Wednesday, 26 July 2006

Dr Mahathir mahu adakan perhimpunan dengan ahli Umno


KUALA LUMPUR 26 JULAI : Tun Dr Mahathir Mohamad mahu memberi penjelasan kepada perhimpunan dengan ahli Umno bagi menjelaskan pendiriannya mengenai perbalahannya dengan pengganti pilihannya, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Mereka kata tidak benar yang saya tidak boleh bercakap dengan ahli Umno jadi saya mahu diadakan perhimpunan untuk (saya) bercakap kepada ahli Umno,” kata bekas Presiden Umno itu kepada pemberita.

“Jika mereka membenarkan saya bercakap, maka saya bercakap kerana mereka kata mereka tidak menyekat saya daripada bercakap kepada ahli Umno. Jadi, ok, saya akan anjurkan satu perhimpunan dengan ahli Umno,” katanya.

Beliau mendakwa, kepimpinan Umno telah menghalang lima Umno bahagian yang mahu menghubungi beliau kerana tidak mahu mereka “mempunyai apa-apa” hubungan dengannya.

“Mereka yang telah menjemput saya untuk bercakap telah diberitahu ‘jangan’ – mereka tidak boleh membenarkan saya bercakap kepada mereka” tegas Dr Mahathir.

Dr Mahathir telah mengecam kerajaan berhubung keputusan membatalkan projek jambatan indah, pengeluaran AP dan yang berkaitan dengan Proton.

Walaupun Dr Mahathir berkata kritikannya itu tidak bersifat peribadi, tetapi bekas Perdana Menteri itu pernah berkata, Abdullah bukan pilihan utamanya, malah tidak pasti sama ada beliau silap memilih penggantinya.

Sesi penerangan

“Sehingga ini mereka (Umno) menyekat lima pihak daripada mempunyai apa-apa hubungan dengan saya. Orang ini telah menjemput saya untuk bercakap kepada mereka (tetapi) mereka diberitahu “jangan” – mereka (Umno) tidak membenarkan saya bercakap dengan mereka.

“Bila saya bercakap dengan NGO (badan bukan kerajaan), mereka mengadu ada ahli-ahli PAS di sana, jadi saya mesti kawal orang yang datang mendengar (ceramah) saya. Akhbar pula memulaukan (berita saya), mereka yang menulis menyokong saya, surat mereka tidak disiarkan,” katanya.

Ditanya apakah agenda perhimpunan Umno itu nanti, Dr Mahathir menjawab: “Apa-apa sahaja yang ahli Umno tidak faham. Mereka tidak benarkan saya bercakap, jadi bagaimana mereka (ahli-ahli Umno) akan faham,” katanya.

Dr Mahathir juga ditanya mengenai dakwaan wujudnya rasa tidak puashati di kalangan ahli akar umbi Umno terhadap penjelasan yang diberikan oleh pemimpin mereka dalam siri sesi penerangan berhubung persoalan dan kritikannya.

“Sesi penerangan tersebut sepatutnya diserahkan kepada saya,” katanya disambut ketawa para wartawan, sambil menambah beliau tidak mengikuti perkembangan sesi penerangan tersebut.

Permintaan yang mudah

Sementara itu, Dr Mahathir mengesahkan bahawa Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob adalah orang tengah yang akan membantu menyelesaikan perbalahan antara beliau dengan Abdullah.

“Saya telah bertemu dengan (Tun) Khalil (kiri) yang akan menjadi orang tengah itu. Saya telah beritahu beliau apa yang perlu dilakukan. Terpulanglah kepada beliau. Saya telah menjelaskan kepada beliau apa masalahnya dan beliau bertanya kepada saya bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut.

“Saya beritahu beliau – mudah sekali – jangan tunduk kepada Singapura, jangan beri terlalu banyak AP (untuk import kereta mewah), jangan lemahkan (pasaran kereta nasional) Proton, jangan jual MV Agusta,” katanya.

Ditanya mengenai kemajuan usaha tersebut, beliau berkata Khalil belum lagi memberitahunya mengenai perjumpaan tersebut, yang diadakan sebelum Dr Mahathir pergi bercuti ke luar negeri.

Sebelum itu, Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin – yang rapat dengan Dr Mahathir dan yang mencadangkan rancangan menggunakan khidmat orang tengah itu – menafikan Khalil adalah orangnya.

Ditanya mengapa beliau tidak menelefon Abdullah, Dr Mahathir berkata: “Saya tidak menelefon beliau dan beritahu beliau itu dan ini.

“Permintaan saya adalah cukup mudah – saya tidak setuju kita tidak membina jambatan tersebut, saya rasa kita mesti membinanya dan adalah tidak benar untuk mengatakan rakya tidak mahu jambatan tersebut. Rakyat tidak mahu dijual pasir dan [... ] tetapi mereka mahu jambatan.”

Mengenai kenyataan Abdullah berkata beliau mempunyai hak dengan pendapatnya, Dr Mahathir membalas: “Adalah beliau membina jambatan itu? Tidak membina jambatan itu adalah salah, jadi jika beliau membinanya, saya akan kata beliau betul. Jambatan itu tidak pun dibina.

“Kita menjual Agusta, memberi lebih banyak AP, begitu banyak sekali sehingga kereta kini tidak boleh dijual, harga kereta diturunkan, (dan) timbulkan masalah kepada penjual kereta terpakai, semua orang rugi, kita ada dasar automatif nasional yang menimbulkan banyak masalah,” katanya.

Sebelum itu, Dr Mahathir melancarkan buku bertajuk ‘Sumbangan masyarakat Cina Malaysia’.

Sumber : Malaysiakini

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59