Wednesday, 26 July 2006

BONGKAR:Melaka punya 3,000 punca pencemaran


AYER KEROH, 26 Julai : Melaka mempunyai lebih kurang 3,000 punca yang berpotensi menghasilkan pencemaran kepada alam sekitar dan sehingga Jun tahun ini terdapat kira-kira 300 premis di negeri ini yang telah dikenalpasti menghasilkan buangan terjadual, kata Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka, Abdul Hapiz Abdul Samad.

Menurutnya, melalui rekod JAS, dianggarkan 9,000 tan metrik buangan terjadual dihasilkan oleh 300 premis tersebut sehingga Jun tahun ini.

“Setakat ini, di Melaka terdapat satu premis yang telah dikenakan tindakan mahkamah berhubung perkara tersebut manakala bagi pesalah kecil, mereka dikenakan kompaun,” katanya ke tika sidang media selepas Seminar Pengurusan Buangan Terjadual di Hotel Ancasa MITC di sini hari ini.

Justeru itu, menurutnya, JAS telah menubuhkan satu Unit Khas yang dikendalikan oleh empat anggota JAS bagi memantau sisa buangan terjadual ini bagi mengelakkan ianya dibuang secara tidak betul.

Katanya, Unit Khas JAS yang baru ditubuhkan tahun ini turut melakukan pemeriksaan mengejut ke premis-premis yang dikenalpasti menghasilkan buangan terjadual.

“Pemeriksaan mengejut itu dilakukan melalui aduan dari orang ramai dan setakat ini terdapat 10 aduan yang telah diterima ,” katanya.

Jelasnya, JAS juga turut bekerjasama dengan Kualiti Alam dan pihak Kastam bagi memantau sisa toksid berjadual dalam memastikan pengurusan buangan terjadual yang cekap dan selamat supaya menjamin mutu dan kualiti alam sekitar negeri ini.

Sementara itu, Pegawai Ketua Operasi, Kualiti Alam, Abdul Rahman Kasim berkata, seminar anjuran bersama JAS dan Kualiti Alam itu bertujuan mewujudkan kesedaran, minat dan pengetahuan mengenai peranan dan tanggungjawab pengeluar buangan, kontarktor pengangkut dan pihak berkuasa.

Menurutnya, seminar itu turut menekankan penggunaan aplikasi sistem e-Consignment Note yang berfungsi bagi memasukkan maklumat nota konsainan buangan terjadual dengan menggunakan kemudahan email.

“E-Consignment Note itu menyediakan laporan pengeluaran buangan terjadual melalui web sebagai pemberitahuan awal kepada JAS jika terdapat sebarang pengeluaran buangan terjadual oleh premis,” katanya.

Jelasnya, melalui sistem itu, JAS dan Kualiti Alam hanya perlu mendapatkan laporan pengeluaran buangan terjadual dari aplikasi web e-Consignment tanpa perlu ke premis terbabit.

Adalah diharapkan kerajaan negeri dan JAS dapat mengambil tindakan yang lebih drastik demi untuk memastikan alam sekitar negeri ini sentiasa bersih dan selamat untuk kesejahteraan rakyat.

Stumble
Delicious
Technorati
Twitter
Facebook

0 Comments:

Keahlian Unit Amal

Iklan

Artikel Menarik

A

 

Dewan Pemuda PAS Bukit Katil Hakcipta © 2011 Kredit Ubahsuai oleh Kijang59