang dihadapi individu-individu yang tidak mendapatkan penyelesaian perundangan dan ketidaktentuan kehakiman di mahkamah.

“Tidak ada langsung perbincangan mengenai IFC dalam forum awam itu atau aktiviti-aktiviti yang lain,” tambahnya.

Sementara itu, Badan Anti-Suruhanjaya Antara Agama/IFC (Badai) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengeluarkan kenyataan yang sangat dinanti-nantikan oleh umat Islam di Malaysia selama ini agar kumpulan Artikel 11 memberhentikan serta-merta forum mereka yang berbentuk ‘roadshow.

“Sebelum ini, Badai serta banyak pihak, termasuk Majlis Mufti, badan Islam bukan kerajaan seperti PUM Pulau.Pinang, Teras, Muafakat, JIM , ABIM, ACCIN, Pembela dan sebagainya, mendesak Perdana Menteri agar bertindak ke atas kumpulan Artikel 11 dengan menghantar memorandum serta kutipan tandatangan dari umat Islam seawal bulan Mac 2006 yang lalu,” kata Pengerusi Badai, Mohd Hafiz Mohd Nordin.

Katanya, badai berharap pihak Artikel 11 mendengar dan mematuhi arahan Perdana Menteri. Bagaimanapun, Badai akan terus memantau semua aktiviti kumpulan tersebut, terutamanya NGO Islam yang turut berada dalam kumpulan Artikel 11.

“Badai sifatkan kumpulan ini sangat berbahaya kerana mencabar perundangan syariah negara apabila mereka mendakwa undang-undang tersebut mendiskriminasi wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Badai, katanya, akan segera membuat laporan polis seandainya sentimen agama yang dicetuskan pihak Artikel 11 dan 13 NGO yang bernaung di bawah kumpulan ini diteruskan

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59